"KEK coklat untuk Qailah dan kek cheese untuk Qaisah. Baca doa dulu sebelum makan. Jangan gelojoh sangat. Kalau nak lagi, bagi tahu je akak."
Sebaik saja pesanan diletak di atas meja, bersinar terus mata pasangan kembar yang masih lengkap dengan seragam tadika berwarna kuning cair itu. Berselera melihat pencuci mulut hasil tangan Nailah Jannah.
"Terima kasih akak!" Serentak Qailah dan Qaisah bersuara sebelum menadah tangan. Membaca doa makan.
"Duduklah dulu." Uthman menjemput. Tak mahu suasana kekok di antara dia dan Nailah berlarutan. Dia tahu, pasti Nailah masih rasa segan dek terkantoi melihat akaun Instagramnya. Tercuit sedikit hati Uthman melihat raut wajah Nailah yang kemerahan.
"Saya minta maaf kalau saya menganggu privasi awak. Saya..."
"Mesti kau dah tahu isteri aku dah meninggal, kan?" pintas Uthman. Dia menghirup Cappucino yang dipesan. Tubuh disandarkan di belakang kerusi setentang dengan Nailah.
"Salam takziah atas kehilangan arwah isteri awak. Cantik. Tenang saja orangnya. Patutlah Qaisah dengan Qailah ni pun sejuk mata memandang." Nailah memuji. Wajah Qailah dan Qaisah yang sedang menjamah kek dipandang silih berganti.
"Qailah dengan Qaisah tak pernah rasa kasih sayang ibunya. Isteri aku meninggal masa melahirkan. Pendarahan yang teruk lepas jatuh tangga."
Ringan saja mulut Uthman menjelaskan perihal Hikmah. Bukan selalu dia sudi berkongsi kisah pahit itu kepada orang yang baru dikenali. Namun, hanya kerana dia punya niat bertemu dengan Nailah hari ini, maka terpaksalah dia berubah pendirian yang tak suka privasinya dikongsi bersama orang asing.
Mendengarkan itu, Nailah terkesima. Pandangannya saling bertaut lagi dengan Uthman. Kenapa ya, dia rasa dejavu? Seakan dia pernah mendengar kisah seorang ibu yang tewas berjuang melahirkan anak kembarnya. Cerita yang dia pernah dengar ketika dirawat di hospital lima tahun yang lalu.
"Sebenarnya... ada benda yang aku nak tawarkan dengan kau. Oh sebelum tu... aku dah bincang dengan mak pasal perkara ni." Uthman mengalihkan pandangan buat seketika. Mengusap lembut kepala Qaisah yang duduk bersebelahan dengannya.
"Tawaran apa?"
"Kau pandai jaga budak?" Soalan dibalas dengan soalan.
"Bolehlah sikit-sikit. Saya pun ada anak buah seorang. Saya pernah tolong kakak ipar saya jaga anak dia masa dia berpantang. Kenapa awak tanya?"
Uthman menghela nafas panjang. Raut wajah Nailah kembali dipandang. Sungguh, dia terdesak. Dua hari lagi, dia akan kembali bertugas di samudera. Namun selagi dia tak berjaya menemui pengasuh yang dapat membantu Puan Lateefa, Uthman jadi keberatan mahu kembali bertugas.
"Aku tengah cari pengasuh yang boleh tolong mak aku tengok-tengokkan Qaisah dan Qailah. Tapi sampai sekarang tak jumpa yang sesuai lepas pengasuh yang dah jaga anak aku sejak dia orang umur setahun berhenti. Kalau ada pun... budak-budak ni tak suka."
Nailah mengangguk. Memahami bahawa Uthman punya masalah mencari pengasuh yang sesuai untuk anak-anaknya. Apatah lagi keletah Qaisah dan Qailah yang energetik itu pasti melelahkan Puan Lateefa.
"Awak nak saya tolong carikan?"
"Tak perlu. Aku dah jumpa yang sesuai untuk si kembar ni. Memandangkan anak-anak aku sukakan kau, aku nak upah kau jadi pengasuh anak aku. Lagi pun, kerja aku tak menentu. Aku sendiri tak tahu bila aku boleh balik. Kadang-kadang, berbulan aku tak balik... sebab tu aku perlukan penjaga untuk Qailah dan Qaisah."
Mendengarkan itu, Nailah kaget. Perkenalan mereka belum sampai sebulan. Tapi, Uthman sudah memberikan kepercayaan bahawa dia bisa mengasuh Qailah dan Qaisah. Terdesak sangatkah pemuda berjas hitam ini?
"Tapi kita baru kenal. Awak tak risau ke kalau saya terpukul anak awak ke. Tertengking ke. Lagi pun... saya sibuk dengan tempahan daripada pelanggan. Pantau kafe saya ni lagi."
Nailah melilau ke sekeliling. Memerhatikan suasana kafe yang lenggang. Tatkala sorotan matanya bertembung dengan tiga orang pekerjanya yang seakan mengusiknya dengan kedatangan duda anak dua itu, Nailah terus mengalihkan pandangan. Pantang benar jikalau seorang lelaki bertemu dengannya. Pasti mereka ligat mengusik.
