EPISOD 2

31K 1.2K 31
                                    

LIMA TAHUN KEMUDIAN...

"KAU ni tak relaks langsunglah. Hari minggu patutnya kau have fun teman aku shopping, tengok wayang, cuci mata cari jodoh untuk kau. Ni tak. Asyik sibuk kat kedai kek kau tu je memanjang. Empat orang pekerja kau tu pun bukannya tak reti buat kerja. Cubalah sekali sekala tengok suasana luar selain pandang dunia kek kau tu. Bawa berehat, sis!"

Nailah mencebik. Ekor matanya mencerlung ke arah Fatimah yang sedang menjijit beg kertas berjenama Uniqlo dan Padini. Terlalu boros dalam berbelanja memandangkan baru saja menerima gaji sebagai pereka dalaman rumah.

"Tiga jam aku temankan kau. Tak cukup lagi ke?"

"Of course tak cukup! Aku tak singgah Victoria Secret lagi nak beli perfume baru. Kau tahu tak hari ni ada sales. Tu Sephora pun aku tak jejak lagi. Jomlah, Nailah. Teman aku singgah sana kejap." Suara Fatimah sudah meleret. Memujuk sahabatnya yang sudah beriringan keluar dari pusat membeli-belah.

"Aku belanja kau perfume baru. Nak..."

"Habis tu kalau duit gaji kau habis... nak minta kat papa kau lagi ke? Setahu aku... ada orang tu cakap dengan aku... dia akan sahut cabaran papa dia. Tak akan minta sesen pun kalau dah dapat kerja." Nailah mula menyindir. Bibirnya mengulum senyum sinis. Hailah. Punya sahabat boros seperti Fatimah kadangkala memeningkan kepala gadis berselendang kuning cair itu.

Mana mungkin dia membiarkan Fatimah menjadi seorang yang boros apatah lagi barang-barang yang dibeli ada yang tidak digunakan. Nailah tak mahu perkara itu menjadi hisab buat Fatimah di akhirat kelak.

Mendengarkan sindiran Nailah, Fatimah tersengih kelat. Pedas! Baru dia ingat janji yang sudah ditabur buat diri sendiri. Dek rasa tercabar dengan omelan ayahnya hanya kerana dia sering boros, Fatimah tekad untuk hidup berdikari. Namun, baru saja menerima gaji yang lumayan, Fatimah jadi alpa.

"Jangan boros sangat. Barang-Barang yang kau beli tu pun bukannya kau pakai sangat. Alih-alih, kau jadikan display je kat almari kau. Tak baik macam tu. Bukan setakat membazir. Tapi, kat akhirat sana semua barangan tu akan dihisab," tutur Nailah. Lembut saja tutur bicaranya menasihati Fatimah yang sering termakan dengan nafsu sendiri.

"Hah dia dah mula dah jadi ustazah jadian," usik Fatimah sambil menyiku lembut pinggang Nailah.

"Aku sayangkan kau. Kau je yang sudi jadi sahabat aku sejak kita kat zaman sekolah lagi. Mestilah aku nak masuk syurga sama-sama dengan kau nanti."

Omongan Nailah membuatkan Fatimah tersentak buat seketika. Raut wajah sahabatnya yang hanya dihiasi dengan solekan tipis dipandang sekilas. Ini yang dia suka tentang Nailah Jannah. Gadis itu kelihatan ikhlas berteman dengannya. Tak seperti rakan-rakannya yang lain. Berteman dengannya hanya kerana dia seorang anak usahawan yang kaya raya.

"Comelnya!"

"Siapa?"

"Tu, pasangan kembar yang tengah makan aiskrim kat depan tu. Comel kan. Baju sedondon. Rambut bertocang dua. Mata bulat. Geramnya. Rasa nak cubit-cubit aje pipi tembam dia orang tu."

Fatimah turut memandang dua orang gadis kecil yang sedang berlari setentang dengan mereka. Bibirnya turut mengulum senyum. Tercuit hati melihat keletah kanak-kanak yang pipinya sudah comot dengan aiskrim di tangan masing-masing.

"Qailah! Qaisah! Tunggu nenek. Jangan lari-lari dulu."

Tak semena-mena, tubuh Nailah dirempuh kuat. Langkahnya terbejat. Hampir melongo gadis itu tatkala melihat pleated skirt berwarna putih dengan corak bunga-bunga kecil sudah kotor dengan cecair aiskrim. Bibirnya diketap menahan geram. Wajah dua orang gadis kecil yang sudah mendongak memandangnya ditatap tajam.

KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)Where stories live. Discover now