BAB 1

2K 29 0
                                    

UNTUK kali yang entah ke berapa, malam ini Kai dikecewakan lagi. Tidak terkira berapa banyak bilangannya. Dia juga sudah terlalu penat untuk mengiranya. Hanya menambahkan kelukaan yang kian dalam.

Pasrah, dia akhirnya terduduk di tangga pentas. Diraup muka seraya menarik nafas yang dirasakan sangat payah. Berat. Sakit. Sungguh kenyataan ini terlalu menyakitkan.

Sudah dua tahun dia berkahwin. Dan selama ini pun memang dia sahaja yang menunjukkan cintanya. Dia kecewa tapi tetap berusaha. Tapi tak tahulah kenapa akhir-akhir ini semuanya makin serba tak kena. Jane memang dari dulu suka mengetepikannya. Itu sudah dimakluminya. Tapi sekarang ini ragam Jane kian menjadi-jadi. Ah, benteng kesabaran yang dipupuk sejak dua tahun yang lalu kian goyah.

Dia menghela nafas dalam, memandang ruang dewan yang kosong. Cuba mencari kekuatan di celah-celah cahaya yang suram ini.

Sebenarnya sambutan ulang tahun perkahwinan mereka malam ini, telah lebih enam bulan dirancangnya. Dia bekerja keras agar semuanya menjadi sempurna di matanya. Tak tidur, tak makan. Sebab dia teruja nak tunjukkan kepada dunia betapa sayangnya dia pada Jane. Dia sanggup sewa hotel dan dewan terkemuka ini hanya semata-mata kerana perempuan itu.

Alih-alih bila tiba malam ini, malam yang begitu bermakna baginya, boleh Jane tak datang langsung ke majlis ini. Bahkan Jane dengan tak rasa bersalahnya memberitahu yang dia nak keluar makan dengan kawan-kawan. Sikit pun tak rasa bersalah!

Sekarang dewan majlis ini sudah pun kosong daripada manusia. Semua hadirin sudah meninggalkan majlis. Majlis berakhir tanpa sebarang keistimewaan yang didambakan. Segala-galanya berlalu tanpa apa-apa erti. Dia pun dah berputus asa nak mengharap lagi.

Dia bangun dari tempat duduknya. Berjalan lemah mendapatkan pintu dan keluar dari dewan yang berhias meriah.

Kepala terus-terusan mengingati isteri yang semakin enggan menghargai dirinya. Nak berjalan pun dia rasa tak larat betul sekarang.

"As a woman..." Tiba-tiba telinganya tertangkap sayup-sayup suara perempuan, sewaktu dia melintasi sebuah dewan yang lain. Begitu bersemangat bunyi suara itu.

Dia tak tertarik sangat mendengar suara itu kerana tika ini dia benar-benar sudah hilang semua selera terhadap semua perkara. Dia tetap melangkah seperti biasa, sambil hati terus-terusan memujuk diri supaya memahami kesibukan dan jiwa moden Jane.

"We have to have our own money. Financial management is the greatest issue here."

Oh, mungkin itu bunyi budak U tengah berlatih public speaking.

Pengalamannya sebagai pelajar universiti beberapa tahun lepas menguatkan andaiannya. Waktu-waktu tengah tahun begini, biasanya universiti akan mengadakan pelbagai pertandingan berprestij yang ada kalanya menjengah hingga ke peringkat antarabangsa. Agaknya suara budak perempuan yang dia dengar ni pun sama macam tu lah kut.

"Err... There's no such thing as penniless in this life! We strictly oppose the norm of... Err... hah, the norm of apa, weh? Aduh... lupa lagi!"

Terdengar suara lunak manja semula jadi itu merengek dan acah teresak tak berair mata. Kemudian kedengaran pula pemilik suara itu menghentak-hentak kaki sambil merungut. Spontan dia membayangkan figura perempuan itu sedang merengek persis anak kecil.

Dia tiba di depan pintu dewan tersebut. Pintu itu bertutup rapat. Anehnya, langkah dia pun tiba-tiba mati di sini. Beku dia di situ.

Dia dengar lagi suara itu.

"Haa... the norm of men's domination. Okay, okay. Start balik, Milna."

Pantas fikirannya bagai ternampak-nampak pula yang perempuan itu cepat-cepat menarik nafas dan bersiap sedia untuk menyambung semula pengucapan awamnya.

Lecturer Itu Suami Aku [BAKAL TERBIT]Where stories live. Discover now