B A B 6 | Bukan syaitan.

419 45 3
                                    

PEJAM celik, pejam celik. Akhirnya hari yang dinanti-nantikan telah tiba. Yuki dan seorang wanita berdiri di suatu sudut dengan perasaan berbeza-beza.

Pada Yuki, dia tidak merasakan apa-apa. Jantungnya berdegup dengan kadar normal, darah juga mengalir seperti biasa di dalam tubuhnya. Tetapi buat wanita lagi seorang, dia keresahan bagai cacing kepanasan. Setiapdetik yang dilaluinya dirasakan terlalu lambat dan menyeksakan. Sesekali dia mencuri lihat Yuki. Sejujurnya, dia lebih suka Yuki menayang muka kosongnya. Sekurang-kurangnya dia tahu, segala-galanya masih berjalan seperti yang Yuki rancangkan. Dia kembali menala fokus ke hadapan. Mata kembali melingas mencari-cari wajah seseorang.

Akhirnya, dia tak betah menyepi. Dipandang Yuki dan namanya diseru.

"Yuki... Mana ad..."

"Itu."

Tak sempat dia sudahkan kata, Yuki sudah memotong sambil tangan mengunjuk ke suatu arah. Membulat matanya semerta. Dengan laju, dia berpaling ke belakang. Dia cam insan di hadapan sana walau jarak besar memisahkan.

Insan itu pula, dalam pada dia kekeliruan dan hanya membuntuti langkah Noah, tiba-tiba termati gerak.

Saling bertentang mata, dia pandang wanita yang berdiri di sisi Yuki itu. Sebaik wanita tersebut tanggalkan kacamata hitam dan mendedahkan seluruh mukanya, dia terus berlari laju.

"Kak Ti!"

"Tini!"

Dalam keadaan mereka saling berpelukan, dua beradik itu sama-sama melepaskan tangisan. Teresak-esak kedua-duanya, tak endahkan Yuki dan Noah yang sedang memerhati. Detik ini, masing-masing terlampau bersyukur dengan pertemuan semula ini.

"Kak Ti pergi mana selama ni? Tini ingat Kak Ti dah tak ada. Tini rindu Kak Ti. Allah... Alhamdulillah Kak Ti masih ada dengan Tini. Ya Allah..."

"Tini... Kak Ti minta maaf sebab menyorok selama ni. Kak Ti terpaksa. Kak Ti minta maaf juga. Sebab Kak Ti..."

Dan minit-minit seterusnya, dua beradik itu terus-terusan meluahkan rasa bersyukur dan sesal mereka terhadap satu sama lain. Puan Sri Hartini yang rasa berdosa kerana ketamakan suaminya, kakaknya menjadi mangsa. Hayati yang rasa terkilan kerana dirinya, adiknya hampir-hampir menggalas gelaran pembunuh dan meringkuk di dalam penjara.

Merasakan sudah banyak masa diberi kepada mereka, akhirnya Yuki mencelah. Diserahkan dua buku merah dan juga beberapa dokumen serta satu sampul surat coklat kepada Puan Sri Hartini dan Hayati.

"Ini ID baru kau orang. Semuanya berkualiti top notch, jadi jangan risaukan apa-apa. As long as you stay low, everything will be fine."

Hayati menyambut dengan ucapan terima kasih bertalu-talu. Kalau Yuki tak katakan apa-apa pun, dia tahu sangat apa yang seharusnya dia lakukan selepas ini. Dia harus meneruskan hidup seperti dahulu. Hidup sebagai orang yang sudah mati. Sedangkan Puan Sri Hartini pula terpempan. Dia pandang Yuki dan Noah bersilih ganti, sebelum dia tetapkan fokus pada Yuki semata.

"Terima kasih, Yuki." Akhirnya, Puan Sri Hartini juga mengucapkan terima kasih kepada Yuki, lahir ikhlas dari hati. Sumpah! Tanpa bantuan yang dihulurkan wanita itu, mungkin saja detik ini hidupnya sudah berubah seratus lapan puluh darjah!

Tetapi Yuki pula sekadar menggeleng. Sebenarnya, dia tidak melakukan apa sangat pun.

"Undang-undang dah tentukan kau tak bersalah. Kau cuma defend diri. Peguam bela kau pula, memang seorang yang bagus dan hebat dalam kerja dia. Aku tak ada buat apa-apa pun," kata Yuki, masih dalam satu nada.

Puan Sri Hartini mengangguk laju. Dia ingat lagi, Yuki tiba-tiba muncul dan memberi nama sebuah firma guaman. Yuki menyarankan agar Hartini mengupah mereka sebagai peguam bela. Sememangnya dia terbunuh Tan Sri Madza tanpa niat dan hanya mahu melindungi diri sendiri. Sewaktu Puan Sri Hartini bersemuka dengan arwah suaminya, belang sebenar Tan Sri Madza tersingkap. Dia mulai naik hantu dan perlakukan Puan Sri Hartini sesuka hatinya. Puan Sri Hartini diterajang tanpa belas. Kemuncaknya, sewaktu Tan Sri Madza cuba menikam isterinya tetapi berlaku pergelutan dan seterusnya, lelaki itu sendiri yang menjadi mangsa mata pisau.

