14: Rombongan

49 6 5
                                    

Pantulan wajah di cermin hadapannya Seroja lihat sekilas sambil tangannya ligat memperbetulkan kain kelubung songket. Hari ini, kain kelubung yang dipakai oleh Seroja sedikit mewah kerana diperbuat oleh kain tenun yang halus buatannya. Hari ini bukan hari biasa. Hari ini, baginda Sultan bertitah untuk berjumpa dengan semua pembesar istana. Seroja sebenarnya tidak tahu mengapa dia turut dipanggil juga padahal jauh lagi pangkatnya dari pembesar istana.

Malas ingin mempersoalkan titah sultan, tambahan pula sultan telah banyak membantu Seroja dengan memberi peluang untuk Seroja menjadi tetamu istana, tak adalah Seroja duduk merempat walaupun menjadi ahli nujum sambilan.

"Sudah?"

Bahari menyoal. Nasiblah ada Bahari, kelengkapan baju Seroja dari tudung hinggalah ke ibu jari kaki semuanya disiapkan oleh Bahari.

Seroja kerling persalinannya dari atas sampai bawah sebelum mengangguk ke arah Bahari yang telah membantunya bersiap tadi.

"Rasanya macam dah".

"Baguslah. Baik kau pergi sekarang. Ada orang yang sedang menunggu kau di luar bilik".

Seroja mengerut dahi.

"Siapa pulak?"

"Kau lihatlah sendiri".

Bahari tergelak kecil sebelum menapak keluar. Seroja turut membontotinya keluar. Pintu bilik dikuak luas, menampakkan susuk tubuh yang sedang menyandar pada dinding biliknya. Mendengar pintu dikuak buka, lantas laju susuk tubuh itu berdiri semula dan berpaling ke arah Seroja.

"Seroja".

Tersembul wajah bersih milik Jebat di hadapan pintu bilik Seroja. Senyumannya lebar sehingga menampakkan sebaris gigi putihnya. Sapaan mesra Jebat, Seroja balas dengan senyuman lebar juga.

"Maaf jika Seroja terkejut. Patik mahu berjalan bersama Seroja ke balairung istana. Alang-alang Seroja juga dipanggil sultan, patik pun sudah lama tidak melihat Seroja di istana".

Betul, memang agak lama mereka tidak berjumpa. Hampir seminggu juga. Biarpun ada setitik rasa rindu dalam hati, Seroja pendamkan sahaja. Lagipun, bukannya Jebat pergi jauh. Masih di Melaka juga tapi Jebat berpangkat Laksamana. Tugasnya banyak di perairan Selat Melaka dan jeti perlabuhan. Selepas lukanya sembuh, Jebat terus meyambung tanggungjawabnya. Nak nampak batang hidung pun susah.

Seroja masih sedar bahawa dia dan Jebat tiada apa-apa. Jika difikirkan, siapalah dia jika dibandingkan dengan Jebat. Jebat jauh lebih layak dengan wanita yang jauh lebih sempurna. Dan jikalau Jebat tahu asal-usulnya, masihkah Jebat merasakan perasaan yang sama?

Seroja angguk sahaja. Biarpun perjalanan dari biliknya ke balairung tidaklah begitu jauh, Seroja menikmati keberadaan Jebat. Langkah pun dibuka seiring dan sejalan. Lantai kayu istana pun terasa seperti taman bunga. Agak aneh apabila Seroja merasakan dirinya diperhatikan oleh beberapa dayang-dayang yang melepasi mereka berdua tetapi entah mengapa, Jebat langsung tampak tidak terkesan. Mungkin sudah terbiasa dengan jelingan manja wanita-wanita istana. Maklumlah, dia kan Jebat!

Perjalanan ke balairung yang selalunya memakan masa sekejap sahaja terasa lama. Jebat pun langsung tidak berkata apa-apa. Sekadar menjeling manja ke arah Seroja sambil mereka menapak. Apabila Seroja menangkap pandangan matanya, dia hanya tersenyum bahagia. Tetapi, Seroja lihat dia tampak lebih bahagia hari ini. Dari tadi tidak henti-henti tersenyum serupa kerang busuk. Cuma bezanya, Jebat tampan dan tidak busuk.

Seroja berdehem. Janggal juga kalau berjalan dalam diam.

"Tuan hamba nampak bahagia hari ini. Ada apa-apa ke?"

"Patik nampak bahagia?"

Seroja angguk.

"Sudah pastilah patik bahagia. Dapat berjalan beriringan bersama tuan hamba sudah cukup membahagiakan patik".

Hikayat Cinta MelakaWhere stories live. Discover now