Bab 1

1.3K 20 0
                                    

RAMBUT dikemaskan agar kelihatan rapi. Jam tangan berjenama Rolex disarung ke tangan. Kemeja berwarna putih terlekat kemas di tubuh dan dipadankan dengan seluar hitam. Cukup kemas pada penglihatan seorang Arden Affan.

Selesai memastikan diri itu kelihatan kacak, langkah diatur menuju ke tingkat bawah. Sempat telefon, dompet dan kunci kereta dicapai sebelum keluar dari biliknya.

Saat ingin memulas tombol, pintu bilik itu sudah terbuka dari luar. Ternaik hujung bibir Affan saat mata disapa dengan wajah sang ibu, Puan Amena.

"Lambat sangat anak mama ni bersiap," rungut wanita itu dengan bibir dicebikkan.

Kaki Affan melangkah keluar seraya memandang jam tangannya. Baru pukul 10 pagi. Dia bersiap bukan lama seperti perempuan.

"Affan ingatkan siapa nama anak kawan mama tu? Jangan cakap Affan dah lupa," ujar Puan Amena. Dia mengikuti langkah anaknya. Saja mahu bertanya. Manalah tahu tiba-tiba lelaki itu lupa ingatan.

"Ingat, ma." Mata dijulingkan. Macam mana dia nak lupa kalau setiap saat wanita itu akan ingatkan dia semula. Nak fikir benda lain pun sudah tak boleh.

Affan terus berlalu menuju ke pintu utama. Kasut ditarik keluar dari rak penyimpanan.

"Cuba cakap kalau Affan ingat nama dia. Manalah tahu Affan dah lupa ke?"

Wanita itu setia berdiri di sisi. Wajahnya berkerut tatkala memakai kasut. Dah lama tak beli kasut baru. Kasutnya itu sudah sempit.

"Qaseh Awliya binti Sufian."

Terangguk-angguk kepala Puan Amena. Good! Nasib baik anaknya yang bongsu ini mendengar kata. Kalau yang sulung, heh tunggu dia sakit agaknya baru nak dengar.

"Tahu pun. Macam inilah baru anak kesayangan mama."

Kepala tergeleng apabila wajah itu nampak riang sekali. Ini kalau kena tolak dengan gadis itu, mahu patah seribu hati mamanya.

Sudahlah hendak bertemu untuk kali pertama, entah apa tanggapan gadis itu nanti terhadap dirinya.

Tangan dihulur untuk menyalam wanita itu. Pipi kiri dan kanan dicium sebelum memeluk sang ibu.

"Affan pergi dulu, ma."

Ingin berlalu pergi namun tangannya masih berada dalam pegangan wanita itu. Kening dijungkitkan. Kutlah ada barang yang hendak dipesan oleh mama kesayangannya.

"Nanti, Affan kenalkan diri Affan tau dekat dia. Cakap macam ni."

Puan Amena berdeham perlahan. Wajah turut main peranan.

"Nama saya Arden Affan bin Zahran. Awak nama apa? Lepas tu, Affan jangan sesekali guna perkataan kau, aku tau. Tak selesa dia nanti. Tak pun..."

"Okeylah ma, Affan dah lambat ni. Nanti kesian pula bakal menantu mama tu tunggu Affan," kata Affan lalu melangkah laju ke arah keretanya. Kalau nak tunggu wanita itu habis berbicara, lamalah anak dara orang menunggu dia.

Dengusan geram tercetus dari bibir Puan Amena. Tangan naik mencekak pinggang.

"Hish, budak ni. Orang ajar, dia tak nak dengar. Nasib baik dia sebut anak menantu tadi. Kalau dia sebut perkataan lain, memang cari nahaslah dia."

Pin!

Bahu Puan Amena terangkat saat si anak menekan hon kereta dengan kuat. Jari yang membentuk penumbuk diangkat tinggi.

Affan tergelak perlahan melihat wanita itu. Dia keluar dari kawasan rumah mereka sebelum berhenti seketika di tepi jalan.

"Manalah airpod aku ni? Haih..."

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now