Bab 4

2.2K 173 22
                                    

HARI JUMAAT, hari terakhir mereka bekerja untuk minggu ini. Untuk hari ini, Aleesya tidak terlewat bangun. Dia bangun tepat pada waktunya iaitu pada jam enam pagi. Walaupun dia tidak boleh menunaikan ibadah wajib yang satu itu, dia perlu bangun untuk mengejutkan Baihaqi dan dia juga perlu bangun untuk menyiapkan makanan buat dia dan suaminya. Aleesya dan Baihaqi keluar rumah seawal jam lapan pagi untuk pergi ke tempat kerja masing-masing. Ada masa Baihaqi minta Aleesya untuk bersiap awal untuk Baihaqi tiba di syarikatnya lebih awal.

Selesai urusannya di dalam bilik air, Aleesya atur langkah keluar dari kamar mandi itu. Dia mendapati Baihaqi masih lena diulit mimpi. Bantal peluk miliknya yang berbentuk awan itu memang elok terletak di dakapan suaminya. Rasanya bantal peluk itu bagai sudah bukan miliknya bahkan milik Baihaqi. Setiap pagi dia bangun tidur, pasti bantal itu elok di dalam pelukan Baihaqi.

“Abang, bangun.”

Aleesya bertindak untuk mengejutkan Baihaqi dari lenanya memandang jam sudah menginjak pada jam 6.15 pagi. Makin lewat. Hari ini sekali lagi Baihaqi tidak pergi ke masjid.

“Abang...” Aleesya menggerakkan sedikit lengan kanan Baihaqi. Masih juga tiada tanda-tanda untuk sedar.

“Abang, bangun. Dah pukul 6.15 ni. Solat subuh.”

“Hmmm...” Baihaqi mula menggeliatkan tubuhnya. Bantal bentuk awan makin dipeluk dengan erat.

Aleesya pincingkan matanya. Dahlah selalu kutuk bantal peluk miliknya. Tapi waktu pagi aje, Baihaqi lah yang peluk erat bagai tak mahu lepas langsung.

“Bangunlah!” Aleesya menekan sedikit suaranya. Susah betul mahu mengejut orang tua yang satu ini. Konon terpaling dah matang, tapi nak kejut bangun solat subuh bukan main payah.

“Ya...” Baihaqi bersuara perlahan. Tangan naik menggosok mata.

“Susah betul nak bangun,” gumam Aleesya perlahan sambil melangkah ke pintu bilik untuk keluar dari bilik tidur mereka ini.

Baihaqi yang mendengarkan bisikan itu terus segar matanya. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik ini. Tak sangka Aleesya merungut selepas mengejutkan dia bangun tidur. ‘Liat sangat ke aku?’ soal Baihaqi dalam hati. Tidak mahu membuang masa lagi, Baihaqi bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum dia menunaikan solat subuh.

Di dapur, Aleesya mula menyediakan bahan untuk memasak sarapan buat mereka berdua. Puas dia memerah otak berfikir masakan apa yang harus dia sediakan. Dan sekarang dia sudah tahu apa yang dia ingin masak.

Bawang merah dan bawang putih dicincang halus. Tidak lupa juga memotong kecil beberapa batang cili padi. Hari ini Aleesya mahu menyediakan roti sardin buat mereka berdua. Satu fakta tentang diri Baihaqi yang Aleesya baru tahu, Baihaqi sangat suka sardin buatannya.

Datin Suraiya pernah memaklumkan padanya bahawa dulu Baihaqi tidak sukakan sardin. Namun selepas pernah sekali Aleesya sendiri yang memasak lauk sardin, terus tekak Baihaqi boleh terima. Dan hanya sardin buatan Aleesya saja yang Baihaqi boleh telan berbanding dengan sardin buatan orang lain. Bahkan sardin buatan Datin Suraiya pun Baihaqi tidak boleh telan.

Memikirkan itu, senyuman manis terus terukir di bibir Aleesya. Tidak sangka suaminya yang ego tinggi langit itu boleh menerima masakannya. Mulut kata tidak sedap, tapi tangan masih laju menyuap. Baihaqi sangat ego!

Aleesya baru teringat. Malam tadi, dia tidak sempat untuk menunggu Baihaqi pulang ke rumah kerana rasa mengantuknya sudah menguasai dirinya. Selepas beberapa kali terlelap saat menonton anime, Aleesya buat keputusan untuk terus masuk ke bilik dan tidur. Dan waktu itu Aleesya sempat mengerling pada jam yang tergantung di dalam bilik itu. Pada waktu itu jam sudah menunjukkan jam 12.30 pagi.

Jarak Umur Antara KitaWhere stories live. Discover now