DIRENUNG sekujur jasad kecil di tangan sendiri. Kain putih telah menyaluti tubuh si kecil mereka. Bibir Affan bergetar perlahan. Menahan perasaan sebak di dada. Jiwanya terlalu lemah untuk menerima berita itu.
Dia tidak sanggup kehilangan si kecil mereka. Si kecil yang Affan dan Qaseh telah lama nantikan.
Sekonyong-konyong, bahu Affan terasa disentuh. Dia alihkan pandangan mata ke arah Ayden yang berada di sisi. Sedari tadi, abangnya itu tidak meninggalkan dia bersendiri. Manakala Puan Amena hanya melihat dari jauh.
Si ibu tidak dapat mendekati Affan kerana akan menangis jika melihat diri lelaki itu. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya bersedih begitu. Lagi-lagi penantian yang berhujung duka.
"Affan..." panggil Ayden dengan nada perlahan. Seakan memberi kekuatan kepada adiknya.
Ayden tidak mahu memberikan kata-kata semangat. Kerana itu tidak akan berhasil di waktu begini. Itu hanya akan buat fikiran Affan kusut.
Pakaian saja lelaki itu masih belum tukar. Masih pakaian kerja yang tersarung.
Mereka masuk ke dalam sebuah kereta milik Ayden. Kereta dipandu oleh Syafit keluar dari kawasan hospital.
Affan duduk di sisi abangnya. Mata menatap sayu si kecil. Ringan. Berat si kecil itu adalah 2.5 kilogram sahaja.
Bibir diketap rapat. Birai mata mulai berkolam hangat. Dadanya seakan dihimpit batu. Menyesakkan.
Tiba-tiba dia terkenangkan Qaseh yang tidak dapat melihat anak mereka. Isterinya masih belum sedarkan diri. Bahkan terpaksa ditidurkan.
Affan pejamkan mata. Peritnya hidup seorang Arden Affan. Hilang anak manakala si isteri tidak sedarkan diri.
Andai saja Affan dapat bertemu Qaseh sebelum wanita itu tidak sedarkan diri... Dia mahu mengatakan dia benar-benar cintakan Qaseh Awliya.
Dia takut kehilangan Qaseh.
Ayden melirik si adik di sebelah kanannya. Helaan nafas panjang dikeluarkan.
Perlahan-lahan, dia mengambil jasad si kecil daripada pegangan lelaki itu. Kini, Ayden dapat merasakan ringan tubuh anak saudaranya itu. Dia pula diserang rasa hiba.
Dia juga seorang bapa. Tapi Ayden tidak merasakan sakit kehilangan anak yang dinanti.
Apabila jasad itu beralih tangan, Affan terus menekup wajah. Hatinya benar-benar tak tahan menahan sesak di dada. Tangisannya mula kedengaran.
Bahu terhinjut-injut. Sakit ini menyengat di hati.
Perjalanan menuju ke tanah perkuburan itu ditemani dengan tangisan Affan. Ayden dan Syafit, masing-masing mendiamkan diri.
Setibanya di kawasan tanah perkuburan, Affan mengambil jenazah bayinya daripada Ayden. Sempat dia menghapuskan cecair hangat di pipi.
Kaki Affan menuju ke arah beberapa orang penggali kubur yang menanti mereka. Terasa lemah kakinya hendak terus melangkah.
"Encik Affan?"
Ayden menganggukkan kepalanya bagi pihak Affan. Jasad si kecil itu Affan hulurkan kepada seorang penggali kubur yang sudah berusia.
Melihat anaknya kini diletakkan di dalam satu lubang, Affan terus alihkan pandangan. Dia tak sanggup melihat si kecil yang dinantikan itu, ditimbus dengan tanah.
Jatuh air mata Affan sebaik bahunya diusap. Mengerti bahawa Ayden mahu dia bertenang sedikit.
Sedari tadi, tiada langsung kata yang diucapkan oleh Affan. Sekadar gelengan dan anggukan sebagai balasan.
YOU ARE READING
SEPARUH NYAWAKU PERGI - OG
Storie d'amoreKnown as: Cinta Bukan Paksaan "Boleh jadi Allah ambil sesuatu yang istimewa dalam hidup kamu kerana Dia cemburu. Hamba-Nya sudah terlalu jauh." Start: December 2022 End: