BAB 6

305 12 0
                                    

PERLAHAN-LAHAN, aku memulas tombol dan menolak daun pintu. Tidak terus dibuka luas-luas, sebaliknya aku mengintai di celah-celah pintu. Kelihatan Jannah atas katil, sedang bersandar pada bantal dan membelek-belek mukanya. Ada bekas bedak di tangan kirinya. Mungkin di situ ada cermin, memandangkan Jannah kelihatan khusyuk benar menengok-nengok wajahnya.

Di satu saat, dia menyentuh bawah bibirnya yang pecah. Dia tampak mengaduh, sebelum menutup bekas bedak dan meletaknya ke tepi. Wajahnya berkerunyut dan agak cemberut.

Aku hampir tergelak melihat. Namun secepat itu juga, aku mengeraskan wajah. Tanganku diletak lebih rapat ke daun pintu, lantas aku menolaknya. Jannah kelihatan semakin jelas di mataku. Dia sedang cuba menegakkan badan. Tetapi sesaat cuma. Selepas itu, dia kembali tersandar di kepala katil, dengan telapak tangan di perut dan muka menahan sakit.

"You nak pergi mana?" Aku menegur.

Kepala Jannah terangkat kepadaku. Aku melangkah masuk tanpa dipelawa.

"You nak ke mana?" ulangku lagi.

"Tengok Nadiya."

"Dia tidur. I dah check tadi," jawabku selamba. Padahal, aku tidak pun menjenguk Nadiya. Aku sekadar membiarkan doktor menguruskan dia. Nadiya bukan kawan baik aku pun, buat apa aku pedulikan dia?

Aku kini menjatuhkan duduk di atas bangku bersebelahan katil. Kepalaku jadi separa terdongak, melihat Jannah yang kini lebih tinggi daripadaku.

"How is she?" Jannah masih mahu bercakap tentang Nadiya.

"Sama macam you. Luka sana sini. Lebam sana sini. Mujur saja tulang rusuk kau orang berdua tak retak, atau lebih teruk lagi patah." Aku melayan soalan Jannah. Sengaja aku mengeraskan suara di hujung kata.

Sekarang, aku mahu memainkan watak seorang lelaki yang sedang marah apabila wanita kesayangannya dilukai.

Jannah senyum kecil.

"Don't." Aku memberi amaran.

Senyuman Jannah termati. Dia menatapku bingung.

"Don't smile like that. Kenapa you nak senyum, padahal you tengah sakit?"

Tatapan mata Jannah berubah lebih lembut. Dia sudah tersentuh denganku. Aku boleh nampak.

"I senyum sebab I rasa terharu. Salah ke?"

"Terharu?" Aku menyoal semula. Dahiku dikerutkan, konon-konon polos tidak mengerti.

"You bimbangkan I, kan?"

Bingo! Jannah sudah masuk ke perangkapku.

"You rasa?" Aku menekankan kata. Masih memainkan peranan lelaki tengah marah sebab wanita kesayangan dilukai.

Jannah terdiam.

"Tiga bulan I tak jumpa you, tiga bulan I cuba cari you, bukan untuk I ended up jumpa you dalam keadaan berdarah-darah, Nurul Jannah. I don't want that!" sambungku penuh emosi. Tidak cukup dengan itu, aku juga merengus dan meraup rambut dengan kasar. Mahu kelihatan berserabut depan Jannah.

Dia kelihatan terkedu.

"You... cuba cari I?"

"Yeah, of course. You tinggalkan I macam tu aje. You ingat I apa?"

"You are..." Laju, Jannah mahu menjawab sesuatu. Tetapi selepas itu, dia mematikan kata. Dia tampak keliru.

"Yeah, I know. I'm a nobody." Aku menjawab dengan nada suara yang sengaja disedihkan. Seolah-olah aku sedang terkilan.

"Cuma seorang lelaki asing yang tiba-tiba you jumpa, yang dengan muka tak malunya nak berkawan dengan you, nak rapat dengan you, nak..."

Aku berhenti di sekerat jalan, mahu menanti respons Jannah.

LELAKI BERPAKSI DENDAM (Published)Where stories live. Discover now