"Mulai sekarang, urusan kita dah selesai. Aku dan AJNIN dah tak ada apa-apa kaitan dengan kau. Ingat. Live as if you're dead. The dead can't, won't and shan't speak. Ever."

Suara Yuki membawa pergi memori hitam itu lalu dua beradik itu sama-sama mengangguk laju.

"Aku janji."

"Terima kasih, Yuki."

Seorang memberi janjinya, seorang masih setia mengucapkan terima kasih. Hayati genggam jemari adiknya lalu dia pimpin, mengetuai jalan kerana dia sahaja yang tahu hala tuju mereka selepas ini. Namun setelah beberapa langkah, Puan Sri Hartini berhenti. Dipaling tubuh menghadap Yuki untuk dia katakan sesuatu.

"Aku kata kau syaitan tapi sebenarnya, aku silap. Kau pun silap," kata Puan Sri Hartini. Dari anak mata Yuki, dia tahu Yuki sedang menanti penjelasannya lalu bicara disambung.

"Dalam dunia, bukan hanya wujud syaitan yang bersembunyi dengan topeng malaikat. Tapi ada juga malaikat yang bersembunyi di sebalik topeng syaitan. Kaulah orangnya, Yuki. Kau tak bunuh kakak aku pun, malah kau selamatkan dia. Kau juga yang tolong aku sedangkan orang lain tak henti-henti cemuh aku dan tuduh aku pembunuh. Mungkin pada kau, kau cuma jalankan tugas setimpal dengan segala apa yang kau terima daripada kita orang tapi Yuki..."

Puan Sri Hartini jeda bicara, hanya untuk dia maniskan senyuman buat wanita itu.

"Aku dapat rasakan kesungguhan dan keikhlasan kau. Terima kasih untuk semuanya." Telus, Puan Sri Hartini berkata-kata. Demi Tuhan, sekarang dia benar-benar melihat Yuki dengan persepsi baharu. Di matanya, Yuki hanya berlakon dingin dan kejam untuk sembunyikan personaliti dirinya yang sebenar. Walau dia tidak mengerti mengapa, dia tetap titipkan doa buat wanita itu. Semoga satu hari nanti, Yuki bebas menunjukkan personaliti sebenarnya.

Malaikat yang bersembunyi di sebalik topeng syaitan?

Selama umurnya, tak pernah Yuki sangka dia akan mendengar kata-kata sebegitu dari seseorang. Disebabkan itulah, hatinya mula dilanda ombak. Gigi menggigit ulas bibir bawah sementara tangan pula mengepal penumbuk. Mata terkelip-kelip buat beberapa kali sebelum dia meneguk liur. Itu pun, terasa kelat teramat.

Sewaktu Puan Sri Hartini dan Hayati mula menyambung langkah mereka, Yuki memanggil lagi sekali.

"Hartini."

Lagi, mereka saling bertentang mata.

"Dari mana kau tahu tentang AJNIN? Yang AJNIN bukan cuma tawarkan khidmat bodyguard?"

Lidah Puan Sri Hartini terkelu. Tak sangka, soalan-soalan itu yang bakal diaju Yuki. Diikutkan kata akalnya, dia enggan membuka mulut. Kalau AJNIN berpegang kuat pada perjanjian yang dimeterai bersama klien mereka, Puan Sri Hartini pula ingin berpegang pada janji lisannya dengan seseorang. Tetapi mengenangkan semula segala jasa baik Yuki...

"Ada orang... Dia berdendam pada orang yang salah."

Akhirnya, Puan Sri Hartini bersuara. Tidak menyatakan sebarang nama atau memberi pembayang terang-terangan, dia memilih untuk cakap berlapik.

"Dia fikir dia dah dibunuh bila dia dicampak ke satu tempat baru tapi dia tak sedar, dia sebenarnya diberikan satu lagi kesempatan untuk mulakan hidup baru."

Usai menuturkan itu, Puan Sri Hartini benar-benar beredar bersama Hayati. Meninggalkan dua insan di sana dengan kebisuan menyelubungi.

Yuki tergamam.

Noah juga.

Ada insan yang fikir dia telah dibunuh bila dia dicampak ke satu tempat baharu? Ada insan yang tak sedar, dia sebenarnya diberikan satu lagi kesempatan untuk mulakan hidup baharu?

Siapa?

***

Teaser bab 7

Yuki... Tunggu aku.

Kisah kita akan bermula semula.

YUKI (Twisted Tales: Queen Series #1)Where stories live. Discover now