SUASANA kelihatan begitu hiruk-pikuk di kantin Kolej Kediaman Mustafa. Para pelajar berpusu-pusu membeli makanan di gerai. Menjamu makan malam setelah seharian melakukan aktiviti masing-masing.
Apatah lagi jam sudah menginjak ke pukul lapan malam. Sudah menjadi kebiasaan bagi para pelajar untuk membeli makan malam pada waktu itu.
"Kak. Macam biasa ya. Nak nasi bujang satu dengan air sirap satu."
Seorang pelajar perempuan bertudung sarung berwarna hitam memberikan pesanan. Wajah pekerja kantin yang kelihatan sembap dipandang dengan rasa aneh.
Manakan tidak, kakak kantin di hadapannya ini seorang yang murah dengan senyuman. Sentiasa menyambut kedatangan para pelajar dengan ceria. Tak lekang bertanyakan hari mereka. Seakan seorang kakak yang prihatin terhadap adiknya.
Hal itulah yang membuatkan gadis berkulit kuning langsat itu disenangi oleh para pelajar.
"Akak! Nasi bujang satu. Saya lapar dah ni akak..."
Iftah memesan lagi. Nada suaranya kedengaran tegas tatkala si pekerja kantin masih termenung. Seakan hanyut dengan dunianya sendiri. Sepanjang tiga bulan dia menjadi pelajar baru, inilah kali pertama Iftah melihat tingkah laku si gadis yang keihatan janggal.
Melihat para pelajar sudah beratur panjang, Puan Aslia terus meninggalkan pekerjaannya yang sedang mengira wang di belakang gerai. Lantas, dia menepuk lembut bahu pekerjanya. Menyedarkan si gadis bertudung labuh dari lamunan panjang.
Ya Tuhan, sejak berita buruk itu disampaikan kepadanya, Puan Aslia tak tega melihat gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu hanyut dengan kesedihan. Dia mengerti. Bukan mudah gadis itu menerima sebuah kekecewaan. Menghancurkan dan meranapkan segala impiannya sekelip mata.
"Hikmah... kalau tak sihat biar mak cik je buat. Hikmah pergilah berehat."
Tatkala suara Puan Aslia menyapa koklea, Hikmah tersentak buat seketika. Dia melilau ke sekeliling kantin. Para pelajar sudah memenuhi kantin Kolej Kediaman Mustafa. Entah sejak bila dia hanyut dengan lautan emosi pun Hikmah tidak tahu.
Saat itu juga, tubir mata terasa hangat. Dinding hati seakan ditikam dengan berjuta belati. Bibirnya seakan digam sehingga mahu menguntumkan senyuman ramah pun Hikmah tidak sanggup.
Ya Tuhan, sakitnya bukan kepalang. Peristiwa tiga hari yang lalu seakan sebuah mimpi buruk yang melemahkan seorang Hidayatul Hikmah serta-merta!
Tika dia seharusnya menyambut kepulangan tunangannya sejurus sahaja tamat rekrut dengan sebuah kebahagiaan, dia disajikan dengan berita buruk tentang hubungan mereka.
"Saya minta maaf Hikmah. Saya dah tak boleh teruskan hubungan ni. Cinta saya dah hilang untuk awak. Saya dah ada orang lain. Awak pergilah... cari kebahagiaan sendiri. Pertunangan ni... anggap je tak pernah terjalin di antara kita."
Tatkala kata-kata keramat Azriel menyapa ruang ingatan, Hikmah terus melangkah keluar dari kantin. Sungguh, jiwanya seakan direnggut sekelip mata. Tak sanggup lagi menahan sesak yang mencengkam sanubari. Mulutnya ditekup. Menahan esak yang kembali pecah. Suara Puan Aslia dan Kak Fidah yang memanggilnya langsung tak diendahkan.
Tak.
Hikmah tak mahu menunjukkan kelemahannya di hadapan orang lain. Dia kuat. Dia teguh. Walau ditabrak badai sekali pun seorang Hikmah tak mudah goyah!
Sejak berusia dua tahun lagi Hikmah tak pernah kenal kasih sayang ibu dan ayah. Dia kehilangan kedua orang tua dan kembarnya dalam sebuah kemalangan jalan raya. Sejak berusia dua tahun lagi dia hidup susah.
Jadi, tak semudah itu Hikmah menunjukkan kelemahannya di hadapan orang lain.
Kesedihan ini, biar dia saja yang tanggung...
YOU ARE READING
KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)
Romanceℕ𝕒𝕚𝕝𝕒𝕙 𝕁𝕒𝕟𝕟𝕒𝕙 𝕃𝕖𝕗𝕥𝕖𝕟𝕒𝕟 𝕂𝕠𝕞𝕒𝕟𝕕𝕖𝕣 𝕌𝕥𝕙𝕞𝕒𝕟 𝔽𝕚𝕣𝕕𝕒𝕦𝕤 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏...