- DIA DATANG -
( BAB 4 )
"ALLAHUAKBAR!!!"
Kalimah agung itu disambut Darus dan Jabar serentak. Kemudian Darus melangkahi meninggalkan tempat itu terlebih dahulu seperti apa yang telah diarahkan Taha padanya sebentar tadi. Dalam beberapa langkah dia menapak, sempat dia menoleh kebelakang. Kelibat dua sahabatnya itu sudah pun tiada. Berkemungkinan telah pergi untuk memasang perangkap ataupun jerat seperti yang dipinta Taha pada Jabar.
Dalam keadaan tenang Darus cuba mengatur langkah selekas yang mungkin.
Laluan denai yang dipenuhi dengan lopak-lopak sekecil tapak tangan hinggalah sebesar mulut tempayan merintangi sepanjang laluannya. Dari tadi cuaca tetap begitu, hujan. Tidak lebat seperti tadi. Sungguhpun begitu mendung tetap tidak berarak pergi. Gelap. Menandakan, bumi sekali lagi akan ditimpa hujan lebat buat kali kedua.Darus menelan liur. Perit tekaknya untuk menelan. Bagai tersekat direngkung. Dadanya mula berombak laju. Ia dtatang secara tiba-tiba, tidak seperti tadi. Gundah. Perasaannya mula semakin tidak keruan. Bukan takut, cuma risaukan keadaan isteri dan anaknya di rumah. Hanya doa dan tawakal sahaja yang mampu dilakukan saat ini. Menyerahkan segala untung nasibnya pada Maha Pencipta Langit dan Bumi, tuhan sekelian alam.
Dia mula tertanya-tanya akan Taha dan Jabar. Mengharapkan kedua-dua sahabatnya itu dapat melaksanakan tugas seperti yang dirancang. Juga mengharapkan dirinya juga turut berjaya. Tiba-tiba...
PRAK... PRAK... PRAK...
Terdengar bunyi sesuatu pergerakkan dari arah kiri belakangnya. Darus mematikan langkah serta merta. Kemudian bertinggung dibalik semak-semak yang merimbun dan tumbuh melata disetiap ceruk tanah. Mujur hasil bumi yang tidak dihargai itu ada baktinya pada manusia. Darus membatukan diri. Cuba menangkap bunyi derapan itu. Memandangkan persekitarannya itu dipenuhi dengan hutan belantara, tidak mustahil jika bunyi derapan itu milik sang belang ataupun babi hutan. Tetapi, tidak mustahil juga jika itu Arman dan pengganas komunis. Dia perlu berhati-hati. Tidak kiralah yang hadir itu haiwan mahupun manusia, dia perlu bersiap siaga. Bunyi derapan itu semakin jelas menghampiri. Tiba-tiba bahunya disentuh seseorang dari belakang. Darus tersentak! Lantas menoleh kebelakang...
"Bapak rupanya, saya ingatkan siapa?"
Darus mengurut dada. Terasa sedikit lega, kerana lelaki tua misteri itu memang sangat-sangat dikenalinya. Lelaki tua berjanggut putih sejemput, bersongkok putih, berbaju melayu dan berkain pelikat sedang berdiri di hadapannya sambil ternyuman. Lantas mereka bersalaman dan agak lama huluran salaman itu tergenggam kemas. Seakan satu pertemuan yang tidak dijangka.
"Berhati-hati pada setiap gerak gerimu Darus. Tidak lama lagi mereka akan tiba," ujar lelaki tua misteri itu.
"Baik pak," balas Darus lemah.
"Tidakkah kau rindu pada isterimu Siti Mariam dan anakmu Dharwisy? Tidak mahukah kamu untuk bertemu dengan mereka? Sejujurnya aku ingin beritahu, betapa mereka terlalu merinduimu Darus. Selalu juga aku pertemukan Dharwisy dengan adiknya Dasuki, tetapi hanya dari jauh sahaja. Kerana itu permintaannya, mahu melihat adiknya dari jauh," sambung lelaki tua itu dengan bertanyakan soalan yang paling sukar untuk dijawab olehnya.
Darus terdiam dan menunduk. Saat ini, dia cuba untuk mengatur jawapan yang terbaik buat lelaki tua itu, raja bunian sahabat di alam lain. Agar, segala jawapan yang diberikannya nanti tidak disalah tafsir oleh lelaki tua ataupun raja bunian itu.
"Bukan tidak mahu menjenguk mereka, tetapi saya juga punya anak dan isteri disini, Halimah dan Dasuki. Malah tanggungjawab juga amatlah besar disini, menjaga ketenteraman dan keamanan kampung Lubuk Dalam dari serangan komunis. Lagipun apa yang merisaukan saya, jika saya kembali ke sana, sukar untuk saya kembali ke sini. Saya perlukan waktu dan masa untuk berfikir. Saya langsung tidak risaukan Dharwisy, sebab saya tahu dia anak yang luar biasa. Dia bukan manusia biasa seperti saya. Tetapi Dasuki, dia yang paling saya risaukan. Kerana itu saya berhenti dari bekerja dengan orang Inggeris sebagai pemandu mereka, kerana mahu tumpukan perhatian pada anak dan isteri agar lebih dekat dengan mereka," balas Darus lembut.
YOU ARE READING
DIA DATANG
Misteri / ThrillerKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....