Daun kering yang bertulis bahasa Jawa Kuno itu Seroja tilik dalam-dalam hingga hampir timbul lubang. Tajam lagi renungan Seroja dari hujung pisau. Sambil itu, Seroja mengalihkan semula arah matanya pada semangkuk air yang dia minta dari pembesar istana tadi sebagai 'prop' untuk meyakinkan mereka bahawa dia mampu menilik syarat yang diberikan oleh Gusti Puteri.
Sesekali, Seroja mencuri pandang wajah-wajah gusar pembesar istana yang sedang mengelilinginya dalam bentuk bulatan, bezanya Tuah sahaja yang berada agak jauh dari bulatan tersebut. Tangan Tuah dicekak di pinggangnya sambil anak matanya turut fokus pada pelakuan Seroja.
Helaian daun kering bertulisan Jawa Kuno ini juga Tuah yang hulurkan kepada Seroja untuk ditilik maknanya sebelum Tuah langsung beredar meninggalkan pembesar yang lain untuk turun dari gunung.
Dan kini, bertapak di kaki Gunung Ledang, seorang Seroja yang langsung tidak tahu apa yang perlu dia tafsirkan daripada sehelai daun kering berbahasa jawa ini. Dia ahli nujum, bukan pakar bahasa!
Tertelan air liur Seroja melihat wajah pembesar-pembesar di hadapannya yang masih galak menunggu jawapan dari mulut Seroja. Masing-masing terpaku pandangan pada daun kering tersebut, sambil memikirkan berita apa yang mereka boleh bawa pulang ke istana untuk baginda Sultan.
Seroja merenung semula daun kering itu, namun kini dengan pandangan kosong. Nak dekat setengah jam dia bertapak di bawah gunung ini, masih tiada jawapan yang menjengah.
Dalam hati, Seroja dah mencarut berbakul-bakul. Tidak! Dia tidak akan beritahu pembesar-pembesar ini yang dia langsung tak faham apa yang ditulis atas daun ini. Seroja kenalah tunjuk bijak, supaya penipuannya tidak terbongkar.
"Masih belum jumpa maksudnya?"
Soalan Tun Mamat seakan mencepatkan detik dalam kotak fikiran Seroja. Lagi berdegup kencang jantungnya.
Sabarlah kejap, ish!
"Aaaaa... sikit lagi. Ilham tu dah nak sampai".
Satu lagi penipuan sunat.
Seroja menghadiahkan senyuman nipis pada Tun Mamat yang muka sudah berubah kelat kerana terlalu lama menunggu. Tun Mamat hanya menaikkan dahinya apabila Seroja memberikannya senyuman.
Cepatlah fikir, Seroja. Apa yang Gusti Puteri akan minta sebagai hantaran?
Kalau bukan sebab pembesar-pembesar istana yang setia mengawasi pergerakannya dari tadi, Seroja dah lama main tarik rambut. Ini masalah Gusti Puteri, kenapa bagi syarat dalam Bahasa Jawa, padahal boleh je cakap Melayu! Yang masalahnya dia. Apa yang dia nak kelentong ni?
Dipejam mata kuat-kuat, kononnya mencari ilham. Dalam kotak memorinya, Seroja cuba mengingatkan semula helaian buku cerita dongeng Lagenda Puteri Gunung Ledang yang pernah dia baca waktu kecil dahulu. Satu per satu babak dalam buku cerita itu disingkap dalam memorinya, hinggalah sampai pada babak yang paling dia cari.
Aha!
7 syarat Puteri Gunung Ledang pada baginda sultan.
"Pertama, sebuah jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka. Kedua, sebuah jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang. Ketiga, 7 dulang yang diisi hati nyamuk. Keempat, 7 dulang yang diisi hati hama. Kelima, 7 tempayan yang dipenuhi air mata anak dara. Keenam, 7 tempayan air pinang muda; dan ketujuh, semangkuk darah Raja Muda Melaka".
