Seperti biasa, abaya dan selendang satin menjadi pilihan Runa apabila dia perlu menghadirkan diri dalam acara terbesar tahunan keluarga besar Aqiff. Cuma warna yang dia padankan kali ini sedikit cerah berbanding kebiasaan.Abaya biru pastel bersama selendang berwarna off-white.
Begitu juga dengan Seroja. Dari atas sampai bawah biru pastel.
Salah satu sebab Runa berpakaian cerah pun sebab abaya baru Seroja baru sampai semalam. Jadi bolehlah dia nak sedondon dengan puteri kecilnya.
"Umi nanti Uncle Jijul ada juga ke?" Mata Seroja sudah bersinar-sinar.
Runa senyum. "Mestilah ada. Dia kan pakcik Seroja." Tautan tangan mereka Runa eratkan. Sekilas, satu kucupan dia labuhkan pada kekura tangan si anak.
Uncle Azizul merupakan antara sepupu Aqiff yang paling gemar menghabiskan masanya dengan Seroja setiap kali mereka berjumpa. Sama juga macam acara tahunan mereka sebelum-sebelum ini. Memang memanjanglah dua orang itu melekat.
Selagi Runa tak balik, selagi tu tak boleh berenggang.
Lagipun Uncle Azizul memang sudah lama inginkan anak. Usia perkahwinannya juga lebih lama berbanding usia perkahwinan Runa dan Aqiff. Mungkin dengan merapatkan hubungannya dengan Seroja dapat mengubati rasa itu.
Masuk saja bahagian parkir di luar dewan, sudah banyak kereta-kereta bawah tersusun di kotak-kotak parkir. Menandakan majlis sudah hampir dengan pembukaannya. Lantas Runa meminta pemandu Grab itu untuk berhenti di pintu masuk dewan.
"Jom," tangan kecil Seroja ditarik keluar dari perut kereta.
Memandangkan Bais kata keretanya masih di bengkel, terpaksalah dia gunakan khidmat Grab. Boleh tahan susah juga nak dapatkan Grab waktu malam begini.
Masuk saja ke dalam dewan, satu bau mewah menghuni rongga pernafasannya. Sejuk dewan langsung menyelimuti hangat dari luar dewan. Kebanyakan meja sudah penuh dengan ahli keluarga besar Aqiff.
Meskipun mereka memanggil acara ini family gathering, tetap juga ada orang-orang kenamaan dijemput untuk memeriahkan acara tahunan ini. Atau lebih tepat – jalinkan hubungan perniagaan semata.
Luminee – Sebuah syarikat yang menyediakan khidmat membuat laman sesawang yang sebahagian besar projeknya adalah permintaan dari pelanggan luar negara. Selain daripada itu projek dari kerajaan sendiri juga adakalanya menjadi makanan mereka.
Sebab itulah Luminee menjadi rebutan antara semua keluarga besar Aqiff.
Kalau dulu setiap kali dia menghadiri acara ini bersama Aqiff, mesti dia rasa seperti serah diri masuk dalam mulut buaya. Kebanyakan sepupu Aqiff pasti akan merenungnya macam nak telan Runa hidup-hidup. Tak lain tak bukan, pada akhirnya Runa akan ditanya dengan soalan 'Perut tu dah ada isi ke?' ataupun 'Bila due tu?'
Tetapi kini tidak lagi. Meskipun Runa diletakkan di bahagian meja paling depan, dia dengan selambanya melabuhkan duduk di bahagian meja paling belakang dan kerusi membelakangi pentas. Lagipun sebelum ni Runa asyik menolak saja jemputan ke acara begini kerana tak mahu Seroja berasa tidak selesa.
Dia setuju pun sebab Dato Hattan beria-ia mahu melihat cucunya. Seroja pun dah dekat setahun tak jumpa dengan Uncle Azizul dia.
"Umi, mana uncle Jijul?" Lengan Runa digoyang lembut. Rindu betul Seroja pada Uncel Jijul.
Belum sempat Runa menjawab, dari jauh lagi susuk tubuh tegap kelihatan sedang berjalan menuju ke arah belakang kerusi Seroja.
Seroja terus berpaling ke arah mata ibunya dituju. Terus bibir nipis itu memekar dengan sengihan lebar. "Uncle Jijul!" Terus berlari dia mendapatkan si empunya nama.
YOU ARE READING
RUNA
RomanceReminder : Update sekali seminggu. GOLD RETRIEVER x BLACK CAT Kisah ini ditulis semula dari kisah seorang gadis yang inner child-nya tersakiti. Setiap perilaku sentiasa dipertikai sampaikan satu tahap, dia terlalu dewasa semasa kanak-kanak lain seda...