𝐁𝐀𝐁 𝟏𝟑 | 𝐑𝐀𝐇𝐒𝐈𝐀

81 6 6
                                    

KEPALAKU berdenyut-denyut. Aku buka mata perlahan-lahan apabila terasa ada tangan mengusap perlahan di kepala. Perasaan lega menyelimutiku. Tak pernah aku merasa lega sebegini apabila mendapati diri terjaga dalam bilik sendiri. Sekarang dah pukul berapa?

Belum sempat habis berfikir tentang waktu, aku perasan kewujudan umi di sebelahku.

"Umi..." Suaraku serak memanggil umi. Tekak terasa perit.

"Ya sayang, umi ada dekat sini. Kepala Haura rasa macam mana?" Nada umi jelas kerisauan.

Aku pandang wajah umi. Kedua matanya kelihatan sembab. Adakah umi menangis melihat keadaanku?

"Berdenyut." Jawabku ringkas sambil tanganku memicit kepala. Tangan umi setia menggenggam tanganku.

Mata umi berkaca memandangku. "Haura, lain kali jangan buat umi macam ni. Umi risau. Umi takut apa-apa jadi dekat Haura. Umi terlalu sibuk dengan kerja. Umi minta maaf sebab balik lambat. Kalau tak—"

"Umi..." Aku pintas kata-katanya. Aku tak mahu umi rasa serba salah dengan dirinya. Aku tak mahu lagi memikirkan apa yang telah berlaku. Apa yang dah lepas, biarkan ia berlalu. Makin lama difikirkan, makin sesak rasa di dada.

Umi menghela nafas panjang. Kembali mengelus lembut ubun-ubunku, dan hatiku tersentuh.

"Umi minta maaf, ya sayang."

"Umi... umi tak salah apapun dengan Haura. Haura yang patut minta maaf sebab keluar rumah tanpa izin umi. Haura dah banyak susahkan umi." Ujarku dengan mata sedikit berair.

Sebak semakin menjalar dalam hati. Aku dah banyak membebankan umi. Dari kecil sampai sekarang, umi hanya bersendirian dalam membesarkan aku dan Haqim. Begitu besar pengorbanan dan penat lelahnya.

Setiap kali aku ditimpa masalah, mesti umi orang pertama yang susah hati fikirkan keadaan aku. Tidak pernah umi melepaskan perhatiannya kepadaku. Bayangkan hari ini sahaja umi terpaksa ambil cuti kerja untuk menjagaku. Kadangkala aku rasa aku dah banyak menyusahkan orang sekeliling.

Tanpa sedar, air mataku laju merembes keluar. Umi terus menarik aku ke dalam pelukannya.

"Hush, Haura anak umi. Haura sikit pun tak pernah susahkan umi. Dah, jangan fikir yang bukan-bukan. Haura kena rehat ya, nak."

Aku sekadar menarik senyuman kecil sebagai jawapan.

"Umi turun bawah kejap. Umi bawakan Haura lunch. Lepastu, Haura boleh makan ubat." Pujuk umi sambil mengelus lagi rambutku perlahan.

Aku mengangguk perlahan sebelum umi beredar turun ke bawah.

Semalam, aku terjaga di wad kecemasan. Umi dan Haqim di sisi katil menunggu aku sedar dari pengsan. Kata Haqim, aku terkena serangan panik. Akibat peristiwa hitam malam itu, kekurangan oksigen sampai ke otak menyebabkan tubuhku memilih untuk pengsan. Ditambah pula demam panas akibat hujan lebat.

Setelah berada di bawah pemerhatian rapi oleh doktor selama 10 jam, pagi tadi aku dibenarkan pulang. Aku lega kerana tengah hari ini aku dapat bangun di dalam bilikku sendiri dan merasa lebih selamat. Doktor juga telah memberikanku tempoh cuti sakit selama tiga hari. Aku bersyukur kerana sememangnya aku masih belum ada kudrat untuk menghadapi dunia luar.

Aku mahu berehat sebentar dan berkurung di dalam bilik.

Jantungku berdebar apabila teringatkan peristiwa cemas malam itu. Perasaan takut dan panik yang melampau itu hampir membuatkanku trauma. Namun, aku cuba kawal perasaanku. Aku tak mahu umi risaukan aku.

Ting!

Lamunanku terhenti. Telefon bimbitku yang terletak elok di atas meja sisi berbunyi. Tanda notifikasi pesanan ringkas masuk. Aku terus capai dan membukanya.

SECEBIS BAHAGIA TERUNTUK HAURA [OG]Where stories live. Discover now