- DIA DATANG -
( BAB 12 )
Imbas kembali...
Arman tercungap-cungap menahan lelah. Dalam masa yang sama terkejut apabila melihat anak dan isterinya tenggelam di dalam lubuk itu, dua nyawa insan tersayang telah diragut pada hari yang sama. Dia benar-benar terduduk! Menjeda buat beberapa ketika. Termenung dalam kesedihan. Namun Arman langsung tidak menyedari bahawa ada makhluk yang sedang menyambut bayinya dari dasar lubuk berkenaan. Hanya isterinya sahaja tenggelam jauh ke dasar lubuk yang sedang ligat berpusing itu. Berpusing tanpa memperdulikan ada insan lemah, terburai dengan darah sedang mengikut di laluan kegelapannya. Bayinya yang sejuk membiru sengaja disambut oleh makhluk durjana itu. Ada agenda yang sedang cuba dilaksanakannya.
Apabila melihat sang bapa berlalu pergi setelah meratapi pemergian sang isteri dan bayinya, makhluk itu terus melompat jauh dari dalam air lubuk yang masih lagi ligat berpusing, sambil membawa bersama bayi itu naik ke atas permukaan. Tubuhnya yang kekar, berkentinggian hampir 5 meter, berbulu lebat dan kasar habis lenjun dibasahi air lubuk itu. Kehadiran makhluk itu membawa bersama dengan baunya hanyir dan hamis yang sangat meloyakan. Makhluk itu merenung bayi yang sedang dalam dakapannya. Matanya yang semerah saga hanya merenung kosong. Jari jemarinya yang tirus panjang serta kukunya yang tajam terus-menerus membelai tubuh bayi itu. Dingin. Giginya yang tajam, berceracak serta mengeluarkan lendiran hijau likat, menyeringai tanpa sebab diketahui.
Dia meraba keseluruhan tubuh bayi lelaki itu, lalu membuang kain batik yang membaluti tubuh bayi berkenaan. Sengaja bayi itu dibogelkan. Kemudian tubuh bayi itu terus dipeluk erat sehingga menutupi hampir keseluruhan tubuh bayi berkenaan dengan bulunya yang kasar. Suasana sekeliling sepi seketika. Hanya deruan pusingan air lubuk yang rakus sahaja kekal kedengaran pada malam itu.
Bayi yang masih merah itu masih lagi dalam pelukan makhluk itu. Namun tiba-tiba satu keajaiban telah berlaku! Bayi itu telah tersedar! Seperti tersedar dari lenanya yang panjang. Kemudian terdengar rengekan kecil suara bayi itu. Tubuh kecil itu yang kesejukan dan biru ketika disedari ayahnya tadi, kini semakin hangat apabila tubuhnya didakap erat oleh makhluk durjana itu.
Setelah merasakan bayi itu semakin baik dan selesa, makhluk itu terus meletakkan bayi berkenaan di atas rumput berhampiran dan secara tidak sengaja muncul abang bayi berkenaan iaitu Azhar berlari mencari ayahnya di dalam kegelapan hutan itu.
Makhluk itu tersenyum menyeringai tatkala memandang seorang lagi anak kecil yang dalam ketakutan sedang berlari di hadapannya. Azhar terus terjatuh apabila terkejut kerana melihat ada makhluk besar sedang berdiri di hadapannya sambil tersenyum menyeringai padanya. Tanpa disedari, dia terjatuh kerana tersadung pada batu disebabkan suasana sekeliling yang gelap sehingga membuatkan kepalanya terhantuk pada batu berkenaan, lalu menyebabkannya pengsan. Lantas makhluk itu terus sahaja mengangkat Azhar yang langsung tidak sedarkan diri. Wajah kanak-kanak itu direnungnya. Begitu juga bayi yang sedang terbaring di atas rumput itu. Ya, makhluk itu memandang dengan penuh minat. Ia mahukan kedua-dua beradik itu menjadi tulang belakangnya. Kerana sumpahan yang jatuh ke atasnya tidak mahukan darah kanak-kanak diambil walaupun bayi itu sudah terjatuh ke dasar lubuk itu. Sumpahan hitam itu mahukan darah orang dewasa dan mangsanya perlulah anak kelahiran dari kampung Lubuk Dalam itu sendiri dan baki nyawa yang perlu dipertaruhkan hanya 2 orang sahaja lagi. Ya, hanya tinggal dua nyawa sahaja lagi. Makhluk itu mula memasang akal dan dia perlu membuat helah. Lantas membawa Azhar yang berada dalam dukungannya pergi ke arah Arman yang masih tercari-cari anak sulungnya itu di dalam kegelapan hutan Lubuk Dalam.
............................................................
Dharwisy yang masih duduk bersila, tetap bersikap tenang. Matanya sengaja dipejam rapat. Fokus pada sesuatu yang sedang dilakukannya. Mengikat salah satu bebola api hasil 'buah tangan' dari seterunya Azhar. Sedaya upaya dia cuba mengikat bebola api itu dengan 'tali'. Bacaan dari surah-surah lazim yang diajar oleh moyangnya sentiasa membasahi bibirnya. Tiada mentera yang dibaca, hanya surah-surah lazim dan juga zikrullah memuji nama Illahi sahaja yang dapat mengukuhkan ikatan 'tali' yang tidak terlihat dari mata kasar itu. Maksudnya begitulah dengan iman, sebagaimana kuatnya iman kita sebagai hamba pada yang maha Esa di muka bumi ciptaanNya ini, maka kuatlah tali pegangan kita pada agama. Andainya iman kita rompong mahupun longgar, maka tali pegangan kita pada agama yang kita cintai akan terputus.
YOU ARE READING
DIA DATANG
Mystery / ThrillerKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....