B A B 1 5 | Game.

313 28 2
                                    

HARI demi hari berlalu dan hubungan Hud bersama Leyka semakin mesra. Bahkan, pihak media sudah menghidu hubungan mereka dan nama mereka beberapa kali muncul di laman portal hiburan.

Tambah menghangatkan keadaan apabila Leyka memuat naik gambar Hud yang berlatar belakangkan pantai dengan kapsyen 'my favourite view'.

Walaupun Hud dan Leyka tidak mengeluarkan sebarang pengakuan bahawa mereka berpacaran, masing-masing tak juga menafikan.

Hari itu, sekali lagi mereka keluar bersama. Bertemu di sebuah restoran mewah. Hud muncul dengan sejambak bunga mawar merah lalu dia hadiahkan pada wanita itu.

"Thank you, sayang. I memang suka roses!" kata Leyka, benar-benar bahagia menerimanya dari lelaki yang dia kenali sebagai Ijlaal itu.

Memandangkan mereka kini berada di tempat terbuka, banyak mata-mata memandang dan itu hanya membuatkan Leyka semakin berbangga. Ini bukan kali pertama dia menerima jambangan bunga dari jejaka pujaan Malaysia itu. Malah, daripada apa yang dia tahu, dia merupakan wanita pertama dan satu-satunya wanita yang menerima layanan seperti ini. Sesiapa sahaja yang berada di tempatnya pasti akan merasa di awang-awang dek layanan penuh kasih lelaki itu!

Hud pula, senyum tanpa mengatakan apa-apa. Tangan bergerak, mempelawa Leyka untuk mula menikmati makan malamnya.

"Sayang..." Leyka memanggil beberapa minit kemudian. Tiada jawapan daripada Hud memandangkan lelaki itu sedang mengunyah makanan tetapi jongketan kening Hud seakan-akan memberi lampu hijau untuk Leyka katakan apa yang dia mahu.

Mula-mula Leyka kemam bibir. Segan sebenarnya untuk dia lontarkan soalannya tapi fikirnya, lebih baik dia tebalkan muka. Zaman moden ini, wanita dah tak boleh takut-takut bertanya dan ikutkan sahaja rentak lelaki.  Dalam sesuatu hubungan, wanita juga perlu berani memulakan dan bergerak ke fasa baharu.

Ya, dia perlu lakukannya!

"Keluarga I dah mula tanya pasal kita..."

"Hmmm?"

"Dia orang tanya pasal hubungan kita. Ijlaal, kalau you tak keberatan, boleh ke I tanya apa sebenarnya status hubungan kita?"

Hud diam, tidak terus menjawab. Sengaja dia renung si wanita, membuatkan punggung Leyka rasa berbahang tiba-tiba. Elok-elok tadi Leyka berazam mahu ketepikan semua rasa malu, sekarang Leyka sesali keterlanjuran mulutnya. Garpu dan pisau diletak di atas pinggan lalu Leyka gerak-gerakkan tangannya.

"Tak ada apa-apalah. Anggap aje I tak tanya you apa-apa," kata Leyka dengan senyuman yang dibuat-buat, sebelum dia menunduk dengan jiwa galau.

Adakah selama ini dia yang tersilap tafsir segala layanan baik lelaki itu? Bermula dari pertemuan mereka di kafe yang tak ubah seperti babak romantik di dalam novel dan drama cinta romantik, Leyka sangkakan takdir hidup mereka berkait dengan satu sama lain. Sementelah, segala layanan dan kata-kata indah dari Ijlaal semakin meyakinkannya bahawa lelaki itu mencintainya. Tetapi sekarang...

Dia mulai ragu-ragu. Adakah Ijlaal sekadar mempermainkannya?

"Leyka..."

Suara lunak itu menyeru Leyka. Kali pertama, Leyka tidak menjawab. Kali kedua juga sama. Kali ketiga, terangkat juga wajah Leyka. Bukan dia sendiri yang menengadah tetapi lelaki itu telah memagut dagunya, memaksa Leyka untuk bertentang mata dengannya.

"Apa pendapat you pasal hubungan kita?" Hud bertanya semula, mengundang cebikan Leyka.

"Manalah I tahu. I ingatkan ada something special between us, especially kita dah banyak luangkan masa sama-sama tapi you..."

"You suka panggil I apa?" Hud mencantas kata-kata Leyka dengan melemparkan satu lagi soalan. Mula-mula Leyka terkelu tetapi beberapa saat kemudian, Leyka menjawab dengan polos.

YUKI (Twisted Tales: Queen Series #1)Where stories live. Discover now