Laju Seroja menutur apa yang diingati olehnya. Tak sangka cerita rakyat begitu boleh menyelamatkannya pada waktu sesak sebegini. Nak berair air mata Seroja, terharu dengan kebolehan sendiri.
Berair juga air mata pembesar-pembesar di hadapan Seroja ini, kerana mereka yang perlu sampaikan berita ini pada baginda sultan. Tujuh syarat yang langsung tidak masuk akal! Ada yang ternganga mendengar syarat yang keluar dari mulut Seroja, malah ada yang sudah terpinga-pinga.
"A-Apa?!"
Keluar juga suara Tun Mamat apabila mendengar syarat Gusti Puteri. Pembesar yang lain hanya diam dengan mata yang terbuntang. Tuah terus mengalihkan pandangannya tepat pada wajah Seroja yang berjaya menafsirkan kandungan dalam daun kering tersebut. Wajahnya masih sama, masih bereaksi tenang namun keningnya sedikit terangkat.
"Tuan hamba yakin itu isinya?", soal Tun Mamat.
Laju daun kering itu berubah tangan. Tun Mamat mengambil daun kering itu lalu ditelitinya baik-baik.
Seroja hanya tersenyum kecil. Kalau apa yang dialaminya sekarang adalah mengikuti kisah rakyat tersebut, maka betullah apa yang dia cakap tadi. Tujuh syarat Gusti Puteri yang diletakkan untuk Sultan Melaka mengahwininya.
Baginda Sultan hanya diam. Daun kering itu ditilik lama sebelum diletakkan di bawah semula. Daun kering itu dipandang sekilas sebelum anak matanya jatuh pada pembesar-pembesar dan Seroja yang sedang duduk merafak sembah di hadapannya.
Beberapa pakar bahasa Jawa Kuno dipanggil untuk menghadap Sultan bagi mengesahkan pentafsiran Seroja terhadap kandungan daun kering itu. Dan ternyata, Seroja betul. Memang apa yang disenaraikan okeh Seroja terbukti benar dan sahih.
Nafas panjang ditarik oleh baginda Sultan. Mata dipejam seketika sambil nafas dilepaskan dalam.
Tujuh permintaan yang sia-sia.
Tujuh permintaan yang mencabar egonya.
Tapi, menyerah itu bukan pilihannya.
Anak mata Sultan memandang tajam ke arah setiap pembesar di hadapannya. Satu per satu ditilik lama, terutamanya si Laksamana kesayangannya, Tuah.
"Jika benar apa yang diminta Gusti Puteri mampu menjadikannya Permaisuri Melaka...
...maka kerahkan semua hamba untuk penuhi ketujuh syarat ini".
Terkedu.
Semua orang disitu diam seribu bahasa.
Tun Mamat mengerutkan dahinya. Jelas dia berubah panik mendengar titah baginda sultan, namun wajahnya dipaksa beriak normal semula.
"Ampun tuanku. Tuanku yakin dengan pilihan tuanku? Darah Raja Muda perlu dia–".
Belum sempat Tun Mamat menyambung ayatnya, baginda sultan mencelah.
"Tugasmu untuk mengikut segala titahku. Jika itu yang Gusti Puteri mahukan, maka itu yang beta akan berikan".
Jelingan mata baginda sultan berubah ke arah tempat Raja Muda selalu duduk di balairung istana. Bermain di fikirannya wajah anakandanya yang dia tatang bagai minyak yang penuh.
"Apapun beta sanggup lakukan".
"Walaupun pahitnya kalah hempedu".
YOU ARE READING
Hikayat Cinta Melaka
RomanceMencintai dan dicintai. Dengan rahsia dan kuasa cinta, masa tidak lagi mampu memutuskan dua atma yang bersatu atas lafaz cinta. Dua waktu zaman berbeza, namun satu rasa yang sama. " Fitrah kanda milik adinda selamanya, atma ini hanya berdegup dengan...