B A B 1 | Mawar hitam.

908 55 6
                                    

DIIRINGI seseorang, wanita itu mengatur tapaknya sambil mata tak sudah-sudah memerhati sekeliling. Setelah dia bandingkan apa yang terbentang di depan matanya sekarang dengan apa yang dia lihat tadi, hatinya dihambat rasa tidak percaya.

Bangunan tiga puluh tingkat ini menempatkan beberapa buah pejabat yang berlainan perniagaan dan urusan. Apa yang dia tahu, di aras bawah sekali ada kafe. Kemudian beberapa tingkat khusus untuk sebuah syarikat pengurusan, seterusnya ada satu tingkat yang disewa oleh satu firma guaman dan tingkat-tingkat seterusnya pula beberapa syarikat lain. Berbeza bidang dan latar belakang tetapi mereka berkongsi satu bangunan yang sama. Dan di aras paling atas ini pula...

"AJNIN..." Kata nama khas itu disebut perlahan.

Tadi, sebaik dia menapak keluar dari lif, pemandangan unik menyapa kornea mata. Sepanjang-panjang hallway ini, lantai bermozekkan hitam dan putih bergilir-gilir. Tak ubah seperti papan catur. Dinding pula berwarna putih. Dia tidak tahu kenapa, tetapi warna putih itu benar-benar menyerlah pada matanya. Kanan dan kiri lapang tanpa adasebarang hiasan, kecuali di hujung sana. Ada sebuah meja berwarna hitam, di atasnya ada pasu yang menempatkan beberapa kuntum bunga ros hitam.

Yang memberi simbolik kehilangan dan kematian.

Dia terpaku beberapa ketika sewaktu memandang bunga tersebut.

Dalam banyak-banyak pilihan bunga, kenapa bunga mawar hitam yang menjadi pilihan?

Namun kemudian, dia terkenangkan sesuatu. Semerta bibir melirik senyuman sinis.

Bukankah ini AJNIN?

Yang memang sinonim dengan kehilangan dan kematian?

"Puan Sri Hartini, silakan masuk."

Wanita yang sedari tadi mengiringi Puan Sri Hartini membuka sebuah pintu untuknya sambil tangan mendepa, mengalu-alukan dia masuk ke dalam. Pengiring itu melemparkan senyuman manis buat Puan Sri Hartini, cukup untuk menyerlahkan kecantikannya. Baru sekarang Puan Sri Hartini sedar sesuatu. Nama si pengiring cantik itu masih belum diketahuinya. Sewaktu dia menyambut Puan Sri Hartini di lobi, dia hanya memperkenalkan diri sebagai salah seorang staf AJNIN yang telah ditugaskan untuk membawa Puan Sri Hartini bertemu ketuanya.

"Puan Sri?"

Disebabkan sudah terlalu lama Puan Sri Hartini merenungnya, akhirnya si pengiring memanggil. Segera Puan Sri Hartini alihkan penglihatan. Sekarang Puan Sri Hartini memandang daun pintu. Tiba-tiba hatinya berbolak-balik, tidak tahu sama ada mahu meneruskan niatnya atau tidak. Dia tidak tahu apa yang sedang menantinya di dalam pejabat itu. Dia tidak tahu sama ada rencananya akan berjalan lancar seperti yang dia susun. Namun saat wajah seseorang menyapa fikiran, hati Puan Sri Hartini jadi bulat. Maka dengan langkah kanan, dia memasuki pejabat yang dikatakan milik ketua AJNIN.

Puan Sri Hartini menghamparkan fokus pada segenap pejabat tersebut. Sama seperti di luar, warna putih mendominasi. Dinding, siling dan lantai, semuanya berwarna putih. Tidak hanya itu, kesemua perabot di dalam pejabat ini juga berwarna putih. Adalah beberapa warna hitam dan coklat kelihatan tetapi tidak sedominan putih.

Puan Sri Hartini dijemput duduk di atas sebuah sofa lalu dia akur. Mata sempat menjeling meja kerja putih yang kosong, tidak bertuan. Jika di luar berkuntum-kuntum mawar hitam menjadi hiasan, di sini pula hanya ada sekuntum di dalam pasu silinder jernih itu.

"Mana ketua awak?" tanya Puan Sri Hartini kepada si pengiring cantik.

"Sekejap lagi dia sampai," jawabnya, lembut.

Dalam pada Puan Sri Hartini mengangguk-angguk, perhatian kembali meliar. Sekarang Puan Sri Hartini memandang ke kaca tingkap. Dari hujung kanan hingga ke hujung kiri, tingkap kaca melintang itu membolehkan dia melihat pemandangan kotaraya Kuala Lumpur. Apalagi mereka kini berada di tingkat ketiga puluh, tingkat yang agak tinggi.

YUKI (Twisted Tales: Queen Series #1)Where stories live. Discover now