B A B 1 6 | Snow Queen.

349 32 1
                                    

YUKI tidak tahu apa yang telah merasuknya. Mungkin disebabkan ugutan Hud untuk menyakiti Leyka atau dia sendiri panasaran dengan kehidupan lelaki itu tapi...

Di sinilah dia sekarang. Tadi keretanya diparkir bersebelahan kereta Hud. Sekarang dia sudah pun tercegat di tengah-tengah ruang tamu lelaki itu.

"Make yourself at home. Aku nak mandi sekejap. Rengsa." Itu saja dipesan Hud sebelum dia benar-benar menghilang, meninggalkan Yuki seorang diri.

Namun...

Tak ada maknanya.

Selama mana Hud pergi membersihkan diri, sampailah Hud muncul semula dengan rupa yang lebih segar dan kini sudah berpijama, Yuki masih tercongok di tempat yang sama. Tergeleng-geleng Hud dibuatnya.

"Jom ke dapur," ajak Hud pula.

Hud pelawa Yuki duduk di kerusi island bar. Wanita itu turutkan saja. Beberapa saat kemudian, satu gelas berisi air putih sejuk terhidang di depannya. Hud kemudiannya melabuh duduk di kerusi bertentangan Yuki. Sama, gelas berisi air putih juga ada di hadapan Hud. Hanya bezanya, Yuki tidak menyentuh sama sekali gelas untuknya sedangkan Hud sudah meneguk air putih itu.

Dari tempatnya, Yuki perhatikan Hud. Ketika lelaki itu sedang minum, Yuki nampak halkum Hud bergerak setiap kali air melalui rengkungnya tetapi bukan itu yang menarik fokus Yuki.

Lesung pipit Hud.

Itulah yang sedari tempoh hari menggamit sepasang mata Yuki. Dulu, ia tidak selekuk begitu. Mungkin kerana pipinya tembam dan berisi maka lesung pipit itu tidak terlalu ketara. Namun sekarang, lain. Hud sudah berjaya menurunkan berat badannya. Sekarang dia sudah berbadan tegap dan berotot. Lemak di pipi sudah susut maka lesung pipit itu kelihatan lebih ketara.

Tidak dipinta, akal Yuki mulai memesong sedikit. Dia tak boleh nafikan Hud yang dahulunya comel, kini sudah bertukar menjadi jejaka tampan. Lihatlah sekarang. Hanya dengan muka tanpa sebarang sentuhan mekap dan sekadar berbaju tidur, dia tetap nampak kacak.

"Jangan tenung aku lama sangat. Aku lelaki, kau perempuan. Dahlah kawan aku tak ada, jadi tinggal kita berdua. Takut kita tak dapat kawal diri nanti..."

Spontan Yuki pandang Hud dengan dahi berkeriut.

"Bila tinggal berdua, selalunya akan ada yang ketiga. Syaitan," sambung Hud.

Semerta Yuki mencebik. Tadi dia tak faham, sekarang dia mengerti sangat-sangat. Yuki membuang jeling tetapi sesaat kemudian, pandangannya kembali bertaut dengan Hud yang sedang menongkat dagu menghadapnya.

"Yuki..." Lembut, Hud memanggil. Menyebut sepatah perkataan itu dengan segarit senyum. Di matanya pula, seakan ada sinaran. Tanpa menunggu sahutan Yuki, Hud sambung kata.

"Salji. Itu maksud nama kau kan?"

Yuki mengiakan sahaja. Nampaknya lelaki itu telah berusaha mencari maksud nama tersebut. Ah sebenarnya tak susah mana pun. Zaman sekarang, taip saja di Google, pasti akan keluar apa yang diinginkan. Mungkin kalau taip saja 'What is Yuki?' di bar carian, berderet perkataan 'salji' akan keluar sebagai hasil carian.

Hud pula, masih rajin menuturkan kata. Diimbau kenangan lama di antara mereka. Tak pastilah Yuki masih mengingatinya atau tidak, tetapi buat Hud, kenangan itu tak pernah sesaat tercicir dari mindanya.

"Dulu aku pernah panggil kau Snow Queen. Sebab aku ingat kau lure aku ke tempat kau untuk kurung aku dan halang aku dari jumpa dunia luar. Tak sangka pula, memang perkataan 'yuki' itu sendiri bermaksud snow. Patutlah kau selalu tunjuk muka beku. Tapi aku curious..."

"Apa?"

Buat julung kalinya setelah mereka tiba di sini, Yuki bersuara. Walau sepatah, itu sudah memadai untuk menyenangkan hati Hud. Tak adalah dia seorang yang bercakap tanpa komunikasi dua hala.

YUKI (Twisted Tales: Queen Series #1)Where stories live. Discover now