"Keluarga kita dah lama kenal. Ayah aku pernah berjuang dengan ayah kau demi keamanan. Mak kita dah rasa keperitan jadi isteri askar. Buat dia orang jadi akrab. Cuma kita berdua je yang tak kenal antara satu sama lain. Disebabkan itu, mak aku sendiri setuju cadangkan kau sebagai pengasuh."
Nada suara Uthman yang semakin berautoriti membuatkan Nailah terkelu buat seketika. Benar. Keluarga mereka sudah lama kenal antara satu sama lain. Hanya mereka yang belum mengenali hati budi masing-masing.
"Aku takkan ganggu pekerjaan kau. Aku cuma nak minta tolong kau jadi pengasuh bila mana mak aku nak bawa budak-budak ni keluar. Aku percayakan kau. Anak-anak aku ni susah nak selesa dengan orang baru. Tapi dengan kau... dia orang jadi sayang. Itu yang kuatkan lagi kepercayaan aku yang kau boleh pegang amanah yang aku bagi," tambah Uthman lagi. Dengan harapan, Nailah sudi menerima tawarannya.
Nailah menundukkan pandangannya tatkala tatapan redup Uthman semakin penuh dengan pengharapan. Dia jadi serba salah mahu menolak. Dipandangnya laman wajah si kembar silih berganti. Melihat bibir comot Qailah, refleks dicapainya tisu seraya dikesat hujung bibir Qailah.
"Akak ni baiklah. Selalu lapkan muka Qailah kalau comot. Nak jadi adik akak boleh tak?"
Tawa kecil terletus di bibir Nailah. Hatinya tercuit dengan kepetahan Qailah. Diusapnya lembut ubun-ubun Qailah yang sudah tersengih itu.
"Boleh. Apa salahnya. Akak pun tak ada adik."
"Yeay! Mulai hari ni, kita dah ada kakaklah Qaisah! Bolehlah ajak akak main dengan kita kat rumah lepas ni." Nada suara Qaisah kedengaran ceria. Senang hati mendengar penerimaan Nailah yang sudi menjadikan mereka sebagai adik.
"Tengok... anak-anak aku sayangkan kau. Sebab tu aku nampak kau je orangnya yang boleh tolong mak aku. Aku percaya kau boleh jaga anak-anak aku sepanjang ketiadaan aku nanti. Tolong, Nailah."
Semakin Uthman menggunakan nada pujukan, Nailah semakin serba salah. Separuh dari dirinya mahu menerima. Dia juga sudah jatuh sayang dengan si kembar. Tapi sebahagian lagi dia gusar andai dia tak mampu melakukan dua kerja dalam masa yang sama.
"Awak kerja apa sebenarnya sampai berbulan-bulan tak balik?" soal Nailah tak semena-mena. Timbul tanda tanya di sanubari. Hanya kerana pekerjaannya yang tak menentu membuatkan Uthman terdesak ingin Nailah menjadi pengasuh.
"Nelayan."
"Nelayan?" Nada suara Nailah hampir naik seoktaf. Kaget dengan jawapan ringkas Uthman.
Uthman mengherot senyum nipis. Bukan masanya Nailah tahu Uthman merupakan seorang Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia. Dia paling tidak gemar bila orang tahu pekerjaan sebenarnya.
"Tak percaya?"
"Keluarga awak kaya."
"Keluarga aku. Aku hanya menumpang kesenangan mak ayah aku. Nailah, jangan ubah topik. Ya atau tidak. Itu saja yang aku nak dengar." Uthman terus kembali ke topik asal pertemuan mereka. Tak mahu tembelangnya pecah tatkala Nailah sudah sangsi.
Tika itu, Nailah jadi buntu. Rasa simpati semakin bermain di sanubari. Lagi satu, jika dia terima pasti dia akan berhadapan dengan soal siasat daripada abang long si askar laut dan abang ngah, si jurulatih taekwondo. Nailah rimas.
"Aku terhutang budi dengan kau kalau kau sudi terima tawaran aku, Nailah," pujuk Uthman lagi. Sungguh, dia benar-benar mengharapkan Nailah. Selain ada satu perkara yang ada dalam tubuh Nailah yang membuatkan Uthman mahu Nailah selalu ada buat anak kembarnya.
Sesuatu yang bernilai daripada nyawa seorang Uthman Firdaus sendiri.
Bersambung
20.5.2023
Terima kasih sudi membaca KABP. Semoga kalian dipermudahkan segala urusan.
YOU ARE READING
KERANA AKU BUKAN PILIHAN (TERBIT FIZIKAL 2024)
Romansaℕ𝕒𝕚𝕝𝕒𝕙 𝕁𝕒𝕟𝕟𝕒𝕙 𝕃𝕖𝕗𝕥𝕖𝕟𝕒𝕟 𝕂𝕠𝕞𝕒𝕟𝕕𝕖𝕣 𝕌𝕥𝕙𝕞𝕒𝕟 𝔽𝕚𝕣𝕕𝕒𝕦𝕤 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏...