B A B 8 | Siapa?

446 41 2
                                    

BERSENDIRIAN di sini, Noah ralit memeriksa setiap dokumen di tangan. Satu per satu ditelitinya, setiap foto yang ada turut dia kerahkan seluruh fokus.Sejak pertemuan terakhir dengan Puan Sri Hartini, dia masih cuba mencari tahu gerangan siapakah yang dimaksudkan. Noah yakin, pasti salah seorang yang sepatutnya dibunuh AJNIN tetapi dilepaskan oleh Yuki. Tetapi, siapa?

"Bodohlah kau ni. Orang dah tolong selamatkan kau, bagi identiti baru dan duit untuk kau mulakan hidup baru... Kau pun dah janji yang kau takkan kembali ke Malaysia, jadi kenapa sibuk nak muncul balik? Dah sepatutnya mati, mati aje. Nak juga muncul semula," bebel Noah, ditujukan buat seseorang walaupun dia sendiri tidak tahu bebelan itu harus dituju kepada siapa.

Mungkin perkara ini tampak kecil. Hanya seseorang yang sepatutnya sudah mati tetapi muncul semula dan memberitahu kepada orang lain tentang AJNIN. Tetapi buat Noah, ini ialah titik permulaan untuk satu bencana besar. Kalau dibiarkan sahaja, AJNIN akan mengalami masalah besar.

Kalau semua orang yang mati, hidup semula...

Kalau semua klien tahu bahawa mereka ditipu oleh Yuki...

Noah menggeleng laju.

Tak! Dia tak boleh biarkan itu terjadi!

Noah arahkan akalnya bekerja dengan lebih keras. Urusan ini hanya diketahui Yuki dan Noah. Anggota AJNIN yang lain pun, tak tahu menahu tentangnya. Oh ya, dan Natalia. Wanita itu juga tahu tentang double dealyang dilakukan Yuki. Itupun Noah terpaksa buka mulut kerana menghormati wanita tersebut. Tapi masalahnya, Noah tak boleh berbincang dengan mereka pula.

"Siapa kau? Siapa kau? Sia..."

Zappp!

Sekilas, satu wajah menerpa fikiran Noah lalu mengunci lidahnya. Noah terpaku. Di sini hanya ada dia namun wajah seseorang bermain-main di kornea matanya, sepertinya sengaja mahukan Noah ingat tentang dia.

"Takkanlah si gemuk tu..." desis Noah seraya menggeleng-geleng.

Mustahil...

Dia cuba menafikan lagi di dalam hati tetapi wajah itu lebih kuat mengasak fikirannya. Mendesak Noah untuk terus memikirkan tentangnya.

Pergerakan Noah mati. Lama dia termenung menghadap dinding, mengimbau momen beberapa tahun lampau. Kemudian dengan kadar paling perlahan, Noah memanjang tangan untuk mencapai satu fail hitam. Fail yang ditempatkan sama dengan double deal yang lain-lain tetapi tidak dipedulikan Noah sama sekali kerana fikirnya, tidak perlu. Namun sekarang, Noah rasa ia sangat-sangat perlu.

Dengan hati sedikit berdebar, Noah selak penutup fail. Mata terus jatuh pada sebaris nama sebelum lambat-lambat dia tatap sekeping foto yang turut dikepil bersama. Terpampang muka seorang lelaki tembam dengan senyuman manisnya. Senyuman yang terbit sewaktu dia masih lagi sangka hidup ini indah semata, tanpa mengetahui dirinya bakal tercampak ke dalam satu dunia gelap.

Jika fail-fail lain mengandungi rekod penerimaan bayaran, fail ini tiada. Bererti Yuki tidak mengambil sebarang upah untuknya.

"Kau ke orangnya?" Rendah julat suara Noah menyoal pada sekeping foto itu. Sesaat kemudian, dia menggeleng pula.

"Tapi kali terakhir aku tahu tentang update kau... Kau dah meninggal dunia."Noah ingat lagi waktu itu, dia turut berdukacita tetapi dalam masa yang sama, dia kasihankan Yuki. Penat-penat saja Yuki selamatkan dia, tidak mengambil walau satu sen pun daripadanya tetapi kemudian, dia tetap meninggal dunia di dalam sebuah serangan pengganas.

Walau Noah sendiri sudah menyebut tentang berita kematian lelaki itu, hatinya tetap merasakan sesuatu yang aneh. Ada sesuatu yang tidak beres. Lalu tanpa bertangguh-tangguh, Noah kemas semula kesemua fail tersebut kecuali fail si lelaki tembam itu, kemudian dia bergegas pergi.

Noah memasuki lif. Tiba-tiba dia rasakan lif bergerak dengan terlalu lambat. Sebaik pintu lif terbuka, Noah terus keluar. Telefon pintar yang tersimpan di dalam poket seluar diambil lalu dia dail nombor seseorang. Dalam masa yang sama, kelajuan langkahnya berganda.

"Noah."

Tak sempat Noah hubungi nombor tersebut, suara itu membantutkan niat.

"Noah."

Kali kedua namanya dipanggil lalu Noah berpaling. Ternyata, ada seseorang sedang berdiri di belakang keretanya. Mungkin orang itu baru saja berdiri di situ atau mungkin juga, dia memang sejak tadi menanti Noah.

"Siapa kau?" Noah bertanya hairan pada seorang lelaki yang berketinggian kira-kira enam kaki yang sedang berjalan mendekatinya. Tidak seperti Noah yang memakai set sut, lelaki itu pula lebih santai mengenakan baju T biru dan menyarung sweater putih. Pandang wajahnya, Noah rasa macam dia pernah bertemu lelaki itu. Tetapi bila? Di mana?

"Kau tak cam aku?"

Jujur saja Noah menggeleng.

"Ijlaal."

Dengar saja nama itu, Noah semakin berkerut dahi.

Nama itu pun, macam pernah dengar tapi di mana ya? Kenapa macam familiar? Siapa...

Sekejap!

"Ijlaal? Penyanyi tu?" Noah bertanya dengan mata membuntang. Apabila Ijlaal mengangguk, mata Noah terkelip-kelip pula kerana sekarang, dia terfikirkan satu soalan lain.

Apa penyanyi terkenal seperti Ijlaal buat di sini?

Dan bagaimana Ijlaal boleh mengenalinya?

Soalan-soalan itu terjawab bilamana Ijlaal membuka mulut sekali lagi. Tetapi sayangnya, jawapan Ijlaal tak menyenangkan hati langsung.

Sebaliknya ia hanya membuatkan kepala otak Noah semakin berserabut dan berselirat, hinggakan Noah tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan situasi ini!

Jadi langkah terbaik ialah...

Menghubungi seseorang.

YUKI (Twisted Tales: Queen Series #1)Where stories live. Discover now