B A B 1 2 | Comel.

369 39 4
                                    

SEKEMBALINYA ke kediaman sendiri, Yuki berjalan masuk ke dalam tanpa menghidupkan sebarang lampu. Sudah sebati dengan tempat tinggalnya jadi Yuki tahu ke mana arahnya tanpa bantuan cahaya. Tiba di birai katil, Yuki labuhkan duduk.

Keadaan biliknya masih lagi dalam keadaan bersepah selepas kemunculan Natalia. Tadi sewaktu dia hendak mengemas, tiba-tiba dapat panggilan dari Noah mengenai...

"Hud Asyraaf."

Nama penuh lelaki itu meniti di bibir Yuki buat kesekian kalinya. Nama yang didengari buat kali pertama sewaktu dia berusia lapan belas tahun dan setelah lima belas tahun berlalu pun, nama tersebut kekal melekat di mindanya.

Yuki memberatkan badan ke belakang lalu dia baring terlentang. Mata merenung siling tetapi kurang sesaat, fikirannya mula menerawang. Mengimbas kenangan lalu.

"YUKI? Nama Jepun?"

Yuki diam, merasakan tidak perlu untuk dia memberi sebarang pengesahan. Kemudian dia dengar...

"Muka Melayu, ada hati nak nama Jepun."

Automatik Yuki diterpa rasa bengang. Mulut budak lelaki gemuk ini...

Macam tak sayang nyawa!

"Melayu atau tidak, nama aku memang Yuki. Dan perempuan Melayu bernama Jepun ni, akan tamatkan nyawa kau, Hud Asyraaf." Selamba Yuki membalas dan ternyata, dia berjaya membuatkan lelaki itu kehilangan kata-kata. Muka cuak kembali terpampang, riak takut jelas kelihatan.

Bibir Yuki membentuk senyum. Berpuas hati kerana akhirnya Hud kehilangan bicara. Yuki cipta jarak di antara mereka. Sekonyong-konyong, bau busuk menerpa hidungnya. Tadi tak terhidu apa-apa tapi sekarang dia baru tersedar. Disebabkan itu, dia tak betah berlama-lama di sini. Dicengkam kolar baju Hud lalu dia tarik Hud mendekatinya.

"Jom, ikut aku."

"Nak ke mana?" Hud menyoal gabra. Sekarang memang dah tak ada jalan keluar untuknya maka nak tak nak, dia terpaksa ikutkan juga kehendak Yuki.

"Aku nak bawa kau ke..."

"Kenapa kau kejar aku? Kau nak bawa aku ke mana? Kau nak bunuh aku depan mata dia?!"

Kesemua kebarangkalian itu diluahkan Hud dalam nada tinggi. Sumpah, dia kembali diselubungi ketakutan!

Yuki menggeleng cuma.

"Habis tu?! Aku tak nak ikut kau! Lepaskan aku. Aku nak hidup!" bentak Hud lalu dia tepis tangan Yuki sekuat hati.

Baru hendak membuka langkah untuk melarikan diri, pergelangannya dilelar kuat oleh Yuki. Sekelip mata, Hud kembali ke posisinya tadi. Yuki pula semakin merapatkan diri mereka, seakan mengulangi babak di tiang lampu tadi. Cuma bezanya, kali ini mata Yuki tampak lebih galak. Sempat Yuki mencuri jeling lesung pipit Hud yang sejak tadi menggamit perhatiannya.

"Kalau kau bising, aku bunuh kau betul-betul dekat sini. Tapi kalau kau nak terus bernyawa... Ikut aku."

Dan sehabis ayat itu, Yuki genggam pergelangan tangan Hud. Dia berjalan di hadapan sementara lelaki itu sekadar membuntuti di belakang. Dah tak ada ayat-ayat bentakan atau sesi tepis-menepis. Mungkin Hud sudah terpengaruh dengan kata-kata Yuki.

