Bab 2

92 5 0
                                    

- DIA DATANG -

                                                         ( BAB 2 )

"Sabarlah Dasuki. Atas sebab itulah kamu semua dipanggil." Sapa Rahman secara tiba-tiba yang muncul dari belakangnya sambil menepuk bahunya.

Dasuki terdiam. Tiada balasan kata yang mampu diluahkan melainkan satu senyuman pahit. Ruas tangan digenggam erat. Padu. Amarah semakin meluap pada si pelaku. Namun dipendam dalam diam, agar tiada siapa yang dapat melihat raut wajahnya yang tenang itu diselaputi dengan dendam.

Di anjung rumah penghulu Taha mereka duduk berkumpul sambil menikmati kopi O yang dibancuh oleh Cek Hasnah isteri kepada penghulu Taha. Tidak lama kemudian muncul penghulu kampung Lembah Damai, Ismail Kemat dengan hanya berjalan kaki dengan ditemani anak lelakinya Bujang.

"Pakcik pun dipanggil?" Soal Tajuddin pada penghulu Ismail Kemat.

"Ye." Jawapan ringkas dari penghulu Ismail Kemat. Lalu duduk bersebelahan dengan Dasuki.

Penghulu Taha muncul dari muka pintu, lalu terus bersila sambil meletakkan tepak sirih untuk diberi pada tetamu yang berada di rumahnya pada petang itu. Namun, hanya penghulu Ismail Kemat sahaja yang berminat dengan 'hidangan' itu, anak-anak muda yang berada di situ hanya memandang sahaja tingkah dua lelaki separuh abad itu menyediakan 'hidangan' sireh mereka.

Setiap kunyahan sireh melayu itu bagaikan nikmat tatkala penghulu Taha mahu bersidang, terutamanya hal-hal penting seperti itu. Kopi O yang pekat likat itu pun terpaksa ditolak ke tepi, dek penangan sireh melayu hasil tanaman sendiri di belakang rumah.

"Jadi tok, bagaimana? Mampukah kita melawan?" Soal Rahman serta merta, bagaikan proksi pada tetamu yang lain. Sebolehnya dia tidak mahu berlengah lagi.

Penghulu Taha mendiam seketika, tanpa bicara. Melainkan satu pandangan tajam terhampar pada setiap tetamu yang hadir. Terlihat wajahnya bungkam.

"Tok, maaf ye saya nak bertanya lagi. Dalam hal ni saya masih dalam samar-samar. Langsung tidak tahu siapa Arman tu. Kenapa dia perlu berbuat begitu pada kita semua? Apa yang buatkan dia jadi begitu? Pasti ada puncanya," soal Dasuki ingin tahu. Ya, seharusnya perkara penting dan bahaya seperti itu pasti ada punca disebaliknya. Sungguhpun begitu, Dasuki merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena pada penghulu Taha. Kenapa berat benar dia mahu menceritakan perkara yang sebenar? Adakah semuanya ada perkaitan antara penghulu Taha dan Arman?

Penghulu Taha memandang tepat ke wajah Dasuki. Mendiam. Masih lagi tidak memberi sebarang jawapan seperti yang disoal Dasuki. Kemudian pandangan beralih pada Ismail Kemat penghulu kampung Lembah Damai yang ralit mengunyah sireh sehingga menampakkan warna merah sireh pada bibir serta barisan giginya.

"Inilah tujuannya aku panggil kamu semua kemari. Nampaknya keadaan kampung kita semakin darurat dan atas sebab itu jugalah aku panggil penghulu Ismail ni datang ke rumah aku." Jelas penghulu Taha sugul.

Dasuki dan Tajuddin berpandang sesama sendiri. Perasaan ingin tahu lebih menguasai diri dari perasaan takut yang sepatutnya ada.

"Kamu semua mesti hairan kenapa nama Arman selalu disebut-sebut sejak dua menjak ni dan kenapa kami fikir Arman menjadi punca pada yang sedang berlaku di kampung kita ni. Itu bukan tuduhan suka-suka. Semua perkara yang kami syaki itu ada kebenarannya.Tidak ada orang lain lagi selain Arman," tiba-tiba kata-kata yang terkeluar dari penghulu Taha itu terbejat seketika.

Masing-masing terdiam tatkala mendengar permulaan pada kisah yang ingin disampaikan oleh penghulu Taha. Saat inilah yang mereka nanti-nantikan. Kisah disebalik kejadian yang berlaku. Sungguhpun begitu perasaan debar dan cuak mengatasi segalanya walaupun ianya bermula dengan penyampaian dari mulut ke mulut.

DIA DATANGWhere stories live. Discover now