8: Percayalah Aku

44 5 3
                                    

Dari telinga ke telinga Seroja tersenyum lebar. Kemenangan Jebat dalam pertempuran tadi sudah berjaya menguatkan keyakinan baginda Sultan dan pembesar-pembesar diraja tentang kebolehannya untuk meramal masa depan. Dengan ini, dia tidak akan disabit kesalahan kerana mencuri dan sudah tiada lagi sebab untuk Tuah mencurigainya lagi.

Malah, ketika ini, Seroja boleh duduk dengan selesa bersama-sama tuanku baginda dan pembesar-pembesar lainnya untuk menyantap jamuan kemenangan Jebat di balairung istana. Seroja dilayan seakan-akan tetamu.

Tipu jika Seroja tidak berasa canggung kerana hanya dia sahaja orang biasa-biasa dalam kalangan pembesar dalam ruangan ini. Asbab rasa canggung itulah membuatkan Seroja hilang selera. Ayam panggang yang dihidangkan di hadapannya pun Seroja pandang sekilas sahaja. Berada dalam satu ruang yang didominasi jejaka-jejaka Melayu yang berbeza pangkat dan berbeza zaman membuatkan Seroja tidak selesa.

Mereka yang lain sibuk bergelak tawa, bertukar hidangan dan rancak berbual bagai tiada hari esok. Ditinggalkan pula Seroja di situ tanpa siapa-siapa yang dia kenali, Seroja hanya diam seperti patung cendana. Tuanku Sultan pun kelihatan girang atas kemenangan Jebat tadi, siap bertukar hidangan dengan para gundik diraja dan permaisuri diraja lagi.

Kalau lah ada Bahari, taklah Seroja rasa janggal sebegini. Tiada langsung wajah yang Seroja kenal kecuali Kasturi dan beberapa pembesar istana yang dia jumpa siang hari tadi.

Bercakap tentang Tuah, dia pun tidak nampak langsung batang hidung Tuah. Tuah menghilang selepas pertarungan tadi. Bukannya Seroja sengaja nak mencari Tuah, tetapi hanya Tuah sahaja yang dia kenal pun. Yang lain, berbual pun tak pernah.

Seroja hela nafas panjang. Diangkat punggungnya lalu berjalan keluar dari balairung istana untuk menghirup udara malam di perkarangan istana. Terlalu banyak perkara yang berlaku pada hari ini, Seroja perlu masa untuk menenangkan dirinya.

Perkarangan istana yang sunyi sepi seakan membuka ruang untuk Seroja bertenang. Serabut fikirannya dari pagi tadi hingga ke malam mengingatkan nasib dirinya malang. Agak sukar untuk Seroja terima bahawa dia kini bertukar zaman. Gila untuk Seroja terima, ingatkan dalam drama sahaja berlaku perkara sebegini. Nak dikatakan dia bermimpi, sumpah Seroja dapat rasakan segalanya terlalu realistik untuk menjadi imaginasi.

Seketika, air mata Seroja bergenang. Secebis rasa dalam hatinya diselubungi rasa takut. Rasa kegelisahan tentang nasibnya disini. Sama ada dia masih ada harapan untuk pulang. Sama ada dia mampu bertahan disini ataupun tidak.

Air mata di pipi Seroja seka. Lagi dia seka, lagi galak air mata itu tumpah. Tumpah sehingga membasahi kain kelubung dan tudungnya. Kepalanya jatuh menghadap bumi sambil bahunya terhinjut-hinjut menahan esakan tangisan.

Huluran kain perca di hadapannya membuatkan Seroja tersentak. Terkebil-kebil mata Seroja melihat kain perca itu dihulurkan ke arahnya. Kepalanya masih tidak diangkat kerana malu jika ada yang melihat dirinya yang sedang menangis seperti orang gila.

"Ambil lah. Buat lap tangisanmu".

Suara maskulin itu bersuara selepas huluran kainnya tidak diraih malah dibiarkan sahaja. Malu-malu, Seroja mengangkat kepalanya untuk mengucapkan terima kasih pada si penghulur kain perca itu. Situasi ini ialah jauh lebih memalukan buat Seroja, tapi lantaklah. Benda dah jadi dah pun.

Sebaik sahaja anak mata Seroja bertentangan dengan si penghulur kain perca, jeda.

Mata Seroja seakan tidak percaya apa yang sedang dia lihat sekarang. Dalam keadaan bibir pecah dan lengan berbalut, Jebat berdiri di hadapan Seroja. Penghulur kain perca itu ialah Jebat, pemenang pertarungan yang Seroja 'ramal' tadi. Bibir Seroja terus mengukirkan senyuman manis kerana bibir lelaki itu turut tersenyum lebar biarpun bahagian bibirnya pecah dek perlawanan tadi.

Hikayat Cinta MelakaWhere stories live. Discover now