Dalam keheningan, mereka melewati kawasan sampah sarap yang tadinya menjadi medan pelarian mereka. Aroma tengik dan busuk masih menjadi peneman tetapi ia tak mampu membejat akal Yuki dari bekerja.

Budak lelaki ini...

Apa yang seharusnya Yuki lakukan padanya? Semenjak AJNIN menggantikan Valerie, inilah kali pertama dia menerima tugasan ekstrem sebegini.

Menghapuskan Hud Asyraaf.

Memanglah Yuki sudah terbiasa dengan hal-hal sebegini sewaktu Natalia masih mengepalai Valerie tetapi selama ini, dia hanya dengar dan tahu. Dia tak pernah laksanakannya jauh sekali mengarahkan orang untuk membunuh sesiapa. Semuanya dilakukan Natalia.

Sewaktu Natalia tahu tentang kerja ini, saranan Natalia mudah. Goda saja Hud, umpan dia dan seterusnya cabut nyawanya. Semudah itu.

Yuki mencuri jeling Hud.

Kenapa dia rasa hatinya berat? Adakah kerana ini tugas pertamanya? Atau dia tak sanggup membunuh?

"Yuki..." Tiba-tiba Hud menyerunya.

Yuki terus berjalan tetapi kepalanya berpaling, memandang Hud. Menyahut dengan cara itu. Sewaktu telunjuk kiri Hud terarah pada tangan Yuki yang seakan memimpinnya, Yuki jadi hairan.

"Kau tak nak lepaskan aku?"

"Nanti kau lari lagi. Bikin hal aje," balas Yuki.

Pantas, Hud menggeleng.

"Bukan tu maksud aku. Tapi..."

"Kau nak apa lagi?"

Geram pula Yuki dengan lelaki yang baru ditemuinya itu. Ada saja benda yang dia nak jadikan isu. Tak boleh agaknya katup mulut dan patuh sahaja!

"Aku busuk," kata Hud dengan nada perlahan.

Langsung, Yuki membrek langkah. Badan berpaling ke belakang. Dia tatap muka Hud. Jika tadi takut semacam, sekarang lain pula. Hud monyok dan memuncung bibir. Mungkin disebabkan pipi tembamnya itu maka ia kelihatan lebih membulat dan montok sewaktu Hud buat muka masam.

"Kau tak payahlah pegang aku. Aku busuk. Nanti kau geli," sambung Hud.

Yuki terpempan mendengarkan itu tetapi lama-lama, ketegangan di wajahnya beransur kendur. Apalagi sekarang dia lihat kepala Hud semakin menunduk dan lelaki itu mundur setapak untuk menjauhi Yuki.

"Pufff! Hahaha!"

Tak dapat Yuki menahan diri dari ketawa. Bukan ketawa yang dibuat-buat sebaliknya...

Ketawa ikhlas!

PECAH ingatan masa lampau sewaktu dia menerima WhatsApp dari Noah yang bertanya keberadaan Yuki. Selepas Yuki membalas ringkas, Yuki meraup muka. Dibawa diri ke bilik mandi lalu dia bilas muka di singki. Sebaik mengangkat muka, pandangannya terus melekap pada refleksi diri di cermin.

Yuki merenung dirinya sendiri.

Yang ada di depannya sekarang, hanyalah seorang wanita yang beriak kosong. Tampak kejam dan tidak berperasaan.

Saat seterusnya, Yuki terkenangkan dirinya lima belas tahun lalu. Terbayang-bayang babak dirinya yang ketawa berdekah-dekah di hadapan Hud. Lelaki itu kata dia busuk jadi dia segan dengan Yuki, tapi pada hemat Yuki, dia...

"Comel."

Setelah belasan tahun berlalu, akhirnya perkataan itu meniti di bibir Yuki lagi, sambil matanya terbayang-bayangkan lesung pipit milik lelaki itu.

YUKI (Twisted Tales: Queen Series #1)Where stories live. Discover now