Betullah orang cakap. Jangan terlalu berharap. Apabila sudah terlalu mengharapkan sesuatu yang belum pasti, hati lebih mudah tersakiti. Nasihat itu sepatutnya Seroja hadam kuat-kuat, kan dah tersakiti sekarang.
Ajakan si Jebat tadi membuatkan hati Seroja berbunga-bunga. Tidak disangka, Jebat akhirnya mengajaknya meluangkan masa bersama berdua. Mustahil Seroja nak menolak pelawaan Jebat untuk bersantap bersama.
Tetapi, kalaulah Seroja tahu si Tuah pun ada bersama, kirim salam lah jawabnya. Lagi sanggup Seroja makan seorang diri.
Nasi sudah menjadi bubur. Benda pun dah sampai kedai makan, apa lagi yang Seroja boleh buat? Semua salah si Jebat, kenapa tak beritahu awal-awal yang si Tuah pun ada? Dah tak pasal-pasal Seroja membabi-buta nak ikut.
Mee kuah pekat yang tampak menggiurkan itu langsung tidak menjentik selera makan Seroja walaupun perutnya tengah berkonsert. Dikuis-kuis mee tersebut tanpa ada niat untuk makan. Sepasang anak mata helang dihadapannya lah punca Seroja hilang nafsu makan. Nak makan pun sibuk mengawasi gerak-geri Seroja lagi. Macam lah Seroja ada simpan bom. Kalau ada simpan bom pun, dia lah orang pertama yang Seroja nak bom heh!
"Tidak usah bermain dengan makanan jika tidak mahu bersantap. Rezeki Tuhan tidak boleh dibawa main. Tambahan pula makanan ini dipelawa oleh pembesar istana".
Dari tadi Seroja berharap agar Tuah kekal senyap, tapi dibuka juga mulutnya yang menjengkelkan itu. Si Jebat ni bila pula nak muncul? Dari tadi menghilang. Selepas mengiringi Seroja ke kedai makan, Jebat terus menghilang. Kononnya ada hal yang perlu diselesaikan sementara.
Seroja menghela nafas panjang, matanya digulingkan tanda tidak puas hati. Garfu kayu Seroja lepaskan tanda protes.
"Dah? Puas hati? Memang tak nak makan pun, hilang selera".
Saja Seroja menekan perkataan terakhir dalam ayatnya itu. Harap-harap si Tuah dapatlah faham. Kewujudan seorang Tuah di hadapan Seroja sangatlah menjengkelkan buat Seroja. Satu ayat keluar dari mulut Tuah boleh membuatkan Seroja tidak keruan.
Tuah menjungkit bibirnya sedikit. Garfu di genggamannya dilepaskan perlahan di bibir mangkuk.
"Mengapa tidak mahu bersantap pula? Hari itu bukan tuan hamba kah yang mencuri makanan tentera patik. Sekarang apabila diberi makanan, tidak mahu menjamah pula?", ujar Tuah sinis. Saja Tuah hendak menguji Seroja.
Aik, sejak bila mamat ni bahasakan diri dia patik bagai ni? Siap tuan hamba bagai?
Kerek betul.
Seroja mencebik.
Matanya memincing tajam ke arah Tuah. Sindiran pedas Tuah dibiarkan tanpa jawapan. Biarlah tatapan matanya yang membalas Tuah. Seroja takut kalau dia menjawab nanti tak pasal-pasal dari kedai makan boleh jadi gelanggang WWE.
Seketika, Seroja memandang ke arah lain. Takut ketumbit pula matanya kalau asyik memandang wajah Tuah. Harap muka je kacak.
Terkejut Seroja melihat hampir kesemua wanita di kedai itu sedang menonong melihat ke arahnya. Lebih tepat bukan ke arah Seroja, tetapi figura di hadapan Seroja yang tengah khusyuk mengunyah mee. Pandangan wanita-wanita itu jelas kelihatan takjub dengan makhluk tuhan bernama Tuah ini. Siap ada yang menongkat dagu agar boleh melihat Tuah dengan lebih lama. Famous juga si Tuah ni. Dari luar kedai makan ini pun ramai yang mengintai Tuah dari pintu sambil tergelak sipu malu. Tuah pula? Langsung tidak ambil kisah walaupun dia tahu ramai yang sedang menunggu untuk mendapat perhatiannya.
