HARI KETIGA.
Hari ini sudah genap hari ketiga aku di sini. Duduk di sini, minum air yang sama dan menghadap dia yang sama.
Dia.
Seperti kali pertama aku lihat, mengenakan dres yang sedang-sedang elok di tubuh. Tidak terlalu ketat, tidak terlalu longgar. Labuhnya hingga ke buku lali, dengan corak-corak bunga kecil yang... entah bunga apa. Bukan aku kenal pun. Kepalanya dilitupi dengan selendang yang kadang-kala akan beralun terkena angin. Tampak lembut selendang itu. Warna selendang pula selalu cocok dengan kulit wajahnya yang aku boleh katakan sebagai kuning langsat. Tidak terlalu gelap, tidak juga putih melepak.
Dari kedudukanku duduk, aku boleh nampak raut wajahnya dengan jelas. Bersih mulus kulitnya. Matanya yang selalu terangkat kepadaku, kelihatan bulat bersinar. Tampak polos tidak mengerti jahatnya dunia. Pipinya kadang-kadang akan memerah, lebih-lebih lagi pada saat dia sembunyi-sembunyi melirik kepadaku. Bibirnya merah jambu, sesekali akan bergerak. Entah apa yang dia bebelkan sendiri, aku tidak tahu. Tetapi yang nyata...
Dia memandang aku.
Bukan setakat memandang, bahkan memerhati setiap gerak lakuku. Mungkin dia sendiri tidak menyedari tindakannya, kerana kadang-kadang dia tampak menggeleng kepala dan cuba mengawal diri. Selepas itu, dia akan kembali kepada aktivitinya. Menghirup kopi dalam cawan, sambil kepalanya terangkat melihat pemandangan di luar jendela. Kelopak matanya akan turun naik dengan lembut. Seolah-olah dia sedang tersenyum dengan mata.
Sesiapa pun yang melihat dia, pasti akan merasakan dia sebagai seorang gadis yang manis.
Okey, mungkin juga sedikit aneh. Sejak kedatangannya ke kafe ini, dia benar-benar asyik memerhati aku. Pada saat aku berserabut dengan timbunan kertas atas meja, dia akan melihat aku. Pada saat aku memutar-mutar pen di tangan, satu tabiat yang tidak pernah aku dapat hilangkan... dia memandang aku. Pada saat aku minum bercawan-cawan kopi hitam, dia juga memandang aku.
Bukan aku tidak perasan. Bukan aku tidak tahu apa yang dia buat. Tetapi, aku tidak menegur. Tidak juga mengangkat pandangan, melawan tatapan matanya. Aku biarkan sahaja dia. Cuma sesekali, aku akan melirik kepadanya. Terutama sekali, pada saat dia tidak melihat kepadaku, atau pada waktu dia bercakap-cakap di telefon. Setiap kali itu berlaku, telingaku selalu menangkap bahasa yang dia gunakan.
Bahasa Melayu. Bahasa Malaysia.
Lewat ekor mata, aku mengerling kepada dia. Masih sedang menatapku. Aku senyum secalit, menanti beberapa ketika lagi dan kemudian...
Aku mengangkat kepala ke hadapan. Pandangan mataku serta-merta melekat kepada gadis di setentang sana. Betul-betul tepat kepadanya.
Dia tampak tersentak dan terkaku.
Tanpa langsung melarikan renungan mataku daripadanya, aku bangkit dari duduk. Si gadis melihat tindakanku dengan mata yang membulat.
Aku mula bergerak ke hadapan.
Dia semakin tergamam. Matanya yang bulat, semakin membundar.
Setapak lagi.
Kali ini, mata si gadis mula melingas ke kiri kanan. Seperti sudah tidak tahu mahu pandang ke mana.
Setapak lagi aku lebih dekat dengannya.
Dia mengemam bibirnya pula. Kepalanya sedikit tertunduk, tetapi aku perasan matanya yang asyik-asyik melihat kepadaku.
Setapak lagi aku hampir sampai.
Si gadis mula menghela nafasnya dalam-dalam. Bibirnya juga tampak bergerak, seolah-olah sedang membisikkan sesuatu kepada diri sendiri.
YOU ARE READING
LELAKI BERPAKSI DENDAM (Published)
RomanceYou see me as a villain, but do you know... "A villain is just a victim whose story hasn't been told." And this is my story. ___ "Aku kahwin dengan kau sebab aku nak hancurkan kau. Sampai lumat." Nama aku Amsyar Mikael. Dan itu yang telah aku putu...