3 | Seroja, Kesayangan Runa

190 25 0
                                    




Kakinya masih teguh berdiri di luar bangunan Mahkamah Syariah Putrajaya. Mata juga tidak lepas dari melihat bekas suaminya sedang berpeluk-pelukan dengan keluarga Hidayah. Langsung tidak endahkan Runa yang tidak jauh dari mereka.

Ah, bukan itu yang Runa kisahkan. Dia pun sudah bosan melihat wajah mereka semua. Talam dua muka dan penuh dengan lakonan.

"Runa okey?" Rehzal dari belakang memegang lembut bahu adik perempuannya.

Soalan itu berbalas dengan anggukan. Kaca mata hitam yang melorot, dibetulkan. "Terima kasih sebab sudi ada." Acuh tak acuh dia berkata. Satu senyuman pendek dia cuba ukir.

Rehzal sengih. "Dah tahu tak nak senyum, tak payah senyum. Aku ni je abang yang kau ada. Pada siapa lagi kau nak minta tolong kalau bukan aku?" Bahu kurus itu makin dirangkul lalu beriringan mereka berjalan menuju ke kereta Rehzal.

"Hana ada masak lebih untuk lunch. Kita balik makan dekat rumah aku jelah eh? Ke kau ada teringin nak makan mana-mana?" Soal Rehzal sebaik sahaja mereka masuk ke dalam perut kereta.

"Tak ada."

"Okey. Kalau ada rasa nak singgah mana-mana kejap lagi, bagitahu aje. Kita tak rushing pun."

Sengaja Rehzal beritahu awal-awal. Dia sudah masak dengan perangai Runa yang semakin gemar gamkan bibirnya dari bercakap walaupun dengan abangnya sendiri. Itulah perubahan besar pada diri Runa selepas berkahwin dengan Aqiff.

Fikir Rehzal perceraian ini bakal mengubah semula Runa kepada Runa yang dulu. Ah, mungkin saja mereka sudah terlambat. Runa sudah mati rasa. Kalau benar sekalipun dia pernah terdetik rasa gembira, hari beginilah sepatutnya Runa bergembira.

Tetapi sayangnya dengan hati yang sudah menjadi batu, senyuman Runa sudah menjadi perkara yang paling berharga yang paling susah untuk dapat.

Aqiff dan Dato Syah benar-benar sudah membunuh Runa yang dulu.

Runa yang... pendiam tetapi masih terselit manisnya.

"Rehzal."

"Ah, yes?" Tegak terus badan Rehzal apabila Runa yang disangkanya tidur tiba-tiba bersuara.

"Thank you for always taking care of me." Perlahan.

Sambil mata masih pada jalanraya, bibir Rehzal menguntum satu senyuman. Gembira dan terharu.

"...always making me feel... included." Semakin lama semakin perlahan tutur kata Runa. Syukur, Rehzal mampu menangkap semua yang Runa mahu sampaikan.

Untuk sesaat, Rehzal lupa bahawa adik perempuannya ini pernah menjadi teman bualnya sepanjang dia menuntut ilmu di negeri orang. Dan ke mana pun dia pergi, apapun dia buat, dengan siapapun dia berkawan di sana, Runa sentiasa menjadi orang pertama yang tahu tentang semua itu.

"Aku kan abang kau. Mestilah aku akan jaga kau."

Rehzal kurang pasti sama ada dia rabun atau tidak kerana sebaik sahaja dia lafazkan ayat terakhirnya, dia rasa seperti Runa sedang tersenyum sendiri sambil membuang pandangannya ke luar tingkap.

Kalau benar sekalipun Runa sedang tersenyum, apa salahnya.








MASUK saja ke dalam rumah Rehzal, Runa diterkam Hana. Didakap erat-erat sehingga dapat Runa dengar degup jantung Hana yang laju. Perlahan-lahan tangannya turut naik membalas pelukan itu.

Tak lama selepas itu, bahu Hana pula terhinggut-hinggut. Menangis di bahu Runa sambil mulut tak putus dari mengucap syukur kepada-Nya. Kegembiraan Hana seolah-olah sedang mewakili rasa yang terpendam dalam dada Runa. Sedar akan mata yang kian berkaca, lantas Runa sembamkan wajah pada bahu Hana.

RUNAWhere stories live. Discover now