MAJLIS konvokesyen itu berjalan dengan lancar. Kini Adel menerima segulung ijazah. Senyuman terukir di bibirnya. Mika mendorong Puan Merlyna menggunakan kerusi roda. Sejambak bunga diberikan kepada adiknya.
"Tahniah adik. Alhamdulillah walaupun along tak dapat sambung belajar, adik along ini dapat sambung belajar dan capai pointer terbaik," puji Mika.
"Terima kasih, along."
Tangan Puan Merlyna disalam lalu tubuh anak gadis itu didakap erat sambil dia elus belakang tubuh gadis itu.
"Tahniah anak ibu." Ucapan yang keluar daripada mulut Puan Merlyna itu membuat matanya bergenang.
"Terima kasih, ibu."
Mereka bertiga mengambil sebuah gambar bersama untuk dijadikan kenangan lalu Rinne pun menyapa Adel.
"Adel jangan lupa apa janji kita," bisik Rinne.
Adel terpinga-pinga. Apa pula yang dijanjikan?
"Kau kata kau nak luahkan perasaan kau dekat Nadeem! Kau dah janji ya lepas kita main teka-teka dekat pantai tahun lepas," bisiknya lagi.
Adel menepuk dahi.
"Tapi macam mana aku nak luahkan cinta dekat dia? Aku malulah." Adel menutup wajahnya malu.
Habis berkerut dahi Rinne, selama ini rakannya itu beri ayat manis kepada Nadeem tidak rasa malu pula! Bila nak luahkan cinta terus malu.
"Isy kau ini, kau kan penulis novel. Tak akan tak reti nak luahkan cinta. Buat malu je tau!" usik Rinne.
Adel mengeluh.
"Okay fine! Kau cabar aku ya, tak apa aku tunjukkan segala skills dekat dia nanti." Adel tercabar dengan ayat usikan Rinne itu.
Rinne tersenyum melihat rakannya yang sudah terpancing.
Adel mula mencari kelibat Nadeem. Akhirnya, selepas beberapa minit mencari dia pun jumpa.
"Asalammualaikum."
Seluruh keluarga Nadeem menjawab salam itu.
"Nak pinjam anak umi sekejap boleh tak?" tanya Adel kepada Puan Khadijah.
Puan Khadijah memandang suaminya iaitu Tuan Naz.
"Inilah yang saya nak jodohkan dengan Nadeem itu," bisik Puan Khadijah.
Tuan Naz memberi senyuman.
"Boleh je tapi nanti jangan lupa pulangkan, ya?" sakat Puan Khadijah.
Lalu Adel pun meminta diri manakala Nadeem membuntuti Adel hingga ke taman kampus. Mereka pun melabuhkan punggung di bangku kayu itu.
"Kenapa itu?"
Adel diam sejenak.
"Saya nak berterus terang." Wajah Adel terlihat serius.
Nadeem mengangguk manakala mindanya tertanya-tanya apa yang ingin diberitahu.
"Nadeem, sebenarnya saya dah lama menaruh perasaan dekat awak. Mungkin awak tak ingat saya, tapi kita pernah berada dalam satu sekolah dan kelas yang sama. Saya masih ingat bayangan awak yang pada awalnya masih abu-abu namun akhirnya menjadi sebuah cahaya yang menerangi hati saya."
Wajah Nadeem mula berona merah. Dia menahan bibirnya daripada mengukir sebuah senyuman manis.
"Ketika awak rasa sedih, awak ingatlah bahawa awak menjadi salah satu sebab saya bahagia di dunia ini. Awak bagaikan bulan yang menerangi kegelapan di hati saya. Tiada kata-kata yang sungguh indah untuk saya ungkapkan betapa sempurnanya awak di mata saya."
"Andai awak tahu, selama ini saya selalu menitipkan doa untuk awak walaupun mungkin doa saya bertarung di jalur langit dengan perempuan yang lebih baik dan suci."
Rasa sebak membuat dirinya ingin menangis namun dia menahan air mata itu. Dia meneruskan lagi luahan perasaannya.
"Sesungguhnya, ana uhibbuka fillah. Saya juga nak minta maaf sebab buat awak terpaksa berkomunikasi dengan saya walaupun untuk perkara yang tidak penting. Saya kacau awak untuk berhijrah menjaga ikhtilat. Saya sedar saya pentingkan diri sebab saya terlalu cintakan awak tapi cinta itu akan tetap ada walaupun kita tidak berkomunikasi suatu hari nanti."
"Saya tak mahu dengar jawapan awak sebab saya tahu awak tak bersedia untuk apa-apa. Jadi izinkan saya pergi sebentar daripada hidup awak. Terima kasih atas segalanya, semoga kita berjumpa di waktu yang lebih tepat. Asalammualaikum." Adel lantas pergi manakala Nadeem duduk bingung sendirian.
Sesungguhnya itu kali pertama dia mendengar luahan cinta yang sungguh luar biasa untuk dirinya. Bagaimana cara gadis itu mengungkapkan betapa istimewanya dia membuat dirinya tersentuh. Namun benar apa yang dikatakan gadis tersebut, Nadeem masih tidak bersedia atas apa-apa perasaan.
Adel berjalan kembali namun bayangan seseorang yang dikenali membuat langkahnya terhenti dengan serta-merta. Matanya berkaca melihat lelaki tua itu memeluk lelaki muda yang memakai jubah konvokesyen. Dengan bangganya mereka mengambil gambar bersama.
Air mata Adel berjujuran jatuh. Dari jauh, dia memerhatikan susuk ayah kandungnya menyambut anak tirinya. Sedangkan dia? Hanya bersama ibu dan abangnya. Namun dia tetap bersyukur ibunya masih menerima dia di dalam hidup. Tapi jujur rasa cemburu di lubuk hati tidak dapat disembunyikan. Dia menahan rasa hiba yang hampir menyelubungi dirinya di hari bahagia itu.
"Ayah, alangkah bagusnya kalau Puan Syidah tak larang ayah untuk jumpa Adel. Mesti ayah akan sambut Adel macam itu juga, kan?" lirihnya lalu dia memulakan langkahnya kembali kerana dia juga mempunyai keluarga yang masih menunggu dia.
Baginya, apa pun yang kita punyai harus ditanamkan sikap bersyukur kerana tak semua orang mempunyai nasib yang sama. Mungkin kita malang daripada segi ini namun apa yang kita ada mungkin orang lain tiada.
"Ibu! Jom kita balik. Adel nak masakkan makanan sedap untuk ibu." Dia mendorong perlahan kerusi roda tersebut.
YOU ARE READING
Akhir Tak Pasti
Roman d'amour[SELESAI] Sebuah memori silam telah menjadi titik perubahan, Nur Adellea Arelyne. Siapa sangka bahawa gadis yang sedang taat dengan Allah dan mematuhi pakaian syariah itu lahir di dalam sebuah keluarga yang hanya meletakkan agama di atas kertas? Di...