- DIA DATANG -
( BAB 6 )
"ARMAN JANGAN LARI!"
Pekik Darus. Lantas mengejarnya dengan diikuti Taha dan Jabar.
Hutan yang agak tebal itu bagai langsung tiada halangan saat Arman berusaha untuk melarikan diri ketika dikejar oleh mereka. Hujan yang lebat juga langsung tidak menunjukkan keredaan. Petir dan guruh semakin galak sabung-menyabung. Langsung tidak menghiraukan suasana yang berlaku pada penghuni di bawahnya yang dipenuhi dengan hujan darah. Sangat dramatik. Penuh dengan debaran dan ancaman.
Apa yang ada di hadapannya semua diharungi tanpa rasa gentar. Sebolehnya dia tidak mahu dirinya ditangkap oleh Darus, Taha dan Jabar, terutamanya askar melayu. Biarlah berpatah arang berkerat rotan, namun untuk mengundur semula tidak sama sekali. Begitu kerasnya hati Arman, egonya melangkaui segala-galanya. Hatinya terlalu kering.
"Berhenti Arman!" Laung Taha. Cuba mengejar Arman dengan lebih laju, sehingga hampir sahaja dia mahu tersadung dek terlanggar akar-akar pokok ara beringin yang berlengkar di atas tanah bak sawa kekenyangan.
Arman langsung tidak memperdulikan laungan Taha. Segala pekikan itu diabaikan. Berlari dan terus berlari tanpa langsung menghiraukan segala halangan dihadapannya.
Namun sebaik Arman berlari melepasi pokok jelutong, entah bagaimana dia telah melanggar tali pokok temengir yang telah direntang oleh Jabar untuk dibuat perangkap segera untuk pengganas komunis jika melalui kawasan berkenaan. Memang itulah tujuannya, mengharapkan mangsa melalui kawasan berkenaan, lantas terus melanggar tali pokok temengir yang berada di atas tanah. Terlindung dibalik daun-daun kering, rumput dan juga akar-akar pokok yang berselirat di atas tanah.
Sebaik kakinya tersadung melanggar tali pokok temengir itu, rupa-rupanya salah satu akar pokok jelutung itu telah melibas dada Arman hingga tercampak tubuhnya beberapa meter ke belakang.
"Aduh!" Dia mengerang kesakitan. Sambil pinggangnya diusap kasar, cuba menahan rasa sakit.
Rupa-rupanya memang Jabar sengaja mengikat tali temengir itu bersama dengan akar pokok jelutung. Jika ada sesiapa terpijakkan tali termengir yang berada di atas tanah, akar pokok jelutung yang telah diikat bersama tali termengir yang sengaja diikat longgar itu akan melantun dan akan terus hinggap pada orang yang memijak tali termengir itu dengan pantas dan kuat. Hanya itu sahaja yang termampu Jabar lakukan untuk membuat perangkap segera disaat darurat dan pantas. Sungguhpun perangkap itu tidak mampu membunuh, sekurang-kurangnya ia boleh melengah-lengahkan musuh diwaktu terdesak.
Dengan tidak membuang masa, Darus, Taha dan Jabar bertindak mengelilingi Arman. Kali ini mereka tidak mahu Arman terlepas lagi.
"Anggap saja kau sudah tewas Arman. Mengalah sajalah," ujar Taha.
Seraya itu juga Arman menggeleng. Lantas dia ketawa dengan kuat. Seolah-olah perjuangan songsangnya masih belum selesai.
"HA HA HA HA!"
"Kenapa kau ketawa?" Soal Jabar hairan.
"Kamu semua terlalu cepat yakin akan menang. Sedangkan, aku belum mati. Selagi aku tak mati, jangan harap kamu semua akan menang!" Gertak Arman dengan nada yang kuat. Sekuat deraian hujan lebat yang hingar dalam suasana sekeliling hutan belantara Lubuk Dalam.
Lalu Arman bangun. Tanpa diduga kaki Arman mula menendang dada Jabar secara curi yang berada di sisi kirinya, hingga terbanting Jabar ke belakang! Jabar berang dengan tindakan Arman itu. Tanpa membuang masa, Taha yang berada di kanan Arman terus meluru ke arah Arman lalu mengunci tubuh Arman dengan cara kedua-dua lengannya cuba memegang bawah lengan Arman terus naik ke bahu hingga ke batang tengkuk Arman. Lalu digenggam tangannya. Dengan cara itu tubuh Arman tidak dapat untuk memukul balas dirinya walaupun kaki Arman masih bebas bergerak.
![](https://img.wattpad.com/cover/281918303-288-k271662.jpg)
YOU ARE READING
DIA DATANG
Misterio / SuspensoKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....