BUKU menu diletakkan ke atas meja lalu ditutup perlahan. Qaseh memandang ke arah luar restoran. Lelaki yang bernama Affan itu, meminta diri untuk pergi ke tandas. Meninggalkan dia sendirian.
Tangan naik mengusap lengan di sebalik blouse yang tersarung. Pandangan orang lain terhadapnya, Qaseh hiraukan. Satu yang dia fikirkan.
Restoran itu agak mahal. Dan dia tidak selesa makan di restoran itu.
Telefon di dalam beg tangan, bergetar. Diambil sebelum melihat nama si pemanggil.
Puan Umi.
Qaseh tersenyum lebar.
“Assalamualaikum, umi.”
“Waalaikumussalam. Umi ganggu Qaseh ke ni?”
Kepala digelengkan walaupun wanita itu tidak dapat melihat. Dia okey sikit apabila Puan Khadijah menelefonnya.
“Tak ganggu pun umi. Qaseh sendiri je sekarang,” balasnya seraya memandang ke luar restoran semula. Bibir diketap rapat. Jangan-jangan lelaki itu sudah pulang?
Kedengaran suara uminya seperti terkejut. Kaki di bawah meja sudah menggigil.
“Affan tinggalkan Qaseh sendirian ke? Dia dah balik? Allahu...”
“Eh, tak umi. Tak. Dia kata nak pergi tandas tadi. Dia suruh Qaseh order makan dulu.”
Qaseh tak mahu Puan Khadijah menyalahkan Affan. Mungkin saja lelaki itu betul-betul pergi ke tandas. Hanya dia yang berfikiran negatif.
“Oh, dah cuba call dia? Mesej dia ke? Kesian anak umi ni,” bicara Puan Khadijah dengan nada yang sedih. Lembut tutur bicara wanita itu.
Bibir bahagian bawah digigit. Erk, Qaseh lupa nak minta nombor telefon Affan. Lepas saja dari menonton wayang, mereka terus menuju ke restoran ini.
Qaseh ingatkan nak berbual masa makan nanti. Tapi dia tak tahu nak mulakan dari mana. Sedangkan tadi, dia perasan Affanlah yang mula bersuara. Nak tengok wayang apa, lelaki itu yang pilihkan. Maklumlah dia pertama kali tengok wayang.
“Allah... Qaseh lupalah umi.” Perlahan suara Qaseh membalas.
“Hemm, tak apalah. Nanti umi minta dekat mama Affan, ya. Kalau Qaseh nak apa-apa atau tak selesa ke, call umi. Jangan paksa diri tu sebab nak turutkan permintaan umi ni, ya sayang.”
Senyuman tipis menghiasi bibir Qaseh. Setakat ini, alhamdulillah dia selesa dengan Arden Affan. Cuma... jantung dia lain macam sikit. Macam tengah maraton dekat padang. Laju semacam ia berdegup.
Kadang dia rasa malu nak pandang Affan. Tapi takut kena cop sombong pula. Sudahnya, pipi dia dah naik kebas, asyik tersenyum saja.
“Umi, Qaseh takkan datang jumpa Affan kalau Qaseh tak nak. Lagipun, inilah masa untuk Qaseh keluar dari zon introvert,” ujar Qaseh sebelum tertawa kecil. Mulut yang terbuka ditutup dengan tangan.
Kelihatan Affan yang berbaju kemeja putih ingin masuk ke dalam restoran, Qaseh segera memberitahu Puan Khadijah.
“Umi, Affan dah ada. Qaseh matikan dulu tau panggilan ni. Nanti Qaseh call umi balik, ya. Assalamualaikum.”
Selepas uminya membalas salam, talian terus ditamatkan. Telefon diletakkan ke atas meja.
Qaseh tersenyum memandang Affan yang duduk di hadapannya.
“Sorry, lambat. Tandas jauh sangat dari restoran ni. Awak dah pesan makanan?”
Kepala digelengkan. Buku menu segera dibuka.
YOU ARE READING
SEPARUH NYAWAKU PERGI - OG
RomanceKnown as: Cinta Bukan Paksaan "Boleh jadi Allah ambil sesuatu yang istimewa dalam hidup kamu kerana Dia cemburu. Hamba-Nya sudah terlalu jauh." Start: December 2022 End: