AIR kolam renang yang kini berkocak kuat dek kerana titisan hujan yang mulai membasahi lebat permukaan kolam itu sedikit demi sedikit menenggelamkan Alana ke dasar kolam setinggi dua meter itu di halaman rumah Datin Rossa.
Aryan mulai mendekati bucu kolam cuba mencari kelibat Alana di dalamnya. Bagaimana cara Alana masuk ke dalam kolam itu, Aryan masih tidak tahu. Mungkinkah terjatuh? Sengaja atau tidak sengaja?
Aryan mengurut pelipis sambil bertinggung melihat keadaan Alana yang langsung tidak bergelut di dalam air kolam itu yang sedang bergelora kuat. Pasti Alana sedang berpura-pura. Gadis itu terlalu tenang langsung tidak bergerak.
Aryan bangun berdiri. Bersedia mahu menoleh dari kejadian itu seperti tiada apa-apa yang berlaku. Apa gunanya dia menyelamatkan seseorang yang benar-benar tak mahu diselamatkan?
Aryan mendongak pada langit. Satu langkah diorak menjauhi dari kawasan kolam renang itu. Berat. Langkahnya terasa berat. Alana tak mahu diselamatkan. Dia perlu pergi dari situ. Sekarang. Sekarang? Sekarang.
Wajah Aryan yang mendongak tadi tertunduk melihat tanah. Tubuh sudah basah lencun tapi dia masih tak mahu bergerak. Langkahnya mati. Hatinya terasa dipenuhi satu perasaan tidak enak. Lidah mula terasa pahit.
Dia tak patut kisah betapa sejuknya tubuh Alana di dalam kolam itu. Dia tak perlu ambil tahu sama ada jasad itu masih dikandung nyawa atau tidak. Dia hanya perlu pergi. Tapi mengapa perkara itu pun sukar dilakukan? Alana bukan sesiapa.
Jadi, kenapa sekarang dia kisahkan gadis itu pula?
Rumit! Aryan mendengus geram. Mahu saja dia mencabut seluruh rambutnya bagi menghilangkan perasaan itu dari dalam hatinya. Alana cuma perempuan asing. Jadi kenapa dia rungsingkan tentang Alana pula?
Terasa dunia sedang memerli dirinya.
Tanpa berlengah, tubuhnya dipusingkan menghadap kolam renang. Kaki mengorak langkah seribu. Aryan sudah buat pilihan.
Dia perlu selamatkan Alana.
Splash!
═════✮❁•°♛°•❁✮ ══════
PENUH pantas Aryan terjun menuju ke dasar kolam. Tubuh Alana yang sedang terapung di bawah air itu segera dipaut Aryan sebelum dibawa ke atas permukaan kolam. Hujan yang masih tidak berhenti menghujani mereka menyukarkan keadaan Aryan untuk kembali ke atas permukaan.
Beberapa kali Aryan cuba menjerit meminta pertolongan mereka yang di dalam namun bunyi hujan dan guruh yang kuat itu menenggelamkan suaranya. Sedaya upaya tubuh Alana diletakkan di tepi kolam sebelum Aryan keluar dari kolam.
Wajah Alana kelihatan pucat lesi. Manakala, bibirnya sudah mula bertukar kebiruan menunjukkan tanda-tanda awal gadis itu tidak mendapat oksigen yang cukup.
"Alana? Alana? Bangun!" Aryan mulai panik, bantuan awal CPR diberikan cuba mengeluarkan air yang memenuhi paru-paru daripada rongga hidungnya. Mengikut ritma, Aryan langsung tidak berhenti.
Hatinya penuh debaran. Takut akan sesuatu. Takut akan kehilangan. Penuh dengan ketakutan. Sekali pandang wajah pucat Aryan tidak kurang seperti wajah pucat Alana kini.
"Hei, bangun. Alana, bangun!" Aryan memeriksa nadi Alana yang semakin lemah. Mulutnya dingangakan sebelum diteruskan kepada bantuan mulut ke mulut. Hujan menghujani mereka berdua.
Namun, sesuatu yang mengalir pada pipi Alana saat ini. Bukan air hujan. Tetapi air mata Aryan yang jatuh berlinangan membasahi pipi Alana yang masih tidak sedarkan diri.

YOU ARE READING
OG | HER PLAYBOY
Romansa𝗛𝗲𝗿 𝗛𝘂𝘀𝗯𝗮𝗻𝗱 𝗦𝗲𝗿𝗶𝗲𝘀 •°. *࿐ «3𝒓𝒅 𝒔𝒆𝒓𝒊𝒆𝒔» | ᵒⁿ ᵍᵒⁱⁿᵍ ˚ ༘♡ ·˚𝐀𝐑𝐘𝐀𝐍 𝐐𝐀𝐋𝐈𝐒𝐇 𝐱 𝐃𝐇𝐄𝐀 𝐀𝐋𝐀𝐍𝐀˚ ༘♡ ·˚ "𝑳𝒐𝒗𝒆 𝒕𝒉𝒆 𝒍𝒐𝒗𝒆𝒓𝒔, 𝒑𝒍𝒂𝒚 𝒕𝒉𝒆 𝒑𝒍𝒂𝒚𝒆𝒓𝒔." ✰ playboy x tomboy ✰ song playlist; stereo love ✰...