BAIHAQI hempaskan duduk ke atas sofa sambil mengeluh kuat. Hari ini mood dia memang betul-betul ke laut! Tidak cukup dia termakan minyak bijan, bahkan dia langsung tidak kenyang selepas itu. Makan tengah hari bersama-sama rakannya pun dia telah dapat makanan yang tidak kena pada tekaknya. Kadang kala dia penat menjadi seorang yang cerewet tentang makanan.
“Eh kamu balik? Ica mana?” Suara itu telah membangunkan Baihaqi dari lamunannya. Matanya bergerak memandang ke hadapan.
“Ma,” tegur Baihaqi dan terus dia menyalami tangan mamanya, Datin Suraiya.
“Mana Ica?” soal Datin Suraiya lagi apabila Baihaqi langsung diam tidak menjawab soalannya. Datin Suraiya melabuhkan duduk di atas sofa bersebelahan dengan Baihaqi.
“Ada kat rumah,” jawab Baihaqi.
Datin Suraiya pandang wajah anak bongsunya yang muram ini. Nampak mendung saja padahal baru mahu menginjak pukul 3 petang. Takkan bergaduh dengan isteri kut?
“Kenapa tak bawa sekali? Baru mama nak jumpa menantu bongsu mama tu. Dia ada minta mama ajarkan dia masak ayam ungkep. Katanya dia ada cuba masak ayam ungkep tapi tak jadi.”
“Haq keluar dengan kawan-kawan tadi ma. Itu yang terus ke sini. Tak singgah rumah pun lagi.” Memang niat Baihaqi mahu singgah ke rumah orang tuanya memandangkan sudah dekat dengan tempat lepak dia bersama kawan-kawannya tadi.
“Keluar dengan kawan? Keluar ke mana?”
“Mana-mana. Jalan-jalan cari makan.” Baihaqi jawab selamba sambil tubuhnya bersandar lemah. Kedua tangannya terkulai di sisi badannya. Nampak sungguh penatnya itu.
“Aih? Cuti-cuti spend time dengan kawan? Haq tu dah beristeri tau. Jangan buat-buat lupa. Patutnya cuti-cuti macam ni lah Haq patut spend time dengan isteri. Eratkan hubungan suami isteri tu. Lagi-lagi Haq dengan Ica baru nak masuk enam bulan tempoh perkahwinan tu.”
“Nak eratkan apa laginya ma? Itu sajalah yang mampu kami eratkan. Kira okey apa Haq tinggal dia dekat rumah. Boleh dia ‘me time’. Bukan itu ke keinginan kebanyakkan isteri dekat Malaysia ni? Nak bersendirian? Itulah peluang Ica untuk bersendirian.”
Pap! Peha kiri Baihaqi ditepuk kuat oleh Datin Suraiya.
“Adoi ma! Sakitlah.” Terkejut Baihaqi tiba-tiba pehanya ditepuk kuat. Tangan kirinya mengusap perlahan bekas tamparan itu. Pedih!
“Mana kamu tahu Ica tu nak bersendirian? Selama ni dia dah cukup bersendirian, bila kahwin dengan kamu makin dia kena bersendirian pula. Suami ni peneman untuk isteri. Sama juga isteri untuk suami. Apa guna kahwin kalau seorang ke hulu, seorang ke hilir?”
“Haq dah cakap awal dulu lagi dah. Mama kan yang paksa Haq kahwin dengan dia? Dia pulak menggeletis terima lamaran mama. Ha hadap lah dia. Haq ni tak reti tau ma nak bermuka-muka. Haq tak suka, Haq buat cara tak suka. Haq tak suka Ica tu ma. Dia tu budak mentah.”
Mata Datin Suraiya mengecil memandang wajah Baihaqi yang nampak tenang menuturkan kata-kata itu. Buat cara tak suka? Wah wah wah. Sedapnya mulut kau berkata-kata ya Haq? Macam tidak ada iman langsung!
“Tak habis-habis dengan budak mentah. Sekarang ni mama tengok bukan Ica yang tak matang. Tapi kamu tu Haq! Umur dah 34 tahun tapi bercakap macam budak-budak. Tak ada common sense langsung! Kesian menantu mama dapat suami macam kamu ni.” Tergeleng kepala Datin Suraiya mengenangkan perangai anaknya ini.
“Haq laparlah ma. Ada makanan tak? Mak Ros ada masak tak?” tanya Haq. Dia malas mahu menjawab kata-kata mamanya lagi. Kalau dia menjawab, dia kena tampar lagi. Sekarang ini semua orang nampak dia seperti orang jahat.
YOU ARE READING
Jarak Umur Antara Kita
RomanceBaihaqi, seorang jejaka yang berumur 34 tahun dan telah berkahwin dengan seorang gadis yang berumur 23 tahun yang bernama Aleesya Qaisara. Konflik bermula pada awal pernikahan mereka lagi dimana Baihaqi tidak dapat menerima Aleesya Qaisara sebagai i...