BAB 16

216 4 0
                                    

SEMINGGU kemudian. Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Hari di mana hubungan kami yang disumpah ini akan benar-benar bermula.

Dari kejauhan, aku melihat Jannah. Dia sedang tersenyum dalam persalinan pengantinnya. Bibirnya mekar sekali. Matanya bening bersinar-sinar. Mungkin kerana cahaya mentari di langit, atau mungkin juga kerana kebahagiaan yang sedang dia rasai saat ini.

Kebahagiaan.

Sepatah kata itu berdengung di celah telingaku, lantas menghadirkan senyuman senget di hujung bibirku. Kebahagiaan? Huh, apa itu kebahagiaan? Adakah mengahwini orang yang dicintai, dapat memberikan kebahagiaan? Adakah majlis gah penuh kemewahan ini, dapat menyuntik kebahagiaan?

Tidak. Jawapannya tidak. Kerana aku tidak berasa bahagia sekarang. Sekelumit pun tidak. Malahan, aku berasa jijik.

Melihat mereka semua yang sedang berbahagia ini, membuatkan jantungku membuak-buak dengan rasa jijik. Terutama sekali...

Anak mataku bergerak ke bahagian kanan taman resepsi. Kelihatan Dato' Johari sedang menyambut salam daripada seorang tetamu. Seperti anaknya, dia juga tersenyum. Dia juga tertawa. Malahan, dia galak berbual-bual. Tanpa memikirkan apa-apa. Tanpa memikirkan apa yang telah dia buat kepada kami.

Semakin aku melihat kepadanya, semakin meluap-luap rasa jijik dan benciku. Berani dia... berani dia senyum dan ketawa setelah apa yang telah dia buat kepada ayah dan emak? Berani dia hidup baik-baik sahaja? Berani dia melupakan apa yang telah dia buat? Berani dia?!

Semakin aku memikirkan semua itu, semakin jantungku berasa sesak. Aku lantas mengepal tangan kuat-kuat dan mengetap bibir. Nafasku cuba dihela dan dilepas keluar.

Tenang, Amsyar. Tenang. Sekejap saja lagi. Sekejap saja. Selepas ini, mereka akan mula terima akibatnya.

Berulang kali, aku cuba memujuk dan menenteramkan diri sendiri.

Pandangan mataku balik kepada Jannah. Dia masih di tempat yang sama. Sedang berborak, tersenyum dan kadang-kadang menekup mulut saat tertawa. Di sebelahnya, ada Nadiya, yang setia menemani Jannah sejak dari awal majlis.

Mungkin terasa dipandang, Jannah tiba-tiba memalingkan mukanya ke arahku. Tatapan mata kami bertemu.

Aku senyum kepadanya.

Jannah bercakap-cakap sedikit lagi dengan temannya, sebelum datang menghampiriku.

"Dah?" Dia menyoal sebaik sampai di hadapanku, merujuk kepada tindakanku yang meminta diri untuk ke bilik air sebentar tadi.

Aku mengangguk kecil, tidak menjawab dengan lisan.

Jannah mendekatkan diri ke sebelah, dan menyelit tangannya ke bawah lenganku.

"Then, jom. Ana nak kenalkan abang kepada kawan Ana."

Kawan Ana.

Kali ini, dua patah kata itu pula yang berdengung di telingaku. Ramai sekali kawan-kawannya. Bukan seperti aku. Jemputan dari pihak aku hanyalah staf Oracle Advisory dan orang-orang yang punya hubungan perniagaan dengan aku. Mereka hanyalah kenalan. Bukan teman atau sahabat yang sanggup bersusah payah dengan aku. Khayla? Dia hanya datang sekejap. Usai menyerahkan hadiah dengan muka kelatnya, dia berlalu pergi. Tidak perlu ditanya kenapa, aku sudah tahu sebabnya.

"Abang?"

Aku tersentak. Kepalaku spontan dipusing ke kanan, dan sedikit menunduk ke bawah. Memandang Jannah yang lebih rendah. Dia terkebil-kebil menatapku, dengan pandangan mata yang bermaksud 'kenapa?'

Aku senyum kecil dan menggelengkan kepala.

"Sorry, termengelamun pula," dalihku. Kemudian, aku menarik keluar tangan Jannah dari bawah lenganku. Tangannya itu, aku bawa ke tanganku. Jari-jemari kami bertaut dan bersilang.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 20 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

LELAKI BERPAKSI DENDAM (Published)Where stories live. Discover now