Kalut. Pagi ni, dia dan Seroja sama-sama terbangun lambat. Hanyut dengan rasa penat pulang dari rumah Dato Syah, sampaikan jam penggera pun Runa banyak kali snooze. Nasib baik semua pakaian sudah siap digosok dari semalam lagi.Tinggal bekal Seroja saja tak sempat dibuat.
Ah, tak sempat!
"Bekal Seroja macam mana, umi?" Seroja yang meriba beg galas bertanya lemah.
Tadikanya bukan tak sediakan makanan pun tapi Seroja sendiri lebih gemar bawa bekalan sendiri memandangkan bahagian makanan yang disediakan di sana tak cukup untuk Seroja! Terlalu sedikit untuk anaknya yang makan banyak tetapi bertubuh kecil.
"Tak apa, nanti umi singgah belikan."
Jam tangan ditilik. Sudah pukul 7 pagi. Biar Runa lambat, asalkan Seroja tidak lewat untuk ke kelasnya yang bakal bermula lagi setengah jam.
Sebelum keretanya dipandu masuk ke dalam lorong kiri, dia berhenti di sebelah gerai kecil di sebelah taman permainan. Banyak kali juga Runa jeling-jeling gerai kecil itu memandangkan setiap pagi mesti pengunjungnya terpaksa beratur panjang.
Mungkin sedap agaknya.
"Seroja nak makan apa? Mihun nak?"
"Apa-apa jelah, umi. Umi pilihkan aje yang sama dengan umi." Seroja menjawab dengan wajah yang sedikit mamai. Budak kecil, kalut pagi-pagi macam ni memang hadir ke kelas dengan tubuh yang lesulah jawabnya.
Berdesup Runa pergi meninggalkan keretanya.
Rezeki betul Runa dan Seroja hari ni. Tak ada orang beratur!
"Ya dik, nak apa?" Ramah acik kedai itu menyapa Runa.
"Nasi lemak lauk sambal udang, ada kak?" Runa meliarkan mata, melihat bekas-bekas lauk yang kebanyakannya sudah licin. Padanlah tak ada orang beratur pun.
"Ada tapi tak banyaklah, dik. Untuk sebungkus bolehlah."
Runa kulum bibir. Baru nak terliur tengok sambal udang. Dia dan Seroja sudahlah penggemar nombor satu sambal udang!
"Bolehlah. Satu buat lauk sambal udang, satu lagi ambil lauk sambal paru. Lauk asing."
"Paru ni acik kasi semua ajelah, ya? Nak habis dah."
"Boleh, boleh." Lagi Runa suka!
Sambil menanti bungkusannya siap, Runa buka langkah menuju ke bahagian kuih-muih.
"Assalamualaikum, Acik Mah."
"Eh waalaikumussalam, Bais! Lambat betul kamu hari ni. Nasib baik acik tinggalkan lauk sambal udang kamu tau. Kalau tak ada orang sapu dah sambal udang kamu."
Sengihan Bais berubah terkejut. "Kan saya cakap jangan simpan untuk saya. Buatnya saya tak datang beli hari ni, kan Acik Mah yang rugi."
Acik Mah muncung bibirnya ke arah Runa yang sudah berdiri di hujung gerainya. "Dia tulah yang habiskan sambal udang tadi."
Terangkat terus kening Bais apabila ternampak Runa sedang memanjangkan leher, melihat pilihan kuih-muih. Perlahan saja bibirnya ringan menarik senyuman kembali. Siapa sangka dia akan berjumpa dengan wanita itu di tempat lain juga.
Laju langkahnya dibawa mendekati wanita itu.
"Tak pernah nampak you dekat sini. You ibu Seroja, kan?"
Sapaan Bais serta-merta menghentikan perbuatan Runa. Tangan yang sedang memegang bekas berisi karipap pusing diletakkan semula. Mata hanya mengerling ke arah Bais sebelum kepalanya menunduk dan berlalu ke bahagian meja depan.
YOU ARE READING
RUNA
RomanceReminder : Update sekali seminggu. GOLD RETRIEVER x BLACK CAT Kisah ini ditulis semula dari kisah seorang gadis yang inner child-nya tersakiti. Setiap perilaku sentiasa dipertikai sampaikan satu tahap, dia terlalu dewasa semasa kanak-kanak lain seda...