- DIA DATANG -
( BAB 7 )
Hujan lebat mula menguasai suasana sekeliling. Mereka yang mendengar kisah yang diceritakan oleh penghulu Taha itu hanya diam membatu. Diam bukan bermakna tidak ambil tahu, tetapi diam kerana marah, benci dan geram mula menguasai diri saat ini. Dasuki membuang pandangan ke laman rumah penghulu Taha yang dipenuhi dengan lecah.
Ismail Kemat menghembus asap lentengnya yang masih berbaki. Teringat-ingat akan peristiwa itu. Sama keadaannya seperti sekarang, hujan. Sungguh pun kejadian dalam hutan itu dia dan Ilyas tiada, namun di saat ingin kebumikan Syarkawi, dia, Ilyas dan Haji Kasban ketika itu tetap dalam keadaan berjaga-jaga. Hujan juga turut mengiringi Syarkawi ke tanah perkuburan.
Jika ketika itu dia dan Ilyas turut serta bersama Darus, Jabar dan Taha pergi ke hutan untuk mencari Arman, sudah tentu keadaannya tidak sama seperti yang terjadi. Namun, bagaimana keadaan Haji Kasban ketika itu jika dia terpaksa menanggani pihak komunis secara berseorangan andai pengganas komunis datang pada waktu itu? Pasti ianya sukar. Segalanya tidak dapat diubah. Sejarah sudah pun berlaku. Apa yang perlu dilakukan, jangan dicipta sejarah yang sama.
"Tapi, kenapa pakcik tak bunuh saja si Arman tu masa dia sudah ditikam pakcik Jabar? Kenapa dibiarkan dia pergi begitu saja? Kalau tidak sudah tentu perkara macam ni takkan berlaku! Sekarang, apa dah jadi?" Bujang bingkas bangun. Marah dengan tiba-tiba. Reaksi tidak puas hati terpamer pada wajahnya. Berhujah dengan sesuka hati tanpa ambil tahu perasaan sesiapa yang mendengarnya.
Ismail Kemat mengerut wajah. Wajah anaknya dipandang dengan perasaan geram. Tidak sangka sanggup Bujang meninggikan suara pada orang yang lebih tua padanya. Apatah lagi ianya ditujukan pada sahabatnya penghulu Taha.
"Bujang! Duduk! Aku tak pernah ajar kamu kurang ajar pada orang yang lebih tua!"
Bujang tersentak! Terdiam saat ditegur keras oleh ayahnya. Sejujurnya itu bukanlah niatnya, tetapi sifatnya terlalu terburu-buru. Tidak sabar untuk bertanyakan soalan penting itu pada penghulu Taha.
"Maaf..." ujarnya perlahan.
Penghulu Taha terdiam lalu mengangguk buat beberapa kali. Mengangguk kerana faham dengan situasi itu. Terburu-buru dan tidak sabar sememangnya sinonim dengan tingkah laku anak muda. Namun kerana itu dia sedikit pun tidak terasa hati mahupun melenting. Kerana anak-anak muda itu terlalu naif untuk memahami situasi yang terjadi. Mereka tidak berada pada waktu itu, maka mudah untuk mereka membuat pelbagai andaian.
"Waktu itu saja sudah berbelas kematian yang berlaku. Termasuk sepupu pakcik sendiri. Jika pakcik dan pakcik Jabar sendiri tidak melepaskan Arman pada waktu itu, rasa-rasanya dapat atau tidak pakcik berdiri di hadapan kamu semua? Cukuplah Syarkawi saja yang terkorban. Keadaan ketika itu tidak sama seperti yang kamu dengar dari mulut pakcik. Keadaan terlalu genting dan mencemaskan! Mendengar dan mengalaminya sendiri satu perasaan yang berbeza. Kamu tidak akan faham, melainkan kamu merasainya sendiri," ujar penghulu Taha, tenang.
Anak-anak muda yang mendengar terdiam disaat penghulu Taha berkata demikian. Masing-masing berpandangan. Namun, tidak pada Dasuki. Riak wajahnya mula menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Dia mula gelisah. Ada sesuatu persoalan berat yang sedang menyerang gejolak jiwanya. Ya, dia benar-benar sedang memberontak! Lalu dia bingkas bangun. Wajah penghulu Taha dipandangnya.
"Kenapa Dasuki?" Soal penghulu Taha. Hairan apabila melihat Dasuki berkeadaan begitu.
Ada manik-manik jernih mula bertakung di kelopak matanya. "Tak sangka, rupanya saya sudah ditipu. Ditipu oleh pakcik Taha, arwah pakcik Jabar, pakcik Ismail, pakcik Ilyas! Malah ibu saya sendiri menipu saya! Bapak saya masih hidup rupanya, tapi dikatanya sudah meninggal dunia! Kalaulah hari ini saya tak dengar dari mulut pakcik Taha sendiri bercerita akan hal ini, sudah tentu sampai bila-bila pun saya tidak akan tahu tentang bapak saya. Bukan itu saja, hal bapak saya nikah dengan bunian sebelum menikah dengan ibu saya, malah hal saya punya abang yang juga orang bunian pun saya baru tahu. Apa lagi kisah yang hendak dibongkarkan?"
![](https://img.wattpad.com/cover/281918303-288-k271662.jpg)
YOU ARE READING
DIA DATANG
Mystery / ThrillerKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....