BAB 15

86 3 0
                                    


"BENCI, tau!"

Suara Jannah kedengaran merengek-rengek di hujung talian.

"Eh, bencikan abang pula?"

Dan seperti biasa, aku melayan dia.

"Yalah, abang siap pergi jalan-jalan ke Hanoi, tapi Ana..."

"Excuse me? Abang bukan pergi jalan-jalan. Abang pergi kerja." Aku membetulkan ayatnya.

"Ala, lebih kuranglah tu."

"Mana sama."

"Tak kesah sama ke tak. Pokok pangkalnya, abang boleh pergi ke mana-mana, boleh buat macam-macam. Ana terkurung aje. Pergi kerja, balik kerja. Pergi kerja, balik kerja. Hari tu, Nadiya pergi bercuti ke Istanbul. Dia ada ajak Ana, tapi papa tak bagi pergi."

Lagi, Jannah merungut-rungut. Aku boleh bayangkan rupanya yang tengah cemberut. Bibirnya memuncung panjang. Matanya menjeling-jeling tak puas hati. Dua tahun menjalin hubungan, aku sudah faham benar perangai dan tabiatnya.

Jannah... jika dengan aku, dia selalu manis dan manja begitu. Tetapi jika perlu, dia boleh menjadi seorang yang tegas dan tidak mudah mengalah. Buktinya, kejadian di Chiang Mai. Pada saat dia tidak sesenang itu menerima salam perkenalan daripada aku.

Tetapi... mestilah aku bijak. Dia tetap kalah dengan aku!

Sejak malam sambutan hari jadi itu pula, kami sudah menukar panggilan I-you kepada abang-Ana. Sengaja aku berbuat demikian ketika itu. Tujuan aku cuma satu. Untuk membuat Jannah berasa hubungan kami sekarang lebih rapat dan lebih istimewa. Dengan itu, dia akan lebih berangan. Lebih berada di awang-awangan. Semakin tinggi dia naik, semakin dia akan jatuh ke bawah.

"Abang dengar tak ni?" Kedengaran suara Jannah yang menyergah.

Aku senyum menyenget.

"Dengar, sayang. Tapi abang tak boleh buat apa. Mak Ucu yang cakap, Ana sekarang tengah darah manis. Tak boleh ke mana-mana."

Oh, aku dan Jannah sekarang sudah bergelar tunangan. Aku masih ingat, saat genap dua tahun hubungan kami, aku pergi menghadap Dato' Johari dan menyuarakan hasrat untuk meminang Jannah. Macam-macam jugalah yang aku perlu dengar dari mulutnya ketika itu. Nasihat, bebelan, pesanan, amaran... entahlah, aku cuma biarkan semua itu masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Namun akhirnya, Dato' Johari menerima aku. Sama ada dia benar-benar ikhlas ataupun tidak, aku tidak peduli. Tetapi aku tahu, dia tidak mempunyai pilihan. Jannah sudah terlalu mencintai aku. Dia pula terlalu menyayangi Jannah. Lalu, apa lagi pilihan yang dia ada? Selain mengikut hasrat anak kesayangan, dan menerima aku sebagai bakal menantunya?

"Papa pun satu... percaya pula cakap Mak Ucu."

Lagi, aku tersenyum senget. Teringatkan tindakan Dato' Johari yang benar-benar tidak mahu Jannah terlalu ke mana-mana, dalam masa satu bulan sebelum kami bernikah. Lelaki tua itu... nampak sahaja moden, tetapi kuno juga rupa-rupanya.

"Orang tua-tua cakap, kita kena dengar." Aku masih melayan karenah Jannah.

"Istilah darah manis tu tertakluk untuk perempuan saja ke?" Dia masih tidak berpuas hati.

"Entah. Mana abang tahu. Abang bukan vampire, tak pernah rasa darah orang." Selamba aku menjawab.

"Abang!" Jannah sudah terjerit geram.

"Ya, Ana sayang... apa dia?" Sekali lagi, aku bertingkah selamba.

Jannah tidak menjawab. Tetapi, telingaku boleh dengar dengan jelas, bunyi rengusan nafas tidak puas hatinya.

LELAKI BERPAKSI DENDAM (Published)Where stories live. Discover now