PERLAHAN pintu bilik dibuka sebelum kepala terjengul mahu melihat keadaan sang suami. Cuaca yang mendung menambahkan lagi kegelapan pada waktu maghrib itu. Qaseh menutup pintu.
Kelihatan Affan sedang tidur dengan lengan diletakkan di dahi. Tenang saja dada itu bergerak. Bibir tersenyum nipis.
Qaseh duduk di birai katil. Suasana bilik mereka sangat gelap dan hanya diterangi oleh cahaya lampu tidur. Dia mengamati wajah suaminya.
Ada luka kecil di tepi bibir itu. Terhela keluhan Qaseh. Masih tidak menyangka dan tidak percaya.
Sekarang, Qaseh tidak tahu mahu buat apa. Mama meminta dia untuk mengejutkan Affan dan bawa lelaki itu turun. Perut lelaki itu masih kosong sejak balik tadi.
Tangan menggigil perlahan. Qaseh cuba untuk menyentuh dahi suaminya. Bimbang jika suhu badan Affan panas kerana lelaki itu memakai selimut sehingga paras dagu.
Suaminya menggeliat sebelum mata itu terkebil-kebil memandang dia. Qaseh lemparkan senyuman rasa bersalah. Salah dia kerana telah mengganggu lena lelaki itu.
"Maaf ganggu awak. Saya cuma nak periksa awak demam atau tak," ucap Qaseh bersama mata setia memerhati lelaki itu. Berharap emosi Affan sudah reda.
Affan jatuhkan lengan dari dahi. Mata terbuka kecil. Dia berganjak ke belakang lalu bersandar pada kepala katil. Pelipis diurut dengan mata dipejam kembali.
Kepalanya rasa sakit. Tidak semena-mena, Affan mendesis kesakitan. Spontan, tangan naik menyentuh luka di hujung bibir. Dia mendengus dalam hati.
"Erm, awak dah solat maghrib?"
Soalan itu dibalas dengan anggukan. Tak apa, sekurang-kurangnya Affan masih mahu berbicara dengan dia walaupun menggunakan isyarat kepala.
"Kalau macam tu, jom turun. Mesti awak lapar, kan. Dari balik tadi, awak tak jamah apa-apa makanan. Jom, saya temankan awak makan."
Qaseh berpura-pura tidak mengingati apa yang telah terjadi tadi. Jujur dia katakan, dia takut untuk berhadapan dengan lelaki itu saat ini. Bermacam-macam andaian di dalam kepalanya.
Bagaimana jika Affan bertindak memukul dia?
Qaseh cepat-cepat beristighfar dalam hati. Kenapa dia berfikir begitu pula? Bersangka buruk terhadap sang suami. Astaghfirullahalazim.
"Jom." Sekali lagi Qaseh mengajak. Tangan suaminya ditarik dengan berhati-hati. Bimbang lelaki itu menganggap dia kasar.
Perlahan-lahan selimut diselak ke tepi. Affan hanya mengikut saat tangannya ditarik oleh Qaseh. Mulut yang terbuka, segera dikatup rapat.
Senyuman disembunyikan. Qaseh geli hati melihat tingkah laku lelaki itu. Baru bangun tidur pun comel. Kepala tergeleng.
Kini, mereka memasuki ruangan meja makan. Ada beberapa hidangan tersusun di atas meja. Semuanya Qaseh yang masakkan. Puan Amena ingin membantu namun dia menolak.
Qaseh mahu wanita itu berehat saja. Mesti hati mak mentuanya masih terkejut lagi. Sama seperti dia juga.
"Lauk ni baru je Qaseh masak tadi. Masih panas lagi. Oh ya, awak nak air apa? Air coklat?" Riuh Qaseh berbicara. Tidak mahu menghadirkan suasana janggal di antara dia dan suaminya.
Affan sekadar menjatuhkan kepala. Mata terus menatap tiga hidangan yang tersedia di atas meja. Kemudian, dia memerhati pergerakan Qaseh.
Pantas wanita itu bergerak meletakkan nasi ke dalam pinggannya. Tidak hanya itu, hidangan tersebut didekatkan. Sudu dan garpu dihulur dan Affan menyambutnya dengan perlahan. Sempat Affan menangkap senyuman sang isteri.
YOU ARE READING
SEPARUH NYAWAKU PERGI - OG
RomanceKnown as: Cinta Bukan Paksaan "Boleh jadi Allah ambil sesuatu yang istimewa dalam hidup kamu kerana Dia cemburu. Hamba-Nya sudah terlalu jauh." Start: December 2022 End: