Bab 28- Belon Hello Kitty

53 7 0
                                    

BEBERAPA kali nama 'Encik Aidan' tertera pada skrin telefon Elfira Awliya. Namun Elfira Awliya malas mahu menjawab. Dia abaikan panggilan itu.

Elfira Awliya mencapai telekungnya. Ketika memakaikan telekungnya, tiba-tiba fikirannya melayang. Dia terimbau perbualannya dengan Aidan Adhwa di luar parkir kereta Hospital Ar-Ridhuan Suri pada seminggu yang lalu.

"CIK Fira. Tunggu sekejap." Panggil Aidan Adhwa.

Elfira Awliya tidak berpaling. Dia meneruskan langkahnya.

"Fira, dengar dulu apa yang Aidan mahu cakap tu." Tegur Emil Syauqi perlahan.

Elfira Awliya mengalah. Tidak sampai hati dia mahu memalukan Emil Syauqi di hadapan Aidan Adhwa.

"Fira, aku dan Doktor Emil tunggu kau dalam kereta saja." Bisik Ayu Natrah.

Elfira Awliya lalu berpaling memandang Aidan Adhwa.

"Encik Aidan nak cakap apa?" Tegas dia bertanya.

"Saya nak minta maaf bagi pihak adik sepupu saya." Ucap Aidan Adhwa rasa bersalah.

Elfira Awliya berdecit tawa sinis.

"Saya tak perlu permohonan maaf dari encik. Saya hanya nak dia yang melutut depan anak saya memohon maaf! Sukalah Riya tu kan?! Tak perlu tanggung beban rasa bersalah! Sebab ada orang yang sanggup menanggung! Riya tak pernah berubah dan takkan berubah sampai bila-bila!" Kata Elfira Awliya dengan nada penuh benci.

"Saya tak tahu sejarah awak dan Riya. Tapi saya minta awak jangan benci saya kerana dia." Tutur Aidan Adhwa mengawal getaran rasa.

Elfira Awliya memaling wajahnya. Air mata sudah merembes di pipi.

Aidan Adhwa memandang Elfira Awliya yang sudah berdiri membelakangkannya.

"Mulai sekarang saya tak mahu Encik Aidan munculkan diri lagi di hadapan saya. Pasal projek itu, saya yang akan suruh orang lain untuk handle." Kata Elfira Awliya.

Aidan Adhwa berhadapan dengan Elfira Awliya.

"Saya tahu, awak nak mengelak dari saya kan?"

"Saya tak sanggup nak tengok muka Encik Aidan lagi. Wajah Encik Aidan tu akan mengingatkan saya pada perbuatan Riya terhadap Airis!" Kata Elfira Awliya sebak tanpa memandang wajah lelaki itu.

"Yang buat jahat pada Airis adalah Riya Zahra. Ini adalah Aidan Adhwa, lelaki yang ikhlas sayangkan awak dan Airis!"

Elfira Awliya terkedu. Dia segera mendongak memandang Aidan Adhwa.

Aidan Adhwa menghela nafasnya. Dia mengusap wajahnya yang sudah rusuh itu.

"Encik Aidan sedar tak apa yang encik cakap ni?!" Elfira Awliya lalu menapak laju mahu meninggalkan Aidan Adhwa.

"Saya sedar perasaan cinta saya terhadap awak ikhlas, Fira." Tutur Aidan Adhwa sambil mengekori langkah Elfira Awliya.

Elfira Awliya pantas berpaling. Hampir sahaja tubuh mereka berdua bertembung. Lantas Elfira Awliya mengundur kaki dua langkah ke belakang.

"Saya ni ibu tunggal. Saya mempunyai anak tak sah taraf! Masyarakat kata wanita yang mempunyai anak tak sah taraf adalah wanita yang tak baik! Tak sesuai dijadikan isteri! Faham tak?!" Kata Elfira Awliya meninggi nadanya. Dia sudah tersedu-sedu kerana tangis.

"Saya mencintai awak tanpa syarat. Hati saya menilai awak bukan berdasarkan penilaian mereka. Yang nak hidup dengan awak adalah saya." Ucap Aidan Adhwa dengan sebak. Air matanya sudah mengalir deras di pipi. Kelihatan dia betul-betul tidak mahu kehilangan Elfira Awliya.

Bukan PendosaWhere stories live. Discover now