Sofia menggenggam stereng dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya menongkat kepala menelusuri jalan raya yang sesak menuju ke rumah. Hari ini terasa sangat panjang dan memenatkan. Dia sudah tidak sabar untuk segera tiba di rumah. Terbayang-bayang ketenangan saat dia berbaring di katilnya. Bibirnya mengukir senyuman halus sebaik sahaja keretanya memasuki laman rumahnya.
Namun kegembiraan itu tidak lama, telefonnya berdering. Sofia melirik pada paparan panggilan masuk. Dia membiarkan telefon itu menjerit tidak dijawab. Dia seakan dapat merasakan panggilan itu hanyalah untuk meminta sesuatu daripadanya.
Aku tahu kau tak sibuk. Jawab!
Deringan telefon masih tidak berhenti. Si pemanggil tidak berputus asa hendak menghubunginya. Dia menarik nafas dalam sambil menekan butang jawab. Telefon diletakkan di telinga.
"Assalam..."
"Apa yang susah sangat nak jawab call aku!" kedengaran suara kasar abahnya, Sofian dari seberang sana. "Aku nak minta tolong." Sambung Sofian.
'Bingo!' getus hati kecilnya.
Walaupun tekaannya benar tetap dia masih kecewa dengan Sofian. Dia menyiapkan diri untuk mendengar permintaan abahnya kali ini. "Tolong apa tu, Abah?"
"Aku nak duit," jawabnya dengan kasar. "Lima puluh rmama,"
Lima puluh ribu? Mata Sofia membuntang seakan tidak percaya. Itu bukan jumlah yang kecil. "Saya... Saya tak ada duit sebanyak tu abah," dia tergagap.
Sofian kedengaran ketawa mengejek di sebalik talian. "Jangan tipu aku! Kau ingat aku tak tahu pasal tanah yang mama kau wariskan?"
Sofia mengenggam kejap telefon bimbitnya. Tanah itu. Itu satu-satunya warisan yang ditinggalkan oleh arwah mamanya. Mana mungkin dia hendak memberikan tanah yang penuh dengan nilai sentimental dari arwah Izzah.
"Tanah itu satu-satunya yang saya dapat dari mama," balas Sofia, suaranya bergetar dengan emosi.
Tetapi nampaknya Sofian tidak berputus asa. "Aku janji nanti aku bayar balik dengan kau. Kau tak kesian dengan kakak kau ke?" Sofian melembutkan suaranya.
"Adik? Siapa? Lana ke?" soal Sofia. Kekok mendengar Sofian membahasakan Alana sebagai kakaknya sedangkan Alana sendiri tidak pernah menganggap dia sebagai adik.
"Dia ada masalah sedikit. Sekarang ni, nak kena bayar peguam untuk dia,"
Sofia memukul-mukul pahanya. Geram!
"Apa lagi Lana buat kali ni abah?" suara Sofia sedikit meninggi.
"Kau jangan banyak tanyalah! Kalau susah sangat apa kata kau pinjam dulu dengan bank. Gunakan tanah tu sebagai jaminan. Nanti aku dah dapat duit aku tolong bayarkan," hilang kelembutan suaranya tadi.
Jantung Sofia berdegup kencang. Tanah warisan mamanya dipertaruhkan untuk menanggung masalah Alana membuatkan kemarahan Sofia meluap-luap. "Tak nak abah. Saya tak nak. Saya ada kehidupan dan masa depan yang saya kena tanggung,"
Ini bukanlah pertama kali Sofian meminta dia duit atau meminta dia mengadai apa sahaja bentuk barang yang ditinggalkan oleh arwah mamanya sesuka hati. Selama ini, dia turuti sahaja tetapi kali ini dia berkeras hendak mempertahankan satu-satunya harta yang tinggal.
Kemarahan memuncak dalam suara ayahnya. "Kau memang anak tak guna! Anak yang bawa sial! Darah daging kau sendiri kau tak nak tolong? Manusia jenis apa kau ni!"
"Jeritlah sekuat hati abah. Jawapan saya tetap sama, saya tak akan jual tanah itu!"
"Mati kau aku kerjakan Sofia! Kau jangan tayang muka kau de–– "

ANDA SEDANG MEMBACA
Tak kan Pernah Ada (Completed)
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...