"KECIL je dunia ni. Tak sangka Nailah ni anak Kak Dijah dengan Tuan Muhammad."
Puan Lateefa melabuhkan duduknya di atas sofa. Setentang dengan Puan Khadijah. Melepaskan lelah setelah melayan para tetamu yang sudi menghadiri majlis ulang tahun si kembar dan doa selamat atas kepulangan Uthman.
"Kita orang pun tak sangka juga customer Nailah hari ni sahabat abang Muhammad sendiri. Masa nak hantar Nailah tadi baru kita orang tahu. Terima kasihlah sudi tempah dessert dengan Nailah. Syukur. Rezeki dia hari ni."
Puan Khadijah mencicip teh panas yang dihidangkan. Sebagai ibu, sudah tentunya dia turut senang melihat perniagaan Nailah semakin maju. Dia sendiri saksi betapa gigihnya Nailah menamatkan pengajian dalam bidang kulinari. Meskipun ketika itu, Nailah masih dalam fasa penyembuhan setelah menerima jantung baharu. Hingga akhirnya, Nailah berjaya mencapai impiannya membuka sebuah kafe kecil.
"Nailah ada bagi saya kad business dia masa kita orang terserempak. Tu yang terus tempah untuk hari jadi si kembar. Bagus Nailah. Pandai cari peluang muda-muda macam ni."
Mendengar pujian Puan Lateefa, Nailah yang sedang menjamu puding koktail hanya mengulum senyum. Sudah tentunya dia senang hati tatkala usahanya dihargai. Bukan mudah dia membuka perniagaan kecil yang baru setahun jagung itu. Mujur saja keluarganya sudi menyokong. Memberikan modal.
"Dah habis study?"
Seketika, sorotan mata Nailah bertaut dengan si penanya. Nafas ditarik sedalamnya. Cuba mengusir gejolak yang bertamu di hati kecilnya. Kenapa ya setiap kali melihat wajah pemuda berkulit sawo matang itu jantung Nailah sering saja beritma kencang? Seakan memanggil nama si figura yang dikenali sebagai Uthman Firdaus itu.
"Baru habis study tahun lepas. Sekarang tengah tunggu konvokesyen pula," jawab Nailah.
Uthman mengangguk. Sedikit kagum dengan Nailah yang kelihatan matang dari usia. "Muda lagi rupanya. Tapi jiwa dah macam jiwa ibu-ibu. Sampai anak-anak aku yang susah nak selesakan diri dengan orang tak boleh berenggang dengan kau."
Mendengarkan itu, Nailah tersentak. Jiwa ibu-ibu? Hailah, bunyinya seakan menyindir pula. Terasa diri sudah tua walhal usianya baru mencecah 24 tahun.
"Kakak! Tolong bukakan. Tangan Qailah licinlah." Suara Qailah yang sudah meluru ke ruang tamu kedengaran. Plastik jajan diberikan kepada Nailah.
"Comotnya dia ni. Sampai berpeluh-peluh. Duduk sini dulu. Kakak betulkan rambut Qailah." Nailah menepuk ruangan kosong di sebelahnya. Bibirnya mengulum senyum tatkala Qailah menurut. Plastik jajan terus dibuka seraya dihulurkan semula kepada Qailah.
Tika itu, Uthman pegun buat seketika. Melihat kelembutan Nailah mengelap peluh yang merenik di pipi Qailah, mendengar saja celoteh Qailah tentang sambutan hari jadinya benar-benar membuatkan Uthman tersentuh. Entah mengapa, melihat semua itu dinding hati Uthman dijentik rasa sayu.
Dia rindukan arwah Hidayatul Hikmah. Andai saja Hikmah selamat berjuang melahirkan anak-anak mereka, pasti momen inilah yang akan menambahkan kebahagiaan keluarga mereka.
"Nailah... tunggu sini. Mama nak ke toilet."
Suara Puan Khadijah mematikan lamunan Uthman. Dia tertunduk buat seketika. Menepis rasa walang yang bertamu di dinding hatinya. Tidak. Dia tidak bisa membiarkan rasa sayu ini mencengkam jiwanya.
"Kau orang borak-boraklah dulu. Mak nak layan tetamu kejap." Giliran Puan Lateefa pula berpamit. Dibuntuti oleh Qailah yang masih belum puas bermain bersama rakan-rakannya.
Seketika, suasana mula hening. Hanya kedengaran suara tetamu yang masih berbual sesama mereka. Uthman kembali berpandangan dengan Nailah. Gadis itu kelihatan kekok. Mengenggam tali tas tangan sebelum mengalihkan pandangan.
YOU ARE READING
KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)
Romanceℕ𝕒𝕚𝕝𝕒𝕙 𝕁𝕒𝕟𝕟𝕒𝕙 𝕃𝕖𝕗𝕥𝕖𝕟𝕒𝕟 𝕂𝕠𝕞𝕒𝕟𝕕𝕖𝕣 𝕌𝕥𝕙𝕞𝕒𝕟 𝔽𝕚𝕣𝕕𝕒𝕦𝕤 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏...