RINTIKAN hujan bagaikan melodi sayu yang menyapa koklea. Pawana malam bertiup kencang di luar perkarangan hospital. Suasana hiruk-pikuk di lobi hospital sayup-sayup kedengaran.
Nafasnya tercungap-cungap. Mata melilau memerhatikan papan tanda hospital. Mencari wad bersalin. Sesekali, tubuhnya hampir berlaga dengan manusia yang lalu-lalang berhampiran. Terasa kelat liur di rangkungan tika dinding hatinya semakin diterpa rasa cemas.
Ya Tuhan, Uthman rasa seluruh nyawanya direnggut dari jasad tika kepulangannya disambut dengan berita buruk tentang Hikmah yang terjatuh dari tangga. Betapa kesalnya Uthman tatkala dia ingkar dengan janji. Tidak menemani Hikmah yang tengah sarat atas tuntutan pekerjaan. Membiarkan Hikmah ke hulu hilir tanpa peneman.
Derapan langkah Uthman semakin perlahan sebaik saja sorotan mata helangnya memandang figura Puan Lateefa. Memujuk ibu saudara Hikmah yang sudah teresak-esak di hadapan wad bersalin. Figura seorang doktor yang sedang menyampaikan sesuatu kepada Tuan Nain membuatkan jantung Uthman semakin kencang. Seluruh wajahnya membahang.
Entah mengapa intuisnya negatif. Bahu kekarnya yang sentiasa gagah di medan pertempuran jatuh serta-merta. Apatah lagi di saat sorotan matanya saling bertaut dengan pandangan sayu Tuan Nain.
Tidak dapat tidak, Uthman mengheret saja kakinya yang semakin longlai meluru masuk ke dalam sebuah bilik. Sayup-sayup, tangisan bayi menyapa koklea. Meluluhkan sekeping hati pemuda berpakaian celoreng itu.
Inilah tanda cintanya bersama Hidayatul Hikmah. Tiga tahun mereka menanti dengan penuh sabar. Sindiran demi sindiran yang menyatakan mereka mandul diterima dengan berlapang dada. Kini, doanya dimakbulkan. Uthman dapat bayangkan teratak kecilnya akan dihiasi dengan telatah anak-anak kecil mereka. Dia akan semakin bahagia dengan cinta hatinya. Hidayatul Hikmah.
Namun... nyata Tuhan punya rencana yang lebih terbaik daripada hambaNya.
"Allahuakbar..."
Tak semena-mena, Uthman hampir rebah di hadapan pintu wad sebaik saja sorotan matanya tertancap ke arah sekujur tubuh yang sudah ditutup dengan selimut putih. Tangannya terketar-ketar membuka selimut putih yang membungkus tubuh Hikmah. Tatkala sorotan matanya memandang wajah putih bersih Hikmah, sontak, setitis demi setitis air mata lelakinya mengalir ke pipi. Kedua lututnya rebah menyembah bumi. Sungguh, sakit!
"Bawa bertenang Uthman. Istighfar..."
Belum sempat Tuan Nain memujuk hati walang anaknya, tangisan Uthman yang saling bersatu dengan sepasang kembar itu meluluhkan hati tua Tuan Nain. Langkah terbejat di belakang Uthman. Bibirnya diketap. Nafas panjang ditarik. Menenangkan jiwanya yang turut kehilangan seorang menantu yang sangat tinggi budi pekertinya.
"Sayang... a... abang dah balik. Abang dah balik dengan selamat untuk sayang dan anak-anak kita. A... abang dah tunaikan janji kita. Sayang... Allahuakbar!"
Tangisan Uthman semakin mendayu-dayu. Jiwanya sesak. Tubuh suri hatinya dipeluk erat. Dahi Hikmah dikucup lembut. Lama. Ya Tuhan, Uthman merasakan seluruh tubuhnya ditikam bertubi-tubi. Nafasnya seakan terhenti melihat Hikmah yang sudah tewas berjuang melahirkan zuriat mereka.
"Abang minta maaf... abang tak ada di sisi Hikmah di saat Hikmah perlukan abang. Abang mungkir janji. Abang cakap abang akan pulang awal untuk sayang tapi..."
"Uthman..."
Tepukan lembut dari belakang membuatkan Uthman tersentak. Dengan pandangan yang kabur, dia mendongak memandang wajah Puan Zaitun. Ibu saudara Hikmah.
"Umi... Uthman minta maaf... Uthman tak jaga anak umi baik-baik. Uthman... gagal jadi yang terbaik untuk isteri Uthman..."
"Jangan... cakap macam tu, nak. Hikmah faham keadaan kamu. Sejak dia bersetuju menerima kamu sebagai suami, saat itu juga... isteri kamu dah bersedia berkongsi dengan negara. Hikmah bangga... dapat suami yang berjuang demi kedaulatan negara. Jangan salahkan diri. Lihatlah wajah anak kembar kamu. Dia orang perlukan pelukan dan kucupan daripada ayahnya. Kebahagiaan kamu, Uthman."
YOU ARE READING
KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)
Romanceℕ𝕒𝕚𝕝𝕒𝕙 𝕁𝕒𝕟𝕟𝕒𝕙 𝕃𝕖𝕗𝕥𝕖𝕟𝕒𝕟 𝕂𝕠𝕞𝕒𝕟𝕕𝕖𝕣 𝕌𝕥𝕙𝕞𝕒𝕟 𝔽𝕚𝕣𝕕𝕒𝕦𝕤 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏...