4: Pahlawan Melaka

50 8 2
                                    

"Sakit oi, janganlah tarik kuat-kuat".

Seroja merengek kesakitan tatkala kuku tajam itu menerkam lengan kecilnya. Lagi teruk, dirinya diseret tanpa rela ke tempat yang dia sendiri tidak tahu. Kalau ditilik wajah berang lelaki itu, Seroja sendiri tahu ada rancangan di sebalik dirinya yang sedang ditarik kasar.

Mungkin dia akan dihukum gantung.

Tak pun kena baling dalam sungai.

Kalau nak lebih tragik, mungkin disembelih dan diberikan pada anjing untuk dimakan.

Mak, tak nakk!

Seroja sudah mula menyusun taktik di kepalanya. Apa-apa pun yang jadi dia perlu larikan diri juga. Di tengah-tengah hutan belantara ini, apa-apa sahaja boleh terjadi. Hal ini melibatkan hidup dan matinya. Malang betul nasib seorang Seroja Puteh. Sudahlah tersangkut di masa lampau, sekarang kena tangkap mencuri pulak!

Punyalah sibuk memikirkan strategi nak meloloskan diri, Seroja sendiri tidak perasan bahawa dirinya kini dibawa ke sebuah tempat perkhemahan agaknya di tengah-tengah hutan. Tidak jauh dari kawasan itu, sebatang sungai jernih mengalir. Sungai yang tadinya menjadi sumber minumannya.

Seroja diam tidak berkutik, mindanya sibuk mencerna kawasan kecil ini, mencari setiap peluang untuk lolos yang ada. Namun, gagal.

Kerana di setiap penjuru kawasan perkhemahan ini, ada lebih kurang 10 orang lelaki berbadan sasa yang mengawal sambil memegang tombak tajam di tangan mereka. Sempat mata Seroja bertaut dengan salah seorang daripada mereka, namun hanya wajah bengis sahaja yang menyapa Seroja.

Semua berwajah kehairanan.

Bukan mereka sahaja yang hairan, Seroja pun turut hairan. Apa motifnya dibawa ke tengah-tengah hutan pun dia kurang pasti, tambahan pula di tempat para jejaka badan Zul Ariffin pula. Takut!

"Aku mencari Tuah. Mana Tuah?"

Lelaki tegap yang sedang menahan lengan Seroja mulai bersuara.

Setiap pasang mata kini jatuh pada figura tegap itu, sebelum bergerak pada gadis genit di sisinya. Berpakaian aneh berseluar, padahal mana ada wanita berpakaian lelaki pada tika itu. Agak kekok Seroja rasa apabila dirasakan seluruh tubuhnya diteliti oleh setiap mata di tempat itu.

Ianya bukan pandangan nafsu, cuma penuh dengan hairan dan marah apabila ada orang asing yang mencerobohi kawasan jagaan mereka.

"Ada apa kau cari aku, Kasturi?"

Mata-mata tadi kini beralih arah. Kini, mata-mata tersebut terlekat pada susuk tubuh yang sedang duduk berteleku di bawah pokok rendang sambil tangannya mengelap sebilah keris panjang yang belatinya bersinar dari jauh. Jari jemari kekar itu menghelus lembut setiap lekuk keris itu dengan penuh cermat, seakan keris itu memegang seluruh jiwa raganya. Fokusnya hanya pada sebilah keris itu, biarpun lidahnya menuturkan kata-kata pada si Kasturi.

Seroja tidak mampu menarik pandangannya daripada lelaki itu. Walaupun dalam keadaan bersahaja, posturnya tegap, matanya memincing ke arah lekuk keris di tangannya sambil setiap inci keris itu dikilatkan. Seroja yakin lelaki ini tinggi orangnya walaupun agak sukar untuk meneka kerana posturnya yang masih duduk.

Seroja seakan terpana.

Tertarik untuk terus memerhati setiap gerak-gerinya.

Aura lelaki itu bak menikam sukma, biarpun hanya dilihat dek mata, Seroja tahu lelaki itu berbahaya. Bahkan Seroja yakin lelaki itu bukannya orang biasa-biasa.

Kepalanya yang tadi menunduk untuk memberi fokus sepenuhnya pada belati keris diangkat. Anak mata hitam gelap itu tajam memincing ke arah Kasturi, sebelum jatuh pada wajah Seroja yang dia tidak kenali. Walaupun hairan akan keberadaan orang asing di tempat jagaannya, wajahnya kekal beriak kosong. Tiada reaksi yang ditunjukkan, seolah keberadaan manusia asing di sisi Kasturi langsung tidak memberi kesan padanya. Riak wajahnya seakan mempunyai dinding tebal yang sukar dibolosi.

Hikayat Cinta MelakaWhere stories live. Discover now