EPISOD 3

26.5K 1.2K 32
                                    

"JANGAN keluarkan sebarang senjata. Ingat. Kita ke sini untuk misi pengaman. Bukan berperang. Jangan sesekali lepaskan tembakan sesuka hati."

Arahan dikeluarkan sebaik saja IAG Guardian yang dipandu oleh Koperal Arsel berhenti di hadapan dua buah kenderaan. Kelihatan, enam orang figura bertopeng sudah menghalang laluan mereka untuk kembali ke markas.

"Baik tuan. Saya cuba berunding dengan mereka."

Tanpa berlengah, Koperal Arsel melangkah keluar dari kenderaan. Nafas ditarik sedalamnya. Dia tidak tahu sama ada figura itu berbahaya atau tidak. Berada di bumi bergejolak sememangnya membuatkan mereka bertemu dengan masyarakat yang tak lekang dengan senjata.

Entah mengapa waktu dirasakan begitu lama berlalu. Sorotan mata helang Uthman tunak merenung anggota Hizbullah yang masih menghalang laluan mereka. Tidak dapat tidak, dia terus melangkah keluar. Menghampiri mereka. Tak mahu membiarkan anggotanya berurusan bersendirian.

"Assalamualaikum. Masaul khair."

Rundingan di antara Koperal Arsel dan anggota Hizbullah terbejat buat seketika tatkala sapaan Uthman menyapa koklea. Ada nada autoriti di sebalik bicara perjaka berloreng dan mengenakan beret biru itu.

"Waalaikumusalam."

"Ada apa-apa yang tak kena ke?" soal Uthman. Nada suaranya sudah bertembung dengan angin petang. Sorotan matanya semakin tunak memandang figura-figura serba hitam yang berdiri setentang dengannya.

Tentera Hizbullah. Sebuah kumpulan parti politik Islam mazhab Syiah yang sudah lama ditubuhkan sejak tahun 1985 lagi.

"Dia orang tanya kita nak ke mana. Was was kalau kita ni mata-mata yahudi yang cuba ambil informasi tentang masyarakat kat sini."

Mendengarkan itu, Uthman hanya mengangguk. Mengerti. Letupan yang baru saja berlaku dua hari yang lepas sudah tentunya membuatkan anggota Hizbullah itu lebih berhati-hati.

"Jelaskan pada mereka. Kita dari Malaysia. Kita datang untuk membantu masyarakat setempat. Bukan untuk berperang atau membahayakan nyawa mereka. Kita baru balik dari sekolah. Agihkan buku dan peralatan yang diperlukan kepada pihak sekolah."

"Baik tuan."

Koperal Arsel yang lebih mahir dengan bahasa Arab itu terus menjelaskan kedatangan pasukan mereka ke Lebanon. Penerangannya begitu mendalam kecuali hal yang sulit.

Beberapa minit berlalu, seorang pemuda bertubuh tegap terus berganjak. Memberikan arahan kepada pasukannya untuk memberikan laluan kepada pasukan Malbatt. Ucapan terima kasih dan tabik hormat diberikan kepada Koperal Arsel dan Leftenan Komander Uthman.

Melihatkan itu, barulah Uthman mampu menarik nafas lega. Sudah tentunya dia risau jikalau mereka berniat mahu mencelakai mereka. Tak mahu sesuatu yang buruk berlaku apatah lagi ahli keluarga sudah lama menantikan kepulangan mereka yang sudah setahun berada di bumi asing demi sebuah amanah.

"KAU nak pergi mana lawa-lawa ni? Dating dengan Ikram eh?"

Sebaik saja Nailah memasukkan tiga kotak berisi Muffin Coklat Chip ke dalam kenderaan, dia sudah disergah oleh Ghufran. Terhinggut bahu si gadis bergaun labuh berwarna pastel dipadankan dengan selendang putih.

"Kau jangan sebut nama si psiko tu boleh tak? Gelilah aku! Bikin hilang mood!" Nailah mengerenyutkan dahinya. Wajah Ghufran dijeling. Suka benar abangnya itu mengusik perihalnya dengan Ikram. Si jiran sebelah yang sudah kerap kali ditolak cintanya oleh Nailah.

"Eleh geli konon. Nanti kau terkahwin dengan dia..."

Tak semena-mena, Ghufran kematian diksi tika Nailah memukul bahunya dengan tas tangan. Terkekeh pemuda bermata sepet itu melihat air muka Nailah yang semakin bengang. Suka mengusik si adik bongsu.

KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)Where stories live. Discover now