"Mirul, ajak abang Man tolong ayah ni jap" laungku memanggil Amirul yang sedang menyusun kerusi di meja untuk kegunaan jamuan nanti.
"OK ayah" jawab Amirul lalu dia menuju ke arah belakang rumah.
Tidak lama kemudian, Amirul dan Azman tiba, begitu juga dengan Haikal yang memang dari tadi membantu aku di bawah khemah. Aku menerangkan apa yang perlu dibuat semasa majlis berlangsung, aku inginkan semuanya berjalan lancar. Jadi, khidmat anak menantu aku yang lelaki ini menjadi harapanku untuk memastikan kelancaran majlis ini. Anak menantu perempuan aku sudah tentu membantu isteriku di dapur menyediakan keperluan yang diperlukan. Aku bersyukur dapat menantu yang ringan tulang, yang boleh mengadaptasi dalam keluarga aku ini.
"Abang Hisham, khemah dah siap ni, kerusi pun dah susun. Kami balik dulu ya" ujar Kassim, pemilik khemah kanopi yang aku berurusan untuk sewa peralatan untuk majlis ini.
"OK Sim, apa-apa hal nanti aku call hang" jawabku memberikan tanda bagus.
"Hangpa tengok-tengok la apa yang patut, nak tambah apa-apa lagi, ayah OK je" kataku pada mereka
"Kalau nak pasang lagu boleh ayah?" tanya Azman menantu sulungku
"Pasang la, tapi jangan time depa tahlil pulak" jawabku sengih
"Ish ayah ni" balasnya
"OK la ayah nak masuk sat, nak siap-siap sat lagi nak pi masjid" kataku. "Nanti kalau orang catering datang, bagitau la kat depa nak letak mana, yang macam kita rancang tadi tu"
"OK ayah" balas mereka serentak. Aku berlalu masuk ke dalam meninggalkan mereka bertiga di luar. Kalaulah Yusuf ada sekali, tentu lebih meriah. Tapi nak buat macam mana, kekangan tugas yang dia hadapi, susah dia nak balik. Tambahan pulak semua cuti dibekukan, semuanya sebab corona virus yang mula merebak ke dalam negara. Pasukan keselamatan dan petugas kesihatan sentiasa berwaspada dan bersiap siaga sekiranya keadaan memerlukan.
"Hai bang, dah siap ke khemah tu?" tanya isteriku apabila aku menjengah ke ruang dapur.
"Dah siap dah" jawabku pendek
"Ayah nak air?" tanya Salina sambil berdiri.
"Boleh jugak" jawabku sambil duduk di meja makan. Tak lama kemudian Salina menghulurkan segelas air sejuk pada ku sambil senyum dia mempelawa aku minum.
Betul kata isteriku, wajah dan rupa paras Salina saling tak tumpah macam anak sulung aku, Natasya. Pandai betul Amirul cari isteri. Sewaktu mula-mula Salina masuk ke dalam keluargaku ini, dia malu-malu. Kini dia dah mesra dengan kami semua. Hubungan anak-anakku dan menantu-menantuku begitu mesra, baik dan aku rasa seronok dengan keadaan yang aku miliki ini. Mempunyai anak menantu yang mementingkan hubungan adik beradik. Anak-anakku pun seperti aku dahulu, kawin muda. Aku berkahwin dengan isteriku sewaktu aku berusia 23 tahun, manakala Nor masa tu berusia 19 tahun. Aku tidak berpelajaran, namun aku mewarisi perniagaan ayahku dalam bidang pertanian dan peruncitan. Disebabkan aku anak sulung dan lelaki tunggal, ayahku menyerahkan perniagaannya untuk aku uruskan, manakala adik perempuanku mengikut suaminya ke Kelantan. Disebabkan aku dilengkapkan dengan ilmu perniagaan dari kecil, maka tidak susah bagiku untuk mengambil alih, seterusnya memperluaskan perniagaan ini. Dan disebabkan itulah, aku diminta untuk berkahwin dengan gadis yang menjadi pembantuku bagi mengelakkan buah mulut orang.

YOU ARE READING
ENDEMIK ( sambungan PKP)
Fiksi UmumKesinambungan kehidupan anak menantu Hisham dan Nor yang telah kembali ke tempat masing-masing setelah PKP ditamatkan. Mereka semua telah kembali bekerja seperti biasa, keadaan negara juga kembali tenang, boleh rentas negeri, melancong dan bergerak...