BAB 15

589 9 1
                                    

DR. Kai langsung tak kata apa-apa dah lepas tu. Senyap saja memandu, tapi daripada sinar mata yang menyala itu perempuan selembab-lembab Milna ni pun boleh baca apa sebenarnya emosi lelaki itu.

Dr. Kai membawanya membuat laporan di balai polis. Pipi yang ketara dengan kesan tamparan itu dijadikan bukti.

Sesudah itu, lelaki itu memandu ke universiti semula.

Dia berjalan di sebelah lelaki itu. Dia juga ikut senyap. Tak berani nak kata apa-apa. Sebab gerun tengok keseriusan orang tu.

"Masuklah." Pelawa dia selepas pintu pejabat terbuka.

Dr. Kai masuk, hidupkan pendingin hawa. Kemudian tanpa berkata apa-apa melangkah ke meja kerja yang penuh dengan kertas-kertas dan dokumen.

Nampaknya lelaki tu tak sempat kemas pun biliknya ini sebelum menjalani hukuman gantung kerja hari tu.

Milna perlahan menapak masuk.

"Duduklah."

Lelaki itu sendiri duduk di kerusi berodanya. Tarik dekat dengan meja. Kemudian diam memandang dia. Menunggu dia duduk.

Dia senyap sahaja. Hanya akur kepada satu demi satu arahan. Dia tarik kerusi di hadapan meja lelaki itu. Duduk di situ. Lepas tu senyap.

Lama lelaki itu memandang dia, sebelum akhirnya bersuara.

"Sakit lagi pipi tu?"

Dia geleng kecil. Mata jatuh ke pangkuan.

"Sakit sikit."

Lelaki tu diam. Kembali memandang dia lama, sebelum menghembuskan nafas dalam dan bangun dari kerusi.

Dia dongak pandang.

Dr. Kai berlalu ke meja lain yang berada di sudut pejabat. Buka pintu di sebuah kabinet, keluarkan peti kecemasan. Diambil satu tiub krim, kemudian dapatkan semula meja kerja ini dan hampiri Milna.

Milna diam cuba faham maksud orang tu. Dia faham, mesti orang tu nak suruh dia sapu kesan calar di hujung bibir tu dengan krim. Lalu dia pun menyuakan tangannya meminta.

Tapi anehnya Dr. Kai langsung tak peduli pun pada kelakukannya itu. Tak hulurkan tiub krim pada dia atau kembali duduk di kerusi. Sebaliknya lelaki itu menghampiri dia lagi. Duduk di hujung meja, di hadapan dirinya.

Lelaki itu buka penutup tiub. Calit satu amaun krim di hujung jari. Kemudian dengan jari itu, lelaki itu tunduk sedikit menghampiri wajahnya.

"Stay still."

Dia tak semena-mena mengeras satu badan sebaik saja dapat faham maksud lelaki itu. Laju naik matanya ke mata lelaki itu.

Tapi orang tu macam tak perasan pada bahasa tubuhnya ini. Lelaki itu tenang menyapukan krim pada hujung bibirnya.

Terdiam Milna. Berderau darah.

"Dunia universiti ni taklah sebersih yang semua orang fikir, Milna. Pergi mana pun tetap ada politik kotornya. Saya minta maaf sebab tak mampu lindungi awak, sampai orang berani berkasar dengan awak." Rendah, bahkan hampir kepada bisikan sahaja lafaz itu.

Milna dah rasa jantungnya seakan-akan sedang memecut acara balapan. Matanya bertumpu lama pada mata lelaki itu.

Namun anak mata lelaki itu kekal berfokus pada bibirnya yang luka.

Tegak sembilan puluh darjah bulu tengkuknya. Jarinya nyaris menggigil. Dia lawan, dengan jari yang sama itu dia tepis sentuhan lelaki itu.

Terhenti pergerakan Dr. Kai. Kerling matanya.

Lecturer Itu Suami Aku [BAKAL TERBIT]Where stories live. Discover now