BAB 14

75 1 0
                                    

AKU melindungi dia. Aku telah melindungi dia dengan tanganku sendiri.

"Sakit tak?" Telingaku sayup-sayup mendengar sesuatu.

Tetapi, aku diam. Ingatanku masih berlegar kepada kejadian beberapa waktu yang lepas. Aku tidak berfikir apa-apa ketika itu. Tanganku yang spontan bergerak sendiri. Laju menghadang tubuh Jannah. Tidak mahu dia terhentak ke hadapan. Tidak mahu dia terluka. Tidak mahu dia tercedera.

Kenapa... kenapa aku bertindak demikian?

"Am, I tanya ni."

"Huh?" Aku tercengang. Terkulat-kulat mataku memandang Jannah, yang sedang menengadah kepadaku.

Kami kini sama-sama duduk di bangku di klinik. Aku baru lepas berjumpa doktor. Itu pun selepas dipaksa oleh Jannah. Kalau diikutkan hati aku, memang tidak mahu. Apalah sangat luka-luka di lenganku ini, berbanding...

Aku melepaskan nafas berat. Tidak mahu terhanyut dalam ingatan masa lalu. Kepalaku kemudian tunduk ke bawah, melihat lengan dengan luka dan calar-balar.

"Bunga you." Dua patah kata itu keluar dari celah bibirku.

"Huh?"

Aku mengangkat semula kepalaku. Pandangan mataku melekat ke wajah dekat Jannah.

"Bunga you dah rosak," ucapku, menujukan kepada jambangan bunga mawar yang terhimpit patah ketika aku melindunginya tadi. Itulah juga yang menjadi penyebab kepada luka dan calar-balar di lenganku.

Kami tidak bertembung dengan kereta tadi. Kami sempat berhenti. Tetapi kerana tindakan refleks aku, habis rosak jambangan bunga di ribaan Jannah. Aku pula... aku terluka kerana mawar berduri.

Jannah mengecilkan matanya kepadaku.

"Itu yang you lebih pentingkan?" Agak terketap-ketap suaranya.

"Because that's your bouquet, and you were so happy." Aku menjawab laju.

Jannah terdiam. Tetapi, bibirnya terketar-ketar. Seiring dengan matanya yang mula bergenang.

"Hey, I'm fine, okay." Aku segera memujuk.

"I... I..." Jannah mula menangis. "I tak peduli pasal bunga tu semua. I cuma... I cuma pedulikan you. Ini!"

Jannah tiba-tiba menampar lenganku.

"Aduh, sayang! I tengah sakit ni!" Aku langsung menyakat.

Jannah menjeling tajam di sebalik mata berairnya.

"Ini apa?" Dia kembali kepada ayatnya tadi. "Luka-luka macam ni. Berdarah-darah macam ni. Calar-balar macam ni. I tak suka! I tak nak you kena macam ni..."

Jannah terus-terusan membebel di celah-celah esak tangisannya. Sesekali, dia mengesat air mata di pipi. Sesekali, dia mengesat air bawah hidung. Seluruh mukanya berkerunyut, antara mahu menangis dan mahu mengawal diri.

Aku... merenung Jannah. Tepat-tepat. Dalam-dalam.

Lidahku kelu. Otakku kosong. Hatiku pula... tiada apa-apa yang aku rasa sekarang. Ya, benar! Tidak kira apa-apa pun yang Jannah buat kerana aku, aku tidak akan dan tidak boleh merasakan apa-apa. Tidak boleh!

Kerana itu haram untuk aku.

"So, please Am..."

"Apa?"

"Fikirkan diri you juga. Jangan fikirkan I saja."

Aku terdiam lagi. Mataku terpaku lagi ke muka Jannah. Sangat tulus dia kelihatan. Sangat membimbangkan aku. Tetapi aku pula... aku menjawab dalam hati, 'Sebab aku fikirkan diri aku, aku berada di sini, Jannah. Depan kau.'

LELAKI BERPAKSI DENDAM (Published)Where stories live. Discover now