Sayang, kalau mereka yang meminati Tuah ini berada di tempat Seroja, apa yang mungkin mereka rasa? Masih takjub ke?
"Annoying macam ni pun orang nak", ngomel Seroja.
Tuah menjeling Seroja sejurus melihat mulut Seroja terjuih-juih mengomel. Seketika, senyuman sinis muncul di bibir Tuah. Tuah tahu gadis di hadapannya ini amatlah tidak menyukai kewujudannya di sini. Bukan salah dia, si Jebat yang sibuk ajak Seroja bersantap bersama. Si Jebat pun langsung tidak beritahu apa-apa pada dia, tahu-tahu Seroja sudah ada di hadapannya.
"Tuan hamba ke mari berseorangan?"
Tuah memulakan perbualan sekali lagi.
Seroja diam, buat-buat tak dengar. Matanya diliarkan ke arah seluruh kedai makan untuk mencari susuk tubuh Jebat.
Tuah berdehem.
"Patik yakin patik tak berbicara dengan kayu".
Seroja menjeling tajam Tuah. Sudahlah, buang masa saja layan si Tuah ni. Semalam bukan main marah-marah, hari ini ada hati nak bersembang pula.
Seroja bingkas bangun dari kerusi. Ayat sarkastik Tuah diendahkan oleh Seroja. Mee kuahnya dibiarkan tidak diusik. Dia ingin keluar dari kedai makan itu dan mencari Bahari untuk diajak pulang. Lain kali je lah dating, Jebat.
Pucuk dicita ulam mendatang orang kata.
Baru sahaja Seroja mahu bangkit dari kerusi, wajah yang dia tunggu-tunggu dari tadi mulai menjelma. Wajah tak bersalah si Jebat yang meninggalkan Seroja bersama si Tuah.
Terus melebar senyuman di wajah Seroja. Knight in the shining armor sudah mari.
"Maaf patik lambat. Patik terlihat sesuatu yang patik minat tadi. Terlupa akan masa pula".
"Eh tak apa lah. Patik tidak kisah pun menunggu", balas Seroja.
Tuah yang sedang menghirup kuah meenya tergelak kecil mendengar balasan Seroja. Bukan main menggeletis ye kau, Seroja. Seroja menjungkit bibir. Ada lah tu Tuah nak kutuk apa-apa.
Tuah berdehem.
"Nasib kau ke mari, Jebat. Baru sahaja tadi Seroja mahu pulang. Katanya sudah bosan menunggu".
Ey, mamat ni.
Nak je Seroja letak cili kat mulut dia, bagi dia diam sikit. Sibuk je!
"Eh mana ada! Patik tidak kisah menunggu tadi. Lagipun kan ada Tuah. Sempat kami bersembang tadi".
Entah kenapa, ayat terakhir itu memang meloyakan tekak Seroja. Masa bila dia bersembang dengan Tuah pun dia tak tahu, tapi nak jaga hati Jebat punya pasal. Kerana terpaksa, Seroja relakan. Pandangan tajam Seroja hadiahkan pada Tuah agar lelaki itu tidak membuka mulut namun, pandangan itu langsung tidak Tuah endahkan. Fokusnya berbalik pada mangkuk mee kuahnya sebelum suapan seterusnya Tuah ambil.
Pandai pun duduk diam.
YOU ARE READING
Hikayat Cinta Melaka
RomanceMencintai dan dicintai. Dengan rahsia dan kuasa cinta, masa tidak lagi mampu memutuskan dua atma yang bersatu atas lafaz cinta. Dua waktu zaman berbeza, namun satu rasa yang sama. " Fitrah kanda milik adinda selamanya, atma ini hanya berdegup dengan...