Bab 11

47 2 0
                                    

- DIA DATANG -

                                                       ( BAB 11 )

"Dasuki! Dharwisy! Ada sesuatu yang sedang hampir!" Tiba-tiba Rahman mencelah. Telinganya dapat mendengar pergerakan dari dalam hutan. Dalam keadaan cuak jamung yang dipegangnya terus dihala ke arah hutan.

Dasuki dan Dharwisy memandang serentak arah yang ditunjukkan Rahman itu. Angin yang sedari tadi menyapa lembut, kini bertiup kencang secara tiba-tiba! Sehingga api jamung yang dipegang mereka, terpadam serentak! Suasana sekeliling gelap serta-merta!

"Ada dua yang sedang hampir. Seorang manusia dan juga makhluk belaannya..." bisik Dharwisy, dalam keadaan bersiap siaga.

Dasuki turut mengakui kata-kata itu. Dia juga dapat merasakan kehadiran mereka. Suasana sekitar yang terlalu gelap menyukarkan pandangan mata kasar untuk melihat dengan lebih jelas lagi kehadiran mereka dari dalam hutan Lubuk Dalam. Dharwisy, Dasuki dan Rahman cuba memusatkan pendengaran. Mata dipejam serentak, mereka mula fokus pada bunyi tapak kaki manusia yang sedang berjalan perlahan di dalam hutan. Hanya Nadim sahaja tidak melakukan demikian, sentiasa berjaga-jaga. Memerhati keadaan sekeliling yang gelap itu.

Angin yang bertiup kencang itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuan mereka. Daun-daun kering dan debu tanah mula berterbangan ke udara, sekaligus mengganggu pandangan. Nadim sempat menyembunyikan diri di belakang pokok berhampiran. Dia segera menyapu wajahnya yang diselaputi dengan debu tanah yang melekat di wajah.

Angin semakin kuat bertiup. Dasuki tidak dapat membuka matanya saat ini, memandangkan deruan angin yang bertiup kencang seperti tidak mengizinkan untuknya berbuat demikian. Dalam masa yang sama pandangannya terhalang oleh debu-debu tanah yang semakin galak bertebaran di udara. Begitu juga dengan Dharwisy dan Rahman, pandangan mereka turut terhalang.

"Kuat angin yang datang!" Jerit Rahman. Kaget dengan situasi sekeliling sambil menghalang mata dan mulutnya dari terus dimasuki debu.

"Bertahan!" Sahut Dasuki, cuba untuk kekal berdiri di situ. Malah hampir sahaja tubuhnya mahu terjatuh ke belakang dek tiupan angin kencang yang semakin menggila.

Dharwisy semakin geram. Sukar untuknya melakukan tindak balas dalam keadaan begitu. Dia perlu fikirkan sesuatu. Tanpa membuang masa dia terpaksa memusingkan badannya membelakangi arah angin. Kemudian berjalan beberapa langkah ke hadapan mengikut di mana arah angin itu bertiup. Kerana dia tahu jika dia berjalan mengikut laluan di mana arah angin itu datang dan pergi bersemuka dengan si pelakunya, ini bermakna dia sedang berjalan melawan angin. Sudah tentu ia menyukarkannya untuk bertindak balas dalam keadaan angin yang sebegitu kuat di hadapannya. Justeru Dharwisy harus berjalan mengikut arah angin itu. Iaitu membelakangi angin dan mara ke hadapan. Lalu menyelinap masuk ke rimbunan belukar dengan sepantas mungkin. Lantas daun-daun yang bertebaran di atas tanah terus diambil. Dalam tujuh helai daun itu digulung kesemuanya sambil membaca potongan ayat yang diajar oleh moyangnya. Usai kemudian dia keluar dari belukar lalu mencacakkan gulungan daun itu ke dalam tanah dengan lafaz bismillah...

"Bismillahirrahmanirrahim..."

Dengan matanya dipejam sambil memegang gulungan daun yang masih tercacak di atas tanah. Dharwisy cuba memusatkan segala tenaga dalaman dan menumpukan sepenuh perhatian pada kekuatan angin itu dan juga gulungan daun yang berada di hadapannya. Lalu dengan perlahan-lahan gulungan daun itu dilepaskan sedikit demi sedikit. Membiarkan daun itu tercacak sendiri di atas tanah.

Nadim yang masih menyorok dibalik pokok, terpegun seketika dengan perlakuan Dharwisy itu. Hanya berjarak tiga depa antaranya dengan Dharwisy. Dengan jarak itu dia dapat melihat gulungan daun itu mula berpusing sedikit demi sedikit mengikut lawan jam dengan sendirinya, bagaikan ada kuasa magnetik yang membuatkan ia semakin ligat berpusing. Dharwisy masih lagi meneruskan dengan bacaan ayat dan ditambah pula dengan bacaan zikrullah sambil memejamkan matanya. Tekun saat ini Nadim memandang fenomena mistik di sekelilingnya.

DIA DATANGWhere stories live. Discover now