EPISOD 9

22.3K 1.1K 44
                                    

"HABIS tu lepas budak-budak tu siram dia dengan air sirap, dia sedar diri tak?"

"Sedar diri masa tu jelah. Nanti esok-esok, dia kacaulah hidup aku lagi. Kau macam tak tahu dia tu spesis makhluk asing! Tak faham bahasa. Tak faham situasi. Eh aku kusut tau dengan kawan kesayangan kau tu!" keluh Nailah sambil mengawal stereng kereta. Menuju ke Taman Tasik Perdana. Mahu beriadah setelah seminggu dia tidak melakukan aktiviti sihat.

Jantungnya ini perlu dijaga dengan sebaiknya. Amanah yang sudah Allah berikan meskipun jantung di tubuhnya milik hamba Allah yang Nailah sendiri tidak kenal.

"Haih apalah nasib kau ni Nailah. Kena hadap si psiko tu dari zaman sekolah. Aku rasalah kan, kau kena pergi jauh dari sinilah Nailah. Aman sikit hidup kau," cadang Fatimah sambil berswafoto.

Mahu dimuat naik ke dalam akaun Instagramnya dengan kapsyen "Selamat petang dunia tipu-tipu".

"Senanglah kau cakap. Kafe aku tu siapa nak uruskan kalau aku pergi jauh?"

"Alah, Kak Rahimah kan ada. Boleh uruskan kafe kau."

"Dahtu keluarga aku pula macam mana? Kau ingat abang-abang aku tu boleh lepaskan aku hidup seorang kat luar? Huh! Mati hidup semula pun dia orang akan halang aku tinggal seorang." Nailah menghela nafas berat. Bukannya dia tak bersyukur dibesarkan dalam keluarga yang prihatin meskipun statusnya hanya anak angkat.

Tapi, Nailah tak mahu terus menerus menyusahkan keluarga angkat yang sudi membesarkannya sehingga dia berjaya. Betapa besarnya jasa mereka kepada seorang Nailah Jannah yang kelahirannya tak sah taraf ini.

Fatimah tersenyum simpul. Raut wajah Nailah tanpa solekan itu ditatap redup. Simpati dengan nasib sahabatnya yang sering saja dipantau 24 jam. Manakan tidak, Nailah itu pernah menghidap penyakit jantung. Sudah berkali-kali nyawa hampir di hujung tanduk sehinggalah menerima organ jantung yang baru.

"Itu maksudnya... dah tiba masanya kau kena cari jodoh. Hah nanti bila kau kahwin, bolehlah kau ikut encik suami pergi jauh dari si skema tu."

Mendengarkan itu, Nailah tertawa sinis. Pelipis digaru. Wajah Fatimah yang bertudung bawal pastel itu dipandang sekilas. Janggal benar mendengar perkataan "kahwin".

"Sampai ke situ pula kau fikir. Kahwin tu tak lepaskan diri daripada masalah, okey. Tambah komitmen lagi adalah. Lagi pun... ada ke orang nak kahwin dengan anak tak sah taraf macam aku? Dahlah berpenyakit."

"Ish kau ni! Aku tak sukalah kau sebut perkataan anak tak sah taraf tu. Kalau mama kau dengar, kecil hati dia tau. Dia memang tak pandang kau macam anak angkat. Mak Cik Dijah tu sayang sangat dekat kau. Satu-satunya anak perempuan dia. Kau kena sedar hakikat tu Nailah," tegas Fatimah. Luluh hatinya mendengar omongan Nailah. Suka sangat rendah diri hanya kerana statusnya.

"Tapi memang betul kan? Masa kita sekolah dulu orang tak nak kawan aku sebab aku sakit. Aku anak yang dikutip dari tong sampah. Ada ke orang yang boleh terima..."

"Bla bla bla tak nak dengar kau cakap macam tu! Bagi aku, kau tu lebih cantik, lebih sempurna daripada aku. Buktinya, budak-budak tu pun sayangkan kau. Sebab kau ada aura yang buat orang mudah sayangkan kau." Fatimah membidas. Menegah Nailah dari terus merendahkan diri sendiri.

Fatimah tahu situasi Nailah. Dia sendiri saksi melihat Nailah dicemuh. Gadis itu trauma dengan penerimaan orang lain. Hanya dia yang sudi berteman dengan Nailah. Kerana Fatimah sendiri senang menjadi sahabat Nailah yang kelihatan lebih ikhlas berteman dengannya.

Nailah menghela nafas berat. Tiada lagi diksi yang dituturkan. Entah mengapa saat Fatimah membuka isu "kahwin", Nailah jadi rendah diri. Insecure. Teringat tatkala dia dipulaukan hanya kerana statusnya sebagai anak luar nikah tersebar. Mana mungkin Nailah lupa kejadian itu.

KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)Where stories live. Discover now