Bab 19

248 7 0
                                    

MEREKA berjalan di pesisir pantai. Nasib baiklah cuaca hari ini tidak terlalu panas.

Affan pandang jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 11 pagi. Dia tak masuk kerja disebabkan hendak berkelah dengan Qaseh.

"Apa perkara penting yang awak nak cakapkan tu?" soal Qaseh seraya menatap kasutnya. Kepala dipanggung apabila lelaki itu tidak menjawab soalannya.

Affan tarik nafas sebelum dihembus perlahan. Dia berhenti di hadapan gadis itu.

"Saya nak melamar awak jadi penghuni hati saya yang sah."

Kaki berhenti melangkah. Dan berundur beberapa langkah. Tersentak mendengar bicara lelaki itu. Tangan spontan menyentuh dada.

Degupan jantung Qaseh menjadi laju. Mulut terkunci untuk bersuara. Hanya menatap Affan sebelum mengalihkan pandangannya.

"Saya bagi awak masa, Qaseh. Saya nak awak fikir betul-betul. Tapi tak pula saya desak awak untuk terima saya," kata Affan lagi tatkala gadis di hadapannya itu mendiamkan diri. Dia tak mahu Qaseh terburu-buru memberikan keputusan.

Ambillah sebanyak mana pun masa, Affan tetap setia menunggu walaupun... keputusan itu mengecewakan.

'Tak ada keputusan yang mengecewakan, Affan. Yang ada hanyalah keputusan yang harus diterima dengan hati yang terbuka,' desisnya dalam hati.

Qaseh masih dengan keadaannya seperti tadi. Mata bergerak apabila melihat Affan keluarkan sesuatu dari dalam kocek seluar.

Sebuah kotak baldu berwarna merah. Lelaki itu buka sebelum terpampang sebentuk cincin.

"Affan... a... awak serius ke... ni?" Qaseh tak dapat kawal suaranya daripada bergetar. Kalau tadi dia tersentak, kini dia rasa nak pengsan.

Dia tak menyangka lelaki itu bakal melamarnya. Dia ingatkan hanya bercakap soal perasaan.

Affan tersenyum mendengarkan itu. "Saya tak akan bermain-main bila melibatkan soal hati dan perasaan."

Qaseh nak dia belah dada dulu ke untuk pastikan yang semua dia lakukan itu adalah serius? Sekarang juga Affan boleh belah.

Didekatkan kotak baldu itu kepada Qaseh. Meminta gadis itu untuk mengambil.

Dengan teragak-agak Qaseh menerima huluran itu. Bukan apa, dia takut jika keputusannya akan mengecewakan lelaki itu.

Kau nak tolak lamaran dia ke, Qaseh?

Nafas dihela perlahan.

"Macam mana kalau keputusan saya tak sama dengan apa yang awak harapkan?" soalnya tanpa memandang Affan. Tak sedar, tangannya menggigil kecil.

Terdengar suara lelaki itu tertawa. Qaseh kerutkan wajah. Dah kenapa Affan ketawa?

"Siapalah saya nak halang kebahagiaan awak? Kalau dah ditakdirkan saya bukan kebahagiaan awak, tak apalah. Awak berhak cari kebahagiaan awak sendiri. Dan..."

Affan tersenyum tipis.

"Saya akan mengundurkan diri."

Perjalanan di pesisir pantai itu, mereka teruskan. Tanpa sebarang suara yang keluar dari mulut masing-masing.

Qaseh mengusap kotak baldu yang dipegang itu. Affan di sisi, dia jeling sedikit. Dia nakkan kepastian daripada lelaki itu.

Dia berdeham dengan tidak kuat.

"Boleh saya tahu apa perasaan awak dekat saya?"

Affan toleh seketika sebelum memandang ke hadapan semula. Perlukah dia jawab soalan gadis itu?

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now