KECERIAAN yang terpancar di raut wajah Qaisah dan Qailah membuatkan Syida jadi pegun. Kecil besar saja dipandangnya figura seorang gadis bertubuh kecil molek yang sedang berpimpin tangan dengan anak-anak buahnya di dalam pasar raya. Seakan tak mahu berenggang.
Walhal, baru saja tiga jam yang lalu si kembar merengek dek ditinggalkan oleh si ayah yang bertugas di samudera.
"Mana Uthman kutip perempuan tu?" soal Syida sambil menolak troli berisi barangan dapur.
"Dia ada nama. Nailah Jannah namanya. Panggil Nailah. Tak pernah ada istilah kutip melainkan anak-anak buah kamu dah sukakan Nailah sejak kali pertama kita orang bertemu. Nailah lembut orangnya. Tu yang budak-budak tu selesa."
Syida menjuihkan bibirnya. Setahunya, Akma juga lembut. Tinggi budi bahasanya. Hanya satu kesilapan Akma. Tertumpahkan minyak panas di tangan Qaisah ketika gadis itu menjaga si kembar. Sehingga membuatkan Uthman tekad untuk tidak menerima tawaran Akma untuk menjaga si kembar lagi.
"Ala Akma pun sama apa. Lembut..."
"Tapi budak-budak tu tak suka Akma. Kamu pun. Sudahlah desak Uthman terima Akma tu. Kalau adik kamu tak nak, terimalah keputusan dia. Kamu ingat senang ke Uthman nak kahwin lain bila dia terlalu sayangkan arwah Hikmah?" Puan Lateefa mula bertegas. Dua botol kicap dicapai dari rak seraya dimasukkan ke dalan troli. Sudah lali dengan anak sulungnya yang nekad menjodohkan Uthman dan Akma.
"Mak... sampai bila dia nak fikir diri sendiri je? Sampai bila nak hanyut dengan kesedihan? Memikirkan Hikmah yang dah mati. Sampai bila dia nak susahkan mak jaga budak-budak tu? Sekurang-kurangnya, kalau dia ada isteri... ada juga yang jagakan budak-budak tu. Tak payah susahkan mak lagi!"
Tak semena-mena, Puan Lateefa kematian langkah. Setiap diksi yang meluncur keluar dari mulut anak sulungnya benar-benar membuatkan wanita berkaca mata itu jadi panas hati. Berbisa!
"Patutlah kamu selalu bergaduh dengan Farish. Mulut kamu ni kan... mak rasa nak cilikan ajelah! Tak berubah. Tak makan saman lepas dah dapat penampar bapa dulu. Mak tak pernah rasa anak dan cucu mak menyusahkan!" Laju saja Puan Lateefa mencubit kuat pinggang Syida. Melepaskan geramnya dengan kelancangan wanita berselendang hijau itu.
Tak semena-mena, Syida mengadu sakit. Cubitan ketam ibunya seakan menyiat kulit. Tidak lagi mempedulikan orang yang lalu lalang berhampirannya.
"Haih mak pun satulah! Syida ni cuma nak yang terbaik untuk Uthman. Dia tu dah lama sangat menduda. Anak-anak dia kecil lagi. Takkan nak harapkan mak..."
Belum sempat Syida menamatkan bicara, Puan Lateefa sudah menonong menghampiri Nailah. Meninggalkan Syida yang sudah semakin panas hati. Tak pasal-pasal, dia merasakan dirinya pula jadi kuli menolak troli membeli barangan dapur.
"HATI-HATI Qailah, Qaisah. Jangan pergi jauh sangat."
"Baik Kak Nailah!" Serentak, Qaisah dan Qailah bersuara sebelum meluru ke taman permainan yang terletak di luar pasar raya. Senang hati tatkala Nailah sudi meluangkan masa bersama mereka seharian. Seakan, tiada lagi duka setelah ditinggalkan oleh Uthman.
"Dah lama ke jadi pengasuh?" soal Syida sebaik saja Nailah melabuhkan duduk di sebelahnya di atas bangku.
"Sebelum ni saya tak pernah ada pengalaman mengasuh lagi. Ni pengalaman pertama saya."
"Dah kahwin?"
Sontak, Nailah terkesima dengan soalan mengejut Syida. Entah mengapa intuisinya negatif melihat tatapan tajam kakaknya Uthman itu. Seakan memandangnya umpama dia seorang musuh. Tajam. Sinis.
YOU ARE READING
KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)
Romanceℕ𝕒𝕚𝕝𝕒𝕙 𝕁𝕒𝕟𝕟𝕒𝕙 𝕃𝕖𝕗𝕥𝕖𝕟𝕒𝕟 𝕂𝕠𝕞𝕒𝕟𝕕𝕖𝕣 𝕌𝕥𝕙𝕞𝕒𝕟 𝔽𝕚𝕣𝕕𝕒𝕦𝕤 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏...