16: Gusti Puteri

60 8 2
                                    

"Hah! Lama lagi ke?"

"Jauh lagi ke ni?"

"Bila nak sampai?"

Hampir sejuta kali Seroja mengulang-ulang ayat-ayat ini tanpa mengenal erti lelah secara berbisik. Malah, setiap langkah yang diambil oleh Seroja untuk mendaki gunung ini diselangi dengan rungutan ketidakpuasan hatinya. Bagi Seroja, sangatlah tidak adil untuk dia dipaksa mengikut rombongan ini padahal boleh sahaja dia buat ramalan di istana.

Setelah berjuta kali Seroja merengek, akhirnya sampai juga rombongan istana hampir di puncak Gunung Ledang. Terduduk Seroja menahan rasa penat yang membunuh kakinya, termasuklah mencuri rentak nafasnya. Air bekalannya pun diteguk tanpa memikirkan apa-apa lagi. Sekian lama dia hidup mungkin inilah saat Seroja paling aktif sejak dari zaman bangku sekolah. Sudahlah dia asyik tertinggal di belakang, Jebat pun langsung tidak hiraukannya. Dibiarkan sahaja Seroja membontoti dari belakang, semuanya kerana Jebat terbawa-bawa penyakit angin tak tentu pasalnya.

Seroja duduk agak jauh daripada pembesar yang lain. Rasa canggung apabila dia bersama pembesar lain masih kuat terasa, lagipun hanya dia sahaja perempuan yang ditanggungjawabkan untuk ikut bersama.

Seroja menarik nafas lega. Botol air yang diperbuat daripada buluh itu dia tutup lalu letak ke tepi. Lega apabila tekaknya dibasahi air.

Seroja mengesan kesemua pembesar di hadapannya. Ada yang kurang.

Jebat dan Tuah.

Laju betul dua orang ni hilang.

Seroja mendongakkan kepalanya sedikit untuk mencari kedua-dua sosok lelaki itu, langsung tidak nampak kerana keadaan gunung yang dikelilingi hutan belantara yang tebal. Maklumlah, pada zaman ini, hutan masih dijaga baik, langsung tidak dibalak.

"Kita beristirehat di sini dulu sebelum terus ke puncak. Sediakan apa yang patut untuk bertemu Gusti Puteri".

Tun Mamat bersuara selaku pembantu kepada Tuah. Dapat Seroja lihat muka-muka keletihan para pembesar tadi berubah lega. Hah! Ini bukti bukan Seroja sahaja yang rasa penat. Bezanya, mereka tidak mengomel kepenatan.

Alang-alang sedang berehat, ada bagusnya juga jika Seroja lelap seketika. Memang tidak pelik jika dia berasa penat kerana rombongan diraja bertolak seusai solat Subuh. Dari matahari terbit hingga matahari sudah terpacak atas kepala mereka mendaki Gunung Ledang hanya untuk menyampaikan hasrat baginda sultan pada Gusti Puteri.

Baru Seroja memejamkan kedua-dua matanya, terus pandangan cerah semula.

Perutnya memulas pula.

Seroja terus meneliti kawasan di sekitarnya. Semuanya semak-samun, mana nak ada tandas atas gunung. Tertelan air liur Seroja dibuatnya. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja dia tahan hingga ke istana, namun bila perut terasa semakin memulas, Seroja membatalkan hasratnya. Tak kira, dia kena melepas jugak! Perut ni pun satu, tadi taknak melepas. Dah naik gunung baru nak melepas.

Ditinggalkan rombongan diraja yang tengh beristirehat itu menuju mencari lokasi sesuai untuk melepaskan hajat. Menonong Seroja berjalan mencari tempat sesuai, asalkan tidak boleh dilihat orang dan ada sumber air yang cukup. Air sungai pun Seroja cukup bersyukur.

Seakan Tuhan membalas doa hamba kecilnya itu, Seroja mendengar bunyi aliran air terjun yang agak kuat berdekatan dengannya. Kalau ada air terjun mestilah ada aliran sungai. Memang Seroja perlukan air sungai pun. Tidak menunggu lagi, laju Seroja menapak ke arah bunyi air terjun itu, dia dah tak boleh tahan lagi.

Betul tekaan Seroja. Kerana di hadapannya, memang betul ada air terjun yang mengalirnya juga air sungai yang jernih hingga terlihat segala batu-batu di dasarnya. Airnya juga tidak terlalu deras dan tidak terlalu perlahan walaupun terletak di kawasan berbukit.

Hikayat Cinta MelakaWhere stories live. Discover now