EPISOD 10

27.2K 1.1K 98
                                    

SUASANA padang Taman Bintang begitu meriah dengan Sukaneka dan Hari Keluarga yang sering diadakan pada pertengahan tahun. Pelbagai aktiviti menarik dan pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.  Ada juga peniaga yang berjualan di tepi jalan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual.

Di lautan keramaian itu, sesekali Uthman melilau ke sekeliling. Mencari susuk figura yang sudah dinantikan oleh Qailah dan Qaisah. Malangnya, negatif. Tiada langsung bayang Nailah Jannah kelihatan tika itu.

"Kak Nailah tak nak tengok kita orang sukan ke, abah?" Nada suara Qailah kedengaran sayu. Hati kecilnya dijentik rasa kecewa. Manakan tidak, dia sudah menjuarai dua acara. Namun, kehadiran Nailah masih tak kunjung tiba.

"Kakak sibuk..."

"Tapi kita orang nak kakak juga. Kalau tak... Qaisah tak nak ikut acara lari dalam guni!" Qaisah memprotes. Berpeluk tubuh seraya memalingkan tubuhnya membelakangi Uthman. Bibirnya dimuncungkan. Merajuk!

Melihatkan itu, Uthman tersenyum simpul. Pelipisnya dilurutkan. Tercuit hati dengan tingkah si kembar yang mula buat perangai itu. Inilah kali pertama si kembar merajuk kerana orang lain. Bukan kerana dia lagi. Nampaknya, Nailah sudah berjaya pecah rekod. Buat Qaisah dan Qailah merajuk.

"Janganlah macam ni anak-anak abah. Acara tu dah nak mula. Okey macam ni. Kalau Kak Nailah tak boleh datang, kita pergi kafe dia lepas ni. Boleh?"

Qaisah dan Qailah saling berpandangan. Wajah mendung mereka bertukar ceria serta-merta. Tubuh Uthman terus dipeluk erat. Senang hati dengan tawaran Uthman.

"Janji tau abah!"

"Abah jangan tipu."

Tawa halus terbit di bibit Uthman sebaik saja melihat si kembar yang sudah mendongak sambil menghalakan jari kelingking ke arahnya. Uthman mengangguk. Jari kelingking sudah bertaut dengan Qaisah dan Qailah.

"Ya, abah janji. Sekarang, jom kita ke hujung sana. Cikgu dah cari tu."

Tanpa berlengah, Uthman memimpin si kembar yang berbaju sukan ke arah sekumpulan kanak-kanak. Beratur bagi acara lari dalam guni. Kali ini, Qaisah pula bakal menunjukkan aksinya.

"Qaisah kena menang tau! Nanti kita bagi tengok piala dekat Kak Nailah. Mesti dia suka..."

"Uthman!"

Belum sempat Qailah menamatkan bicara, suara gemersik sudah menyapa koklea. Serentak, tiga beranak itu kalih. Memandang figura berbaju sukan berwarna biru tua sedondon dengan Uthman.

"Wah! Kakak datanglah!"

"Kakak pakai baju warna sama dengan abahlah hari ni."

Suara teruja si kembar membuatkan Nailah tersenyum simpul. Nafasnya tercungap-cungap. Lelah berkejaran demi menunaikan hasrat sepasang kembar kesayangannya itu.

"Sorry... saya lambat. Banyak customer... hari ni."

Melihat figura Nailah yang kelelahan membibitkan keresahan di dinding hati Uthman. Wajah gadis bertudung bawal putih itu kelihatan pucat. Terbit rasa kesal menganggu kesibukan Nailah tika ini.

"Kau okey?"

Nailah hanya mengangguk. Nafas panjang dihela. Tubuhnya ditegakkan. Tak mahu melayan rasa lesu yang mula menggigit sendi-sendinya. Hari ini, dia mahu bersemangat seperti hari sebelumnya. Demi si kembar.

"Aku minta maaf sebab ganggu waktu kau. Terima kasih... sudi tunaikan permintaan anak-anak aku."

"Awak dah tolong saya semalam. Anggap je ni bayaran atas kesudian awak tukarkan tayar kereta saya yang pancit tu."

KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)Where stories live